Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SEORANG rakan saya, Zam (bukan nama sebenar) yang suka berjenaka tiba-tiba ‘meletup’ di pejabatnya baru-baru ini selepas berulang kali diasak bos untuk menyiapkan kerja orang lain.

Zam sebenarnya selama ini suka memendam perasaan dan bersikap Yes Man tetapi akhirnya gagal mengawal diri untuk satu ketika. Mujur kes itu cuma berakhir dengan suara lantang selama beberapa minit dan tidak menjadi babak aksi filem kung-fu atau Rambo.

Seorang lagi rakan saya, Zuha (juga bukan nama sebenar) pula suka meluah perasaan kepada rakan-rakan atau di media sosial dan tidak pernah ‘meletup’ kerana dia bijak melepaskan tekanan atau stres.

Kerjaya mereka berdua berbeza tetapi kedua-duanya berdepan tahap stres yang sangat tinggi. Namun, masing-masing mempunyai cara berbeza mengawal tekanan minda.

Seorang jarang mengambil cuti malah membawa pulang kerja pejabat ke rumah sementara seorang lagi hanya menyiap­kan kerja di pejabat dan mengambil cuti berkala sekurang-kurangnya untuk balik ke kampung.

Sebenarnya ramai golongan pekerja berdepan tekanan tinggi tanpa mengira pangkat, umur dan jantina mahupun atas kapasiti sebagai kakita­ngan awam atau sektor swasta tetapi kebanyakannya memilih untuk memendam perasaan seperti Zam.

Beban kerja terlampau banyak, masalah pengurusan masa antara rumah dan pejabat, tekanan berurusan de­ngan orang awam atau pekerja syarikat lain, melayan kehendak majikan dan bermacam faktor lain menambah stres pekerja.

Ada yang mampu menguruskan tahap stres mereka seterus­nya mengelak daripada timbul masalah mental seperti mudah cemas, kemurungan, masalah pemakanan, masalah emosi, mood swing dan lain-lain, tetapi ada juga hilang kawalan sehingga berlaku amukan di pejabat atau pun di rumah.

Sebagai manusia normal, seorang pekerja perlu sedar mereka tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang sekali pun hasil kerja mencapai tahap ‘kesempurnaan 99 petala langit’.

Kita tidak boleh terlalu fokus menjaga perasaan dan kemahuan orang lain sehingga merana sendirian, pengorbanan untuk kerja biarlah berpadan dengan gaji dan jawatan kerana anda mencari sumber rezeki bukannya membuat kerja sukarelawan.

Bunyinya agak materialistik tetapi ada masanya kita perlu pentingkan diri dalam hal kerja. Ada waktunya kita boleh memberi pertolongan atau kerja lebih daripada sepatutnya dan ada juga masanya untuk kita mengutamakan diri serta keluarga. Selagi tidak mengambil yang bukan hak kita, tiada kesalahan untuk pulang tepat pada waktunya jika kerja sudah siap, mengambil cuti merehatkan badan dan minda malah menghabiskan waktu bersama keluarga tanpa gangguan kerja pejabat.

Ini semua hak yang telah ditetapkan dalam perundangan negara dan rata-rata majikan memahami pekerja juga memerlukan masa untuk diri serta keluarga selepas lapan jam be­kerja, dua jam perjalanan pergi dan balik malah jika ada tambahan kerja lebih masa atau kerja pada hari cuti umum.

Zam dan mana-mana pekerja sekali pun perlu bijak mengambil (bukan mencuri) masa ‘mengecas kembali bateri’ sebelum mereka rebah atau ‘meletup’.

Cari cara tersendiri melepaskan stres sama ada hobi, aktiviti riadah, melancong atau meluangkan masa bersama keluarga serta rakan karib asalkan ada kehidupan di luar waktu kerja.

Saya juga ingin cadangkan pentadbiran syarikat atau orga­nisasi di negara ini menimbang untuk menyediakan seorang kaunselor di pejabat sebagai tempat kakitangan meluahkan perasaan dan mengurangkan stres malah membantu mereka mengurus serta mengawal kemarahan (Anger Management).

Badan manusia bukannya mesin yang boleh bekerja tanpa henti mahupun mudah dibaiki menggunakan alat ganti.

Jangan abaikan beban minda kerana masalah psikologi lebih sukar dikesan dan dirawat berbanding penyakit fizikal malah akibatnya jauh lebih menggerunkan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain