Di sebalik ketiga-tiga peristiwa ini, ia mempunyai maksud tersirat bahawa segala-galanya terhasil dan dinikmati kerana keunikan serta keistimewaan Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.

Sokongan padu oleh rakyat Malaysia telah membolehkan atlet kita mencapai kejayaan pada Sukan SEA kali ini dan perpaduan kaum yang kukuh memungkinkan kita terus menikmati kemerdekaan.

Manakala toleransi beragama pula telah membenarkan umat Islam menyambut kedatangan 10 Zulhijah dengan penuh kesyukuran.

Semua keistimewaan ini kita nikmati kerana seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan sentiasa berusaha mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam sekali gus mampu menghancurkan apa yang kita bina bersama sejak 60 tahun lalu.

Namun perjalanan kita masih panjang sementara kerajaan terus berusaha melaksanakan dasar, program dan perancangan bagi kesejahteraan seluruh rakyat dan negara pada masa sama kita juga berhadapan dengan kelompok yang boleh kita anggap mahu melakukan apa sahaja demi meraih kuasa. Bagi mencapai misi itu, mereka mewujudkan pakatan politik caca marba.

Walaupun mempunyai ideologi dan misi berbeza namun demi semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada, mereka sanggup mengenepikan sementara 'keanehan' tersebut.

Lanjutan itu, 'serangan’ bertubi-tubi dilakukan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN). Apa juga yang dilakukan oleh kerajaan sentiasa sahaja dilihat jelek di kaca mata mereka.

Rakyat disumbatkan dengan fitnah dan tohmahan dengan matlamat mewujudkan kebencian dan membolehkan mereka meraih keuntungan politik.

Ada dalam kalangan pemimpin kanan mereka tanpa rasa bersalah menghasut rakyat dalam media-media sosial supaya mendoakan kehancuran kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia bukan kali pertama perbuatan jahil itu dilakukan, tetapi sudah banyak kali. Segala-galanya kerana mereka berasa rimas sebab selama ini apa juga usaha mereka bagi memburuk-burukkan kerajaan masih belum berhasil biarpun mereka telah mendapat bantuan daripada individu yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Dalam berhadapan pendekatan politik sempit seumpama ini, rakyat perlu berfikir dengan semasak-masaknya. Jangan fikirkan apa yang kita dapat sekarang, tetapi fikirkanlah masa depan anak cucu kita.

Kesejahteraan

Apakah benih kebencian yang ditanam oleh puak-puak tersebut mahu disuburkan sehingga meranapkan kesejahteraan Malaysia tercinta ini?

Apakah kita mahu membiarkan racun kebencian itu menyerap ke dalam fikiran kita sehingga memungkinkan kita membuat keputusan yang akhirnya menjemput malapetaka kepada negara ini?

Persoalannya adakah puak-puak yang begitu berhasrat menumbangkan kerajaan ini benar-benar bersih, cekap, hebat dan penuh integriti?

Atau adakah mereka sudah mempunyai perancangan bagaimana mahu menguruskan sebuah negara yang pelbagai kaum ini tanpa masalah?

Apa yang kita tahu, setakat ini kalau berdasarkan kes atau isu yang berlaku, merekapun tidaklah sehebat mana!

Ada pemimpin mereka sedang menghadapi perbicaraan atas dakwaan rasuah, ada dalam kalangan mereka sudah dijatuhkan hukuman kerana memfitnah dan paling ketara antara mereka sendiri tidak ada kesepakatan.

Tetapi golongan tersebut tidak pernah mahu mencerminkan diri apatah lagi bermuhasabah. Mereka meneruskan sandiwara politik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kelompok merekalah yang paling sempurna.

Justeru segala-galanya mahu dipolitikkan dengan berlandaskan kepada satu sahaja misi iaitu menawan Putrajaya dalam PRU-14.

Oleh itu berdasarkan kepada tiga peristiwa yang berlaku pada 30 Ogos, 31 Ogos dan 1 September, seluruh rakyat Malaysia perlu berfikir sejenak, apakah semua kemeriahan itu mahu diranapkan dengan mengikut rentak tari politik kelompok yang kemaruk kuasa?

Kita berasa bangga apabila rakyat Malaysia bersatu menyokong atlet negara, kita berasa terharu apabila menyaksikan ribuan orang terdiri pelbagai kaum melafazkan ikrar Rukun Negara ketika sambutan merdeka.

Kita juga bersyukur apabila umat Islam melaksanakan ibadah korban dengan penuh kedamaian.

Semua itu kita kecapi kerana rakyat Malaysia bersatu padu di sebuah negara yang sudah 60 tahun bebas daripada penjajah.

Kesepakatan

Tanpa mengira kaum, kitalah yang menentukan perjalanan dan corak negara ini. Kita yang membentuk sebuah Malaysia yang berjaya hasil kesepakatan bersama.

Kita bukannya tidak pernah diuji seperti mana berlaku pada 13 Mei 1969, namun akhirnya kita mampu melepasi cabaran dan dugaan itu kerana majoriti rakyat negara ini tidak mahu mengorbankan kehidupan aman mereka semata-mata kerana kelompok yang mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara.

Ancaman atau pendekatan politik seumpama itu bukanlah perkara baru.

Sejak zaman Malaysia di bawah kepemimpinan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pun sudah berlaku.

Dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO pada Oktober 1967, beliau pernah berpesan; "Pihak-pihak parti lawan sentiasa bergiat dan berusaha di sana sini menaburkan fitnah dan dakyah yang buruk untuk menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap Parti Perikatan (kini BN).’’

Kini selepas 50 tahun ingatan itu disampaikan, senario yang sama masih berlaku dalam arena politik tanah air kita. Kenapa ia masih terjadi?

Jawapannya mudah, pakatan parti-parti pembangkang tidak pernah mempunyai modal untuk meruntuhkan keampuhan kerajaan BN kerana akhirnya yang benar itu benar yang batil itu batil.

Apapun kepada seluruh rakyat Malaysia, jangan sesekali terperangkap dengan mainan politik 'bersenjatakan’ fitnah dan 'berpelurukan’ tohmahan yang cuba digunakan oleh puak-puak tersebut.

Jangan terpengaruh dengan hujah songsang mereka yang menganggap rakyat Malaysia belum merdeka, biarpun negara sudah merdeka.

Hujah-hujah jahat mereka ialah dengan mengaitkan soal peruntukan undang-undang yang dikatakan bersifat kejam serta zalim.

Sedangkan di negara-negara lain demi menjaga keamanan dan ketenteraman negara pelbagai undang-undang diwujudkan supaya rakyat tidak melakukan tindakan yang mencetuskan perbalahan.

Dalam soal ini, ingatlah Malaysia bukanlah seperti negara lain. Dalam apa juga perkara kebebasan perlu ada hadnya kerana Tunku Abdul Rahman pernah mengingatkan pada 15 September 1968 bahawa; "Kita hendaklah sedar bahawa kedudukan negara kita adalah seperti terletak di atas peti letupan (barrel of gun powder).

"Jika kita tidak berhati-hati dan berbuat sesuatu dengan mengikut hawa nafsu, maka ia akan meletupkan peti letupan itu, akibatnya ia akan merosakbinasakan harta dan jiwa rakyat serta menghancurkan keamanan negara.’’

Dan kini setelah 49 tahun peringatan itu diberikan, kelompok yang 'mengikut hawa nafsu’ itu masih wujud. Siapakah mereka? Semua orang tahu!