Memang dalam Islam, kita disuruh berikhtiar dan berusaha mencari penawar kepada penyakit atau mencari jalan keluar kepada masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, dalam keghairahan berbuat demikian, ada batas-batas yang ditetapkan oleh agama untuk mengelak kita terlibat atau terjebak dalam perbuatan khurafat. Lebih bahaya lagi melakukan perbuatan yang membawa kepada syirik.

Pengaruh bomoh dalam masyarakat pernah ditampilkan oleh Allahyarham A.R. Tompel dalam filem Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Antara dialog­nya: “Nasib baik ada tok bomoh ni datang, dapat juga saya RM100,” kata A.R. Tompel: “Saya bukan bomoh sebenar, bomoh tipu sahaja.” Kata tok bomoh yang diikat itu: “Saya pun sama juga...heh heh.”

Pada 12 Mac lalu, upacara perbomohan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin atau yang dikenali Raja Bomoh tular dalam kalangan netizen. Menurut laporan The Star, ada video menunjukkan Ibrahim mengadakan ritual di pantai kononnya bertujuan melindungi Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara.

Video selama tiga minit itu menunjukkan beliau dan tiga pembantunya masuk ke dalam air bersama dua biji kelapa, sepasang kayu digunakan sebagai teropong, lima meriam buluh, permaidani dan semangkuk air laut.

Mengulas hal ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, beberapa negeri bersetuju dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri yang upacara dan amalan Ibrahim menggunakan objek tertentu bertentangan ajaran Islam dan haram. Malah, kajian panel pakar Jakim juga mendapati upacara tersebut mengandungi elemen penyembahan berhala dan amalan karut.

Ternyata, amalan yang dilakukan itu adalah suatu perkara baharu yang tidak terkandung dalam al-Quran, hadis dan juga athar yang sahih. Oleh itu, perbuatan itu bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meng­adakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal daripadanya, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim).

Ruangan Bayan Linnas siri ke-87 dalam laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menggariskan beberapa perlanggaran Garis Panduan Perbomohan menurut Islam oleh Jakim yang dilakukan oleh Ibrahim, Antaranya:

• Menggunakan alatan seperti teropong buluh, meriam buluh, buah kelapa yang dibuang ke laut dan me­ngibas kain batik adalah jauh daripada akhlak Islam yang sebenar dalam rawatan kerana boleh mengundang syak yang buruk terhadap Islam.

• Ia menimbulkan salah faham masyarakat dunia terutamanya bukan Muslim terhadap Islam.

• Teropong buluh tersebut digunakan seakan-akan untuk ‘melihat’ sesuatu yang tidak ada pada mata kasar dan ini bertentangan dengan Islam. Sebabnya ramalan atau tebakan atau tenungan untuk sesuatu perkara adalah dilarang dalam syarak.

• Dalam tradisi masyarakat Melayu lama, pawang angin dipercayai dalam mengelakkan mala petaka dan pakar dalam ilmu ghaib. Perbuatan Raja Bomoh itu dikhuatiri menghampiri peranan pawang angin yang jelas bersalahan dengan syarak. Sebelum ini, beliau pernah meneropong dengan teropong buluh dan mendakwa melihat kapal terbang MH370 tersangkut di atas awan, di antara tiga negara.

• Perbuatan beliau menjatuhkan maruah sendiri.

Berhati-hatilah, dosa syirik adalah amat besar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (al-Nisa’: 48 )