Jawabnya ringkas: “Peribahasa ini lebih manis, maksudnya dalam...kurang menyakitkan.”

Bagi Tumpang, peribahasa memberi pengajaran. Mengingatkan individu pelbagai kemungkinan yang akan datang. Tujuannya menegur, melarang membuat sesuatu.

Seingat Tumpang, masyarakat Cina pun ada memakai peribahasa. Disebut chengyu, mempunyai sejarah sangat tua, seiring sejarah peradaban Cina dan perkembangan bahasa Tionghoa.

Peribahasa Tionghoa mempunyai asal usul cerita menarik. Biasanya dari mitologi atau fakta sejarah. Atau muncul hasil dari karya sastera pelbagai dinasti dalam sejarah Cina.

Namun hari ini terutama dengan situasi politik yang ‘kelam’, ditambah hidup mencabar sarat memikir kos sara hidup itu ini, peribahasa nampaknya sudah luput penggunaannya dalam ‘menarikan’ kehidupan.

Menggantikannya, troll yang beraja di laman sosial.

Cuma Tumpang berpisah tiada dengan peribahasa. Seperti mana situasi politik tanah air yang banyak membentuk pemikiran dan kehidupan kita dalam masyarakat, Tumpang berharap parti politik tertentu tidak berperilaku bak “bagai sepuluh jong masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga” (1).

Ada sebilangan parti sudah pun merentasi pembaharuan mendapat apa yang diimpikan selepas 9 Mei tahun lepas, tetapi malangnya masih bermain sentimen blame game.

Tumpang terkejut bila mana tragedi di Christchurch Jumaat 15 Mac lepas yang memberi pengajaran bagaimana toleransi kaum dan kepelbagaian masyarakat harus dihormati, tiba-tiba kita dihidangkan klip video tular memaparkan sekumpulan pemuda Cina yang membahayakan diri sendiri bertindak bodoh membuat provokasi di majlis yang dipenuhi khalayaknya Melayu di Lembah Pantai, Jumaat tiga hari lepas.

Dek insiden provokasi kecil ini yang dibimbangi mengundang amarah kaum lain, Tumpang jatuh kesian kepada sebuah parti ini kalau-kalau kelak dicap “bagai ubur-ubur airnya hitam” (2)?

Sudah tentu parti terbabit tidak mahu digelar sebegitu sekali dek selepas meraih sokongan pengundi, kuasa dan imej bak nanti dicap “hanya bagai arang habis, besi binasa, tukang hembus penat sahaja,”(3).

Sesiapa pun selepas melalui 10 bulan pasca PRU-14 akan menilai KPI parti-parti kerajaan, waima parti pembangkang pun. Jangan lupa pada bidalan “bagai sekali bekas kena, dua kali bekas tahu, tiga kali bekas jeran”(4).

Mana-mana kaum pun tidak akan membiarkan diri mereka dipergunakan oleh parti-parti yang mereka sanjung dan julang bagai “sayang kaki pada terompah” (5).

Pengundi yang berhempas pulas memenangkan parti tertentu, pastinya juga tidak mahu menerima nasib dihidangkan janji-janji melangit tetapi bila tiba masanya bak indah khabar dari rupa - juga “bagai guna-guna alu, sesudah menumbuk dicampakkan”(6).

Jasa pengundi seolah-olah begitu mudah dilupakan. “Langsung bagai mayang menolak seludang” (7).

Tumpang bagaimanapun yakin rakyat hari ini tidak akan diperdayakan dengan dakyah-dakyah dan fitnah yang tular menjengkelkan.

Diharap tidak mendatang kelak suatu perasaan “bak mandi di air kiambang, pelak lepas gatal pun datang,” (8).

Janganlah seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” (9).

Akhirnya rakyat pula yang tersepit. “Awal dibuat, akhir diingat” (10).

Opss! Tumpang selitkan maksud peribahasa dari 1 hingga 10 tadi:

(1). Tidak mahu berubah walaupun banyak melihat pembaharuan.

(2). Daripada kelakuan dan bahasanya kita tahu orang itu jahat.

(3). Usaha sia-sia.

(4). Orang yang sama tidak akan ditipu lebih sekali.

(5). Digunakan apabila diperlukan sahaja.

(6). Dihargai hanya sewaktu berguna.

(7). Tidak mengenang budi.

(8). Mendapat sesuatu yang pada mulanya cantik dan diingini, tetapi kemudian ternyata mendatangkan susah.

(9).Tidak sepakat, mementing diri sendiri.

(10). Fikir masak-masak sebelum melakukan sesuatu.