Pada PRU kali ini juga Wanita UMNO mahu melihat peningkatan calon wanita diberi peluang untuk bertanding di kawasan yang sesuai berdasarkan kemampuan mereka menjadi wakil rakyat.

Yang pasti Wanita UMNO sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga untuk menghadapi PRU akan datang dan mempertahankan kemenangan BN. Ikuti temubual wartawan, MUZDALIFAH MUSTAPHA bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, TAN SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

UTUSAN Malaysia: Pada pandangan Tan Sri, apakah mesej yang harus disampaikan perwakilan Wa­nita dalam Perhimpunan Agung UMNO terakhir sebelum PRU-14?

SHAHRIZAT: Perhimpunan kali ini amat penting sekali kepada semua perwakilan kerana ini medan terakhir untuk kami berunding di peringkat tertinggi kepimpinan parti sebelum pulang membawa panji perang PRU-14 ke kawasan masing-masing. Pada saya, inilah masanya untuk perwakilan Wanita mengakui ikrar komitmen mereka untuk menjadi jentera paling ampuh untuk BN menghadapi PRU-14.

Perhimpunan kali ini juga mesti dijadikan wadah utama perwakilan membawa suara rakyat jika ada janji kerajaan belum dilunaskan, keperluan rakyat mesti dipenuhi atau kemahuan rakyat harus diteliti.

Jika perhimpunan tahun ini berakhir dengan dapat kepuasan di hati ahli parti dan juga rakyat, pasti UMNO dan BN akan berada dalam kedudukan lebih baik menuju PRU-14. Yang pa­ling penting, semua perwakilan Wanita mesti zahirkan semangat sebenar ‘Ibu Terbaik Bangsa’ supaya semangat ini dapat diresapi oleh anak-anak Pemuda, Puteri dan kaum bapa UMNO untuk jadi bekal kekuatan menghadapi pembangkang di luar sana.

Apakah Tan Sri yakin sema­ngat dan keazaman ditunjukkan di Dewan Merdeka tidak sekadar menjadi retorik politik?

UMNO telah wujud lebih 70 tahun dan Wanita hanya setahun muda dari itu. Jika apa yang bergema di Dewan Merdeka saban tahun hanya retorik politik semata-mata, mana mungkin UMNO masih di sini dan mana mungkin UMNO semakin kukuh dari tahun ke tahun? Jika retorik politik ditunjukkan perwakilan UMNO, ia sama sekali tidak padan dengan pelbagai kejayaan yang telah ditinta UMNO dalam memperjuangkan isu-isu rakyat dan ahli parti selama ini.

Perhimpunan bukan retorik. Perhimpunan adalah satu forum yang telah mengangkat ramai pemimpin Melayu menjadi pembantu rakyat dalam pelbagai aspek antaranya agama, politik, ekonomi dan pendidikan. Jadi kepada saya, apa yang ahli UMNO suarakan, bincangkan, debatkan dan laungkan di perhimpunan itu setiap tahun adalah representasi sebenar semangat dan keazaman kami untuk terus memperjuangkan keberlangsungan orang Me­layu dan kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

 

Adakah Tan Sri akan berasa kecewa atau lemah semangat jika jumlah calon wanita PRU nanti tidak menepati tuntutan Wanita UMNO sedangkan ramai tahu betapa gigihnya Wanita UMNO bekerja untuk meraih sokongan?

Memilih calon yang benar-benar sesuai di satu-satu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah satu tugas mudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bukan sahaja perlu mempertimbangkan aspek gender, te­tapi banyak lagi faktor. Saya memang tabik hormat kepada Perdana Menteri yang dibantu Timbalan Perda­na Menteri, Da­tuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan barisan kepemimpinan UMNO dan BN yang perlu menyusun setiap satu calon di semua kawasan Parlimen dan DUN.

Sebagai ketua, pastilah saya mahu melihat peningkatan jumlah calon wa­nita diberi peluang bertanding di kawasan pa­ling sesuai. Wa­nita mesti dipilih atas ke­mampuan mereka menjadi wakil rakyat di tempat sepatutnya. Sudah pasti akan timbul rasa kecewa di sudut hati jika sasaran 30 peratus calon wanita tidak dapat dicapai pada PRU-14 nanti tetapi saya ya­kin Perdana Men­teri akan buat keputusan terbaik demi kemenangan besar untuk BN. Yang pasti, Wanita UMNO akan menunaikan janji kami untuk beri komitmen ter­tinggi dalam menjalankan tugas sebagai jentera pilihan raya yang telah diamanahkan. Ya, saya akan rasa kecewa jika tidak ada peningkatan dalam jumlah calon wanita.

 

Secara jujur berdasarkan program turun padang melalui JR (Jalinan Rakyat), bagaimanakah Tan Sri melihat sokongan kaum wanita kepada UMNO dan BN?

Sejak tahun lepas, saya dan Exco Wanita UMNO Malaysia telah turun ke seluruh pelosok negara untuk mendengar dan melihat sendiri gerak kerja jentera Jalinan Rakyat atau JR. Kembara ini kami namakan Kembara PRU-14 dan Kembara Ibu Terbaik Bangsa atau KITA-14, bertujuan untuk bertanya khabar dan memberi bimbingan kepada jentera. Maklum balas yang saya terima melalui kembara ini amat positif dan telah membantu untuk menyelesaikan beberapa isu dengan lebih efektif dan pantas.

Selain itu, reaksi dan makluman daripada penduduk setempat juga positif. Mereka secara terang menyatakan sokongan dan tidak kurang juga yang mengeluh de­ngan kelemahan wakil rakyat pembangkang yang tidak turun ke kawasan untuk mendengar dan membantu keperluan mereka. Dari pemantauan ini, saya yakin, sokongan ditunjukkan adalah tulen malah ada yang tak sabar nak pilihan raya untuk memilih calon BN mewakili mereka.

Bagaimanapun, Wanita tidak akan berasa selesa atau sambil lewa dalam menyantuni rakyat kerana kami tahu tugas kami bukan hanya waktu pilihan raya menghampiri tetapi setiap hari. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli Wanita UMNO di seluruh negara kerana beri dedikasi dan komitmen tahap paling tinggi untuk menang PRU-14.

 

Apakah isu yang pada panda­ngan Tan Sri perlu diselesaikan oleh UMNO semasa perhimpunan supaya ia tidak menjejaskan persiapan menghadapi PRU?

Tiada parti politik dalam dunia ini tidak diuji cabaran. UMNO juga tidak terkecuali. Alhamdulillah, selepas beberapa cabaran yang UMNO lalui beberapa tahun kebelakangan ini telah berjaya dilalui dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan parti. UMNO mengalu-alukan kedatangan perhimpunan tahun ini dengan lebih tenang dan lebih bermuafakat. Kecintaan kepada parti, hormat kepada institusi ini dan disiplin terhadap konvensyen parti menjadikan persidangan kali ini lebih fokus kepada perkara-perkara penting.

Mungkin ada beberapa persoalan akan dikemukakan perwakilan memerlukan penjelasan daripada barisan kepemimpinan tetapi saya yakin ia tidak akan menjejaskan fokus UMNO untuk terus menunjangi persiapan PRU-14 akan datang. Saya berpandangan, kesepaduan yang UMNO miliki mesti terus menjadi faktor asas memperkuatkan jentera parti. Selagi UMNO dipimpin pemimpin yang ikhlas menjaga kepentingan rakyat seperti Datuk Seri Najib, pasti lebih tiga juta ahli UMNO akan terus bersatu, bersetia, berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.