“Tunjukkan kewibawaan, integriti dan buatlah seperti mana yang dihajati supaya UMNO boleh diperkukuh dan dimantapkan kembali,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu yang sering digelar ultra Melayu kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam.

Kata Tajuddin lagi, tanggungjawab kepemimpinan parti diterajui Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan begitu getir dalam mengatur strategi dan program untuk kelangsungan parti.

“Mereka di bawah ini ‘gurkha’ yang akan terima arahan dan laksanakan sahaja. Pastikan semua ini dipantau, bukan dibuat sambal lewa, lebih kurang atau seadanya,” ujar Tajuddin yang berkongsi idea dan kebimbangannya dengan apa yang diamatinya dalam tempoh tujuh bulan ini sejak 9 Mei lalu.

1. Tunjukkan kewibawaan

Kepemimpinan UMNO buatlah seperti mana yang dihajatkan supaya parti boleh diperkukuh dan dimantapkan kembali. Tunjukkan kewibawaan di bawah kepemimpinan baharu.

Kewibawaan bukan maknanya mereka tidak terlibat dengan kes-kes jenayah, penyelewengan, menggelapkan duit atau mahkamah semata-mata. Apa erti kewibawaan?

Maknanya kita melaksanakan mandat dan amanah daripada 3.6 juta ahli UMNO yang kita dipertanggungjawab memikulnya. Tunjukkan, jadilah pemimpin yang berkaliber, ada keupayaan serta sanggup berkorban.

2. Politik korup

Apa erti rasuah? Rasuah bukan penyelewengan duit semata-mata. Dalam politik, rasuah dipanggil politik korup. Ertinya, mempermainkan kepercayaan pengundi dan lompat parti. Ahli politik sebegini tidak ada maruah.

Mereka meninggalkan perjuangan, abaikan pengundi, tidak pedulikan kawasan dan bangsa hanya untuk memenuhi kepentingan politik korup ini.


3. Asyik bikin kenyataan akhbar?

Ada kalangan pemimpin UMNO gemar buat kenyataan akhbar. Buat kenyataan akhbar sahaja tidak cukup. Ia menuntut kerja dan pelaksanaan. Cakap sahaja tapi tidak membikinnya tidak memberi sebarang makna.

4. Daim ‘bangkang kerajaan sendiri’?

Nampaknya Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin sendiri turun padang bulan ini (Disember 2018) untuk membela nasib peneroka Felda (di Felda Sungai Tengi) khususnya rakyat keseluruhan.

Apabila beliau bercakap dan memarahi menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak melaksanakan apa yang perlu untuk selesaikan masalah rakyat seperti masalah di Felda, apa pengajaran yang boleh kita peroleh?

Saya percaya Daim mempunyai strategi untuk melihat semua isu berkaitan kepentingan rakyat sama ada petani, nelayan dan pesawah diselesaikan oleh kerajaan PH sebelum pembangkang bangkit menjuarainya.

Dari segi politik, saya ingin ingatkan rakan-rakan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa kita sebagai pembangkang kena pantas bangkit menjuarai bagi pihak rakyat, bersuara lantang bagi pihak rakyat. Ini supaya apa jua maklum balas daripada pihak kerajaan, kita dilihat turut memperjuangkan nasib rakyat.

Tindakan Tun Daim turun padang ini seolah-olah pre-empt untuk menyekat pembangkang dari ambil peluang bersuara bagi pihak rakyat, mengkritik kerajaan berkaitan isu-isu kebajikan rakyat dan membaca apa yang disuarakan rakyat.

Kenyataan berbaur kritikan daripada Daim, Rafizi Ramli, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk A. Kadir Jasin serta beberapa orang PH menunjukkan PH bersedia untuk menjadi pembangkang kepada kerajaan mereka sendiri. Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan dan menteri sendiri supaya diselesaikan.

Strategi politik seperti ini pihak pembangkang kena berhati-hati. Politik pembangkang kena bijak dan kental dengan senario budaya baharu dalam kerajaan yang sedia mengkritik diri sendiri.

Kita (UMNO/BN) dahulu tidak ada kritik pemimpin sendiri, hanya jadi yes man. Dahulu yang menjuarai kritikan ialah pembangkang (PH). Tapi sekarang menjuarai isu masalah rakyat datang dari kerajaan sendiri. Mereka lebih terbuka dan cekap. Ini politik baharu yang kita akui suatu politik matang.

5. ‘Terkedu’ sidang Parlimen Mei 2019?

Isu yang dibangkitkan Daim di Felda ini berlaku sejak bulan 10 lagi selepas Bajet 2019 dibentangkan. Mengapa kita berdiam diri? Dua bulan ini (sehingga Disember) buat apa? Bercutikah?

Isu berkisar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hampir diselesaikan. Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan juga turun padang.

Juga, apa modal politik kita apabila peruntukan RM164 juta diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang khabarnya prihatin terhadap nasib pekebun kecil getah yang kekurangan pendapatan sepanjang musim tengkujuh?

Satu persatu mereka tangani isu dan tiba sidang Parlimen Mac (2019) nanti, apa nak pembangkang cakapkan lagi?

UMNO perlu perjuangkan isu, seperti mana ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) yang dibatalkan ratifikasinya atas desakan kita setelah dibantah oleh rakyat.

6. Bimbinglah ketua bahagian

Kira-kira 40 peratus ketua bahagian UMNO di seluruh negara orang baharu. Mereka tidak ada pengalaman sebagai ketua. Pucuk pimpinan tak tahu tahap kemampuan mereka.

Dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya sendiri sering ingatkan pucuk pimpinan parti supaya tengok-tengoklah, pimpin dan pantau pemimpin-pemimpin di bawah ini (bahagian dan cawangan). Bagi sokongan pada mereka.

7. Contohi Ahmad Maslan?

Ahli Parlimen Pontian ini (Datuk Seri Ahmad Maslan) menampakkan perubahan ketara selepas PRU-14 sebagai pembahas yang baik di Parlimen. Ada fakta dan bernas.

Ini sesuatu yang positif kepada UMNO berbanding sesetengah wakil pembangkang yang ponteng sidang, dan diam sahaja (semasa sesi perbahasan).

8. Tak boleh ditegur?

Mesej yang baik tidak semestinya disukai. Apabila saya (Tajuddin) buat teguran terbuka ini, akan adalah yang mencelah menjawab, “Saya percaya semua ketua bahagian telah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Maknanya apa?

Maknanya tidak boleh terima teguran. Silap-silap memang fiilnya tidak boleh ditegur langsung.