Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MINGGU lalu, Ahli Parlimen Bukit Bendera yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam blognya www.zairil.com telah mengeluarkan kata-kata yang cukup sinis terhadap Pas selepas parti itu dilihat lebih mengutamakan keredaan Allah SWT daripada memikirkan strategi untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Sehubungan itu Zairil mengesyorkan Pas meninggalkan perjuangan politik pilihan raya dan memilih menjadi jemaah tabligh atau tarekat sufisme. Rentetan kenyataan tersebut, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed membidas Zairil sambil mengingatkan pe­mimpin DAP itu tentang kewajipan orang Islam percaya kepada hari akhirat.

Soalnya sekarang, mengapa secara tiba-tiba Zairil menye­rang Pas dan mahu parti itu meninggalkan terus arena politik? Adakah beliau marah kepada Pas kerana parti berkenaan enggan bekerjasama dengan DAP dan pakatan pembangkang lain bagi menghadapi cabaran Barisan Nasional (BN) pada PRU-14?

Yang pasti Pas tidak berminat menyertai pakatan pembangkang pada pilihan raya umum kali ini. Sudah tentu Pas mempunyai alasannya tersendiri yang kemungkinan berkait rapat dengan tanggungjawab agama yang selama ini menjadi dasar perjuangan parti berkenaan.

Apapun Zairil sepatutnya belajar menghormati pendirian Pas dengan tidak mengeluarkan kenyataan sembarangan apa­tah lagi jika ada kaitannya dengan soal agama. Hakikatnya, mencari reda Allah itu adalah sesuatu yang amat dituntut walaupun dalam bab berpolitik.

Justeru, setiap pemimpin Melayu khususnya dalam DAP perlu sedar akan perkara tersebut. Jangan disebabkan terlalu taksub dengan kelangsungan karier, parti serta arahan bos politik mereka, agama dipinggirkan.

Selain orang politik, mesej ini juga perlu disampaikan kepada kelompok orang Islam di Malaysia yang berfikiran liberal. Bagi mereka agama itu tidak penting dan atas asas itu kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) sanggup membuat tuntutan yang bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan ketika berlangsungnya semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia pada Oktober 2013.

Antara tuntutan Comango ialah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini. Bagi mereka hak asasi individu atau manusia adalah segala-galanya. Penulis percaya mereka juga menentang keras usaha menambah baik Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355.

Kepada kelompok ini penulis ingin berkongsi tentang satu fakta iaitu betapa beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Seandainya kita adalah sebahagian daripada umat terdahulu, sudah pasti Allah akan menurunkan balas­an serta-merta di dunia lagi dan itulah yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh A.S, kaum Ad, kaum Thamud dan kaum Nabi Lut A.S.

Cuba kita baca kisah perjuangan Nabi Lut dalam al-Quran yang tidak putus-putus meminta umat baginda meninggalkan perbuatan homoseksual dan lesbian (hubungan sejenis). Malangnya umat baginda enggan patuh dengan arahan tersebut sebaliknya terus ingkar,

Disebabkan keingkaran itu akhirnya kaum Nabi Lut te­lah dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat. Kisah itu telah dirakamkan dalam surah Hud ayat 81 hingga 83. Tiada seorang pun yang terselamat. Sungguhpun begitu perbuatan jijik itu masih belum berhenti bahkan terus berlaku sehingga saat ini.

Mengapa perbuatan terkutuk itu terus berlaku? Sebabnya umat di zaman mutakhir ini gagal mengambil pengajaran atau ibrah terhadap malapetaka yang diturunkan oleh Allah terhadap kaum Nabi Lut. Malah apa yang berlaku di saat ini seolah-olah manusia cuba meng­undang kemurkaan Allah sekali lagi.

Jelaslah kepada kita agama tidak boleh sesekali dipinggirkan dan tidak boleh dipisahkan dalam hidup ini. Tanpa agama hidup seseorang itu akan hancur. Tidak seorang pun terkecuali daripada memikul tanggungjawab ini lebih-lebih lagi mereka yang diberikan amanah oleh Allah sebagai pemimpin.

Sesungguhnya mereka yang bergelar pemimpin ini mempunyai tanggungjawab besar terutama dalam memandu manusia ke jalan yang diredai oleh Allah.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain