Daripada Aisyah r.ha berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW melakukan puasa satu bulan penuh ­kecuali puasa bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat baginda lebih banyak berpuasa sunah melebihi (puasa sunat) di bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadan terafdal berpuasa. Nabi SAW menjawab yang bermaksud: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan”. (Riwayat at-Tirmizi)

Namun, bagi para isteri dalam keghairahan melakukan puasa sunat adalah diingatkan supaya mendapat izin suami sebelum mereka berbuat demikian.

Waima suami itu orang yang beriman atau sebaliknya, wajib bagi si isteri meminta izin suami kerana dikhuatiri suaminya berhajat untuk si isteri melayaninya. Apa hukum bagi isteri yang puasa sunat tanpa izin suami?

Majoriti ahli fiqh seperti Imam Nawawi (dalam al-Muhadhdhab) dan selainnya menyatakan puasanya tetap sah, namun ia berdosa kerana melakukan suatu keharaman.

Ia sebagaimana kaedah fiqh, sesuatu yang wajib jika bertembung dengan sunat maka kita mesti mengutamakan wajib. Mentaati suami adalah wajib, manakala puasa itu sunat.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak halal bagi isteri berpuasa sunat sedangkan suaminya ada di sisinya melainkan dengan izin suami. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Abu Daud ditambah “melainkan dalam bulan Ramadan”.

Izin suami ini dapat diketahui baik secara jelas sama ada melalui ucapan atau pun dengan isyarat.

Hatta kalau diamnya suami difahami sebagai persetujuannya, maka seorang isteri itu dibolehkan berpuasa sunat. Antara amalan lain digalakkan dalam Syaaban adalah:

Mengganti puasa Ra­madan yang lalu

Bulan Syaaban adalah masa terbaik mengganti puasa tertinggal dalam Ramadan tahun-tahun lepas. Tidak kiralah atas alasan apa ditinggalkan puasa itu, ia wajib diganti atau dibayar fidyah berdasarkan syarat dan timbangan tertentu.

Bagi kaum muslimah yang belum habis menggantikan puasa, Syaaban inilah masanya menggantikan puasa tersebut. Ia sebagaimana hadis daripada Aisyah r.ha: “Aku mempu­nyai hutang puasa Ramadan, aku tidak dapat mengqada­nya kecuali di bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Nabi SAW.” (Riwayat Bukhari)

Istiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian.

Istiqamah bermaksud sentiasa melakukan amal ibadah setiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa diambil untuk melaksanakannya.

Ini termasuk ­melazimi solat berjemaah di masjid dan membanyakkan membaca serta mentadabbur al-Quran.

Memperkukuh silaturahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ia berkait dengan hubungan manusia dengan Allah SWT.

Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka tidak saling bermaafan. Sucikan diri daripada perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadan supaya amal ibadah pada bulan berkat ini dapat dirasai ­kemanisannya.

Bertaubat dan beristighfar

Manusia digalakkan bertaubat dan memohon keampunan Allah atas segala dosa selama ini. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan dosa-dosa yang dilakukannya saban waktu.

Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah ter­utamanya dosa-dosa kecil hasil perbuatan manusia sama ada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran atau perbuatan.

Semua dosa ini sebenarnya menjadi titik-titik hitam yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Natijahnya, individu terbabit akan jauh daripada petunjuk Allah.

Taubat ialah pembersihan rohani. Daripada Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang selalu memohon ampun (memperbanyak istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Antara persoalan yang sering dibangkitkan adalah hukum berpuasa sunat selepas nisfu Syaaban (15 Syaaban). Pendapat yang tepat dalam hal ini adalah tidak ada halangan berpuasa selepas pertengahan Syaaban.

Sebabnya, hadis larangan berbuat demikian termasuk hadis yang lemah. Apatah lagi jika individu berkenaan memang melazimi dirinya berpuasa. Pengecualian juga diberi kepada mereka yang puasa qada atau nazar.

Larangan berpuasa itu kepada mereka yang saja-saja mahu puasa sunat sedangkan dia bukanlah orang yang melazimi berpuasa.