Diharapkan kerajaan baharu Malaysia akan mengamalkan pendekatan lebih bertoleransi terhadap etnik terbabit yang memasuki negara ini sama ada secara sah atau sebaliknya.

Sebelum ini, etnik berkenaan mendapat layanan agak ‘keras’ daripada kerajaan Malaysia termasuk dipenjarakan dan dihantar pulang ke negara asal walaupun ada dalam kalangan mereka mendakwa nyawa terancam.

Layanan diterima etnik Uighur yang beragama Islam dan mengamalkan budaya Turki itu jauh berbeza jika dibandingkan nasib saudara seagama dari Palestin dan Rohingya yang memasuki Malaysia.

Dalam buku ini, penulis yang juga Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr. Roy Anthony Rogers menjelaskan, Xinjiang yang bermaksud wilayah baharu dalam bahasa Mandarin adalah wilayah China paling besar dan terletak di bahagian barat laut negara itu yang bersempadan de­ngan negara-negara Asia Tengah seperti Kyrgyzstan dan Afghanistan.

Buku ini membincangkan faktor-faktor dalaman serta luaran yang mempengaruhi keadaan hak asasi manusia di Xinjiang. Keadaan hak asasi manusia di wilayah itu tidak konsisten dan sentiasa berubah-ubah.

Naskhah ini juga menganalisis sebab-sebab yang telah membawa kepada perubahan hak asasi manusia. Menurut penulis, keadaan hak asasi manusia di Xinjiang telah mengalami beberapa tahap.

Tahap pertama berlaku ketika era Revolusi Kebudayaan di bawah kepemimpinan pengasas kerajaan China moden, Mao Zedong apabila etnik Uighur mengalami peninda­san setelah mereka dihalang mengamalkan ajaran Islam serta budaya Turki secara terbuka.

Pada tahap kedua kea­da­an hak asasi manusia di Xinjiang telah beransur-ansur menjadi lebih baik akibat dasar pembaharuan dan liberalisasi yang di­perkenalkan oleh bekas Pre­siden China, Deng Xiao­ping pada awal 1980-an. Etnik Uighur dibenarkan untuk mengamalkan budaya mereka serta mengikut ajaran Islam dengan lebih bebas.

Bagaimanapun, pada tahap ketiga ketika awal 1990-an, situasi keselamatan di Xinjiang merosot akibat kebangkitan semangat nasionalisme Uighur yang mencetuskan beberapa rusuhan.

Pihak berkuasa China memperkenalkan dasar Strike Hard untuk memperketatkan kawalan keselamatan. Lanjutan daripada itu, kebebasan hak asasi manusia yang diperkenalkan pada 1980-an mula terhakis.

Kemerosotan hak asasi manusia menjadi lebih serius pada tahap keempat mulai 2001 ter­utamanya selepas serangan 11 Sep­tember apabila kerajaan Chi­na telah menggunakan alasan me­merangi pengganas untuk memperketatkan kawalan kese­lamatan di Xinjiang.

Pemerintah China telah memperkenalkan semula dasar-dasar yang bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama seperti kakitangan kerajaan tidak diga­lakkan untuk berpuasa dan memakai hijab. Tujuan dasar sedemikian adalah supaya masyarakat Uighur secara beransur-ansur menggugurkan identiti Islam dan Turki mereka.

Selain itu, buku ini juga membincangkan dasar pemindahan masyarakat Han secara beramai-ramai ke Xinjiang atas alasan pembangunan. Bagi etnik Uighur, dasar sedemikian adalah satu penindasan apabila banyak peluang pekerjaan telah diambil alih oleh masyarakat Han yang bukan beragama Islam.

Di samping itu, etnik terbabit bimbang budaya Turki serta ajaran Islam yang mereka amalkan selama ini akan dicemari oleh budaya masyarakat Han. Buku ini turut menganalisis usaha yang telah diambil oleh diaspora Uighur di seluruh dunia untuk me­ningkatkan kesedaran di peringkat antarabangsa akan nasib etnik terbabit.

Penulis berpendapat, dasar ke­ras kerajaan China hanya akan memburukkan hak asasi manusia ma­lah merenggangkan hubu­ngan antara masyarakat Han dengan etnik Uighur. Buku ini turut mendedahkan terdapat sebahagian etnik berkenaan berpendapat mereka hidup terpinggir daripada arus pembangunan dan identiti Islam serta Turki mereka turut terancam.

Dasar keras kerajaan China tidak mampu mencapai objektif untuk membawa ketenteraman di Xinjiang sebaliknya dalam jangka masa panjang hanya meningkatkan kemarahan etnik Uighur.

Akhir sekali, buku ini memberikan beberapa cadangan kepada pemerintah China, kumpulan diaspora Uighur serta masyarakat antarabangsa supaya hak asasi manusia etnik terbabit terus terpelihara dan Xinjiang kekal stabil dan makmur.