Pasangan itu kemudiannya bercerai kerana si suami tidak sanggup lagi melihat kecurangan isteri yang berusia 23 tahun itu.

Kes penceraian membabitkan kecurangan pasangan sama ada di pihak suami atau isteri sudah acap kali kita dengar. Dan masyarakat pastinya akan terus menjatuhkan hukuman kepada pihak yang berlaku curang itu. Lebih-lebih lagi si isteri yang menurut mereka tidak patut berkelakuan begitu apatah lagi mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Kalau dinilai melalui kes di atas, isteri terbabit baru berusia 23 tahun dan sudah mempunyai tiga anak. Jika mereka berkahwin sudah tujuh tahun, bermakna pasangan itu mendirikan rumah tangga ketika isterinya berusia 16 tahun, usia yang terlalu muda untuk memasuki alam perkahwinan.

Cekmek Molek bukan mahu mempertikaikan umur muda perkahwinan mereka yang dibenarkan di negara ini, apatah lagi sekarang ini kanak-kanak berusia 11 tahun pun sudah dijadikan isteri. Tetapi Cekmek Molek mahu bercakap mengenai kebiasaan kehidupan dalam tempoh usia sebegini yang boleh dikatakan belum cukup matang untuk dipertanggungjawabkan dengan hal rumah tangga.

Namun, perkahwinan muda nampaknya seolah-olah menjadi trend pula ketika ini. Ramai pasangan muda yang berkahwin berbangga dan berkongsi foto mereka di media sosial dengan pelbagai ciptaan hashtag #tilljannah #relationshipgoal dan sebagainya. Kawan-kawan follower mereka mulalah galak untuk mengikut jejak langkah keseronokan berkahwin itu yang hanya nampak indah-indah belaka tanpa mempedulikan risiko selepas kahwin.

Memetik portal theAsianparent Malaysia menggariskan beberapa keburukan perkahwinan di usia muda ini. Pertama, mereka belum memiliki pengalaman untuk menghadapi tanggungjawab besar seperti bernikah. Kadar kematangan perlu diambil kira oleh mereka yang berusia muda sebelum terburu-buru ke jinjang pelamin.

Kedua ialah berhubung keadaan ekonomi yang belum stabil. Tidak semua mereka yang berusia muda sudah memiliki pekerjaan tetap. Ia sekali gus dikhuatiri boleh menjadi penyebab kepada keruntuhan rumah tangga kelak.

Ketiga, tiada lagi waktu me-time. Sudah menjadi lumrah orang-orang muda mahu melakukan aktiviti menyeronokkan seperti pergi menonton wayang, jalan-jalan ke pusat beli-belah atau berkumpul bersama teman-teman secara bebas. Namun, kalau sudah berkahwin lebih-lebih lagi yang sudah ada anak, aktiviti seperti ini tidak lagi boleh dilakukan secara bebas.

Keempat adalah berhubung masalah komitmen. Ini adalah penyebab utama dalam keruntuhan rumah tangga pasangan muda. Kebebasan menjadi keutamaan mereka berbanding menjalankan tanggungjawab sebagai suami atau isteri, ibu atau bapa.

Apa pun, semuanya terpulang kepada pasangan masing-masing bagaimana mereka mahu mengekalkan hubungan perkahwinan itu. Jika tahu tanggungjawab, saling bertoleransi dan menyingkirkan ego, insya-Allah bahtera rumah tangga mampu dilayari dengan baik. Bagi si isteri pula yang tidak tahan lagi menanggung derita kerana sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab, bercerailah secara elok. Janganlah pilih jalan curang yang tentunya haram di sisi Islam, ia akan mendedahkan keburukan isteri berbanding suami.