Mengikut hujah hakim ketika menjatuhkan hukuman itu, emoji yang dihantar oleh pasangan tersebut menjadi bukti yang menunjukkan mereka berminat untuk menyewa premis yang diiklankan oleh tuan rumah ber­kenaan.

Dilaporkan tuan rumah itu telah mengiklankan premisnya untuk disewa di ruangan iklaneka. Tidak lama kemudian, dia menerima mesej daripada pasangan terbabit yang menyebut tentang rumah yang diiklankan itu disertai rantaian emoji antaranya ikon wanita berdansa, isyarat tangan V untuk kemenangan atau damai dan se­ekor tupai.

Mengambil serius mesej itu sebagai tanda yang pasang­an berkenaan berminat, tuan rumah tersebut telah menarik balik iklan untuk mencari penyewa premisnya. Malang­nya puas dihubungi beberapa kali selepas itu, dia tidak mene­rima sebarang respons daripada pasangan ter­babit.

Bengang kerana berasa dipermainkan, tuan rumah berkenaan menyaman pasangan terbabit di mahkamah yang kemudiannya memutuskan rantaian emoji yang dihantar mereka sebagai statement of intent (bukti hasrat). Pasangan tersebut didapati bersalah mengelirukan tuan rumah lalu didenda kira-kira AS$2000.

Dalam hujahnya antara lain hakim menyebut; “Ikon yang digunakan menunjukkan keyakinan. Walaupun mesej bukan kontrak yang mengikat dua pihak, mesej ini mendorong plaintif menggantung harapan besar terhadap hasrat defendan menyewa apartmen miliknya.”

Wartawan portal The Next Web (TNW) yang berkongsi berita itu secara sinis menulis; “Saya tidak pasti pula emoji tupai (membawa maksud) optimisme. Namun siapalah saya hendak menghakimi?”

Membaca berita ini membuatkan penulis tertanya-ta­nya bagaimana agaknya jika orang Malaysia pun meng­anggap emoji mahupun emotikon iaitu ikon emosi dalam teks, sebagai sesuatu yang serius?

Sebagaimana kita tahu, emoji adalah kod bahasa pesanan ringkas menggunakan simbol bergambar. Jika emotikon dikatakan mula digunakan sejak kurun ke-17 oleh orang Slovakia, emoji pertama pula dicipta pada 1998 oleh Shigetaka Kurita dari Jepun. Perkataan emoji berasal daripada bahasa Jepun e = gambar dan moji = karakter.

Mengikut carian di internet, Kurita mencipta emoji bagi memudahkannya menghantar mesej tanpa perlu menaip ayat yang panjang. Kalau kita masih ingat di awal-­awal penggunaan telefon bimbit, penghantaran mesej dihadkan tidak lebih 150 patah perkataan.

Selepas era emotikon iaitu ikon emosi yang dibentuk menggunakan teks - huruf dan simbol di papan kekunci, emoji memang digunakan secara berleluasa.

Rakyat Malaysia sebagai antara pengguna media sosial termasuk Facebook yang paling aktif di dunia memang tidak payah diperkenalkan dengan emoji.

Paling biasa kita gunakan emoji tangan menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda kita menyukai atau bersetuju dengan sesuatu kenyataan mahupun status yang dimuat naik oleh siapa jua dalam grup WhatsApp mahupun di internet.

Kerapkali juga emoji dihantar secara suka-suka untuk bercanda misalnya imej marah walaupun penghantarnya bukan betul-betul marah, imej dengan tanda hati di mata meskipun hampir pasti tidak ada ‘hubungan cinta’ antara penghantar dan penerima, dan bermacam-macam lagilah.

Bagi pengguna aktif media sosial, dalam kalangan teman dan kenalan setidak-tidaknya, emoji memang tidak boleh dipandang terlalu serius sebagai pernyataan emosi sebenar penghantarnya.

Justeru apa yang berlaku di Israel ini memang boleh dianggap sesuatu yang agak janggal di negara kita.

Bayangkan kalau menghantar emoji di Malaysia ‘dibaca’ sebagai evidence of intent atau bukti hasrat si penghantar kepada si penerima, agaknya berapa ramai yang diheret ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Lokap pun mungkin penuh kerana ramai yang tidak mampu membayar denda atau penalti memandangkan kebanyak­an pengguna internet yang ‘rajin’ menghantar mesej termasuk emoji sesedap jari menekan butang Send ialah kalangan remaja dan anak-anak muda.

Setakat menghantar isyarat bagus atau menekan butang Like sebagai respons memang tidak ada apa, tetapi kita semua maklum betapa ekspresif pengguna media sosial di negara kita. Tanpa ragu-ragu ramai yang sewenang-wenang menghantar emoji muntah hijau, muka marah, wajah iblis dan sebagainya.

Mujurlah kita semua berada di Malaysia.

Sekali lagi hasil carian di Internet, penulis bertemu satu artikel bertajuk, 10 Emoji Meanings That Don’t Mean What You Think They Mean atau dalam bahasa Melayunya, 10 Emoji Yang Maksudnya Tidak Seperti Anda Fikirkan, yang disiarkan di laman web www.lifewire.com.

Jangan terkejut memang banyak emoji yang biasa kita gunakan sebenarnya membawa maksud tak disangka-sangka. Jadi ber­ingatlah! Memang mudah untuk kita menghantar emoji ibu jari tangan terangkat atau dua jari V mahupun pelbagai mimik muka ikon kuning senyum, cebik, marah dan sebagainya, tetapi berhati-hatilah kerana emoji yang kita hantar itu mungkin sahaja membawa erti yang berbeza atau ‘dibaca’ lain daripada yang kita maksudkan.

Tidak mustahil emoji yang kita hantar itu akan di­salahertikan jika digunakan tanpa meneliti maksud sebenarnya. Rajin-rajinlah membuat rujukan. Penulis pun baru tahu tentang perkara ini. Jadi tidak salah jika kita sama-sama merujuk kepada Emojipedia, laman sesawang yang merekodkan emoji di bawah Unicode Standard de­ngan maksud sebenar di sebaliknya.

Walaupun di Malaysia mungkin kita tidak akan diheret ke mahkamah, kita pun tidak mahu gara-gara emoji yang kita hantar secara suka-suka disalahertikan, menyinggung atau lebih teruk lagi mencetuskan kegusaran, permusuhan atau keadaan yang tidak tenteram pula.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita mengawal diri dan jari daripada menghantar emoji sesedap rasa. Mudah-mudahan bertambah pahala dan berkurang dosa kita.

Selamat berpuasa!