Tapi realitinya - Pas ma­­sih mem­punyai kekuatan ke­rana parti Islam itu mendapat lebih dua juta undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Meraih 18 kerusi Parlimen daripada 158 kerusi yang ditandingi­nya di seluruh negara tempoh hari masih pencapaian yang baik buat parti yang bergerak secara solo berbanding satu dua parti Melayu dalam Pakatan Harapan (PH).

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia Sabtu lepas, Pas mendapat 9,698 undi.

Bak kata seorang pengkritik tegar yang analisisnya ‘kelihatannya tidak digemari tetapi hakikatnya mencengkam, sempoi dan berterus terang’, Zaharin Mohd. Yassin dalam rakaman video yang tular sehari dua ini, mengapa Pas kalah di Seri Setia:

“Tidak mudah untuk me­nga­lahkan Pas sebagai parti Melayu yang mendapat sokongan 9,698 orang yang mengundi berban­ding PKR yang hanya mendapat 13,725.

“Kemenangan (keupayaan) Pas suatu petanda baik untuk negara ini yang masih ada orang Islam iaitu Melayu yang mempunyai kepedulian soal politik. Banyak orang tak menyedari kepenti­ngan mengambil bahagian dalam politik. Dalam Islam, politik itu disebut antaranya kena ambil bahagian dalam majlis syura dan bermusyawarah.

“(Maka) kalau sekarang telah ditukar kepada pemberian undi, (maksudnya) kita (orang Islam) mesti keluar untuk memilih parti yang tepat. Tapi banyak orang Islam tak ambil kisah, sebaliknya orang bukan Islam nampaknya ‘lebih Islam’ dari segi tanggungjawab mereka apabila keluar beramai-ramai untuk memberi undi kepada parti yang mereka percaya boleh memikul kepercayaan dan tanggungjawab.”

Wah! ‘bisa’ sekali Zaharin. Ya, meskipun realitinya PKR si pe­menangnya, tidak dapat tidak ‘pe­nangan’ Pas tidak boleh di­sangkal dalam senario politik hari ini. Bukan setakat jumlah undi diraih­nya me­ningkat sekali ganda dari 4,563 undi (PRU-14) kepada 9,689 undi kali ini di Seri Setia, bahkan mengekalkan kemena­ngan di daerah mengundi (DM) di PJS5 dengan undi lebih besar serta memenangi DM Sungei Way yang parti itu tidak pernah menang sebelum ini.

Dan walaupun PH mempunyai majoriti kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan 9 Mei lalu, namun undi yang dimenangi wakil rakyat beragama Islam gabungan itu masih rendah - seba­nyak 58 kerusi manakala bukan Is­lam mencecah 66 kerusi.

Di sebalik itu, Pas berkuasa di dua negeri, hampir berjaya di Kedah serta menghantar suara melalui wakil di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor. Pas juga masih boleh ‘bersuara’ di peringkat pusat.

Justeru, jemputan Pas kepada parti-parti dari blok pembangkang termasuk UMNO ke Muktamar Tahunan parti itu di Gong Badak, Terengganu Sabtu ini bukan ‘pelawaan macam jemputan kenduri kahwin atau jemputan ajak-ajak ayam’. Tetapi jemputan daripada sebuah parti yang pe­nguasaannya di dua negeri Pantai Timur agak berpengaruh yang belum mampu ditembusi PH.

Dan kalau dinilai dari pengamatan mata kasar, orang Melayu sebahagian besarnya masih bersandarkan harapan kepada Pas dan UMNO seperti trend pengundian PRU-14. Kelompok Melayu ini masih setia kepada UMNO dan Pas kerana ‘ralat’ mereka kepada DAP.

Pas khususnya menjadi alternatif kepada UMNO seperti dipaparkan 9 Mei lalu. Kalau ikut cakap-cakap, kira-kira sejuta pengundi UMNO pada PRU-13 telah meninggalkan parti itu dengan mengundi parti lain empat bulan lalu.

Sebahagian besar atau 56 peratus daripada mereka ini dikatakan mengundi Pas dan tidak memberi undi kepada PH atas faktor tidak menyokong DAP. Baki 44 peratus sama ada mengundi Bersatu, Amanah atau Warisan dan sebahagian kecil mengundi PKR. Jika trend ini tidak ditangani oleh mana-mana parti Melayu, Pas diyakini berupaya meraih manfaat utama pengundi Mela­yu pada PRU-15 nanti.

Meskipun kerjasama peringkat awal di PRK DUN Sungai Kandis serta DUN Seri Setia dan Balakong belum memberi impak positif de­ngan memenangi ketiga-tiga kerusi itu, daya usaha Pas-UMNO menjalin kerjasama strategik dalam me­nangani landskap politik baharu Malaysia jangan diperkecilkan.

Kerjasama ini wajar diusaha­kan dalam memberi saingan ke­pada PH dan lebih penting sebe­narnya untuk terus menjadi pe­naung kepada kaum Melayu dan agama Islam.

Jika kerjasama ini diwujudkan maka suara di Parlimen dapat diperkukuhkan (51 ahli Parlimen UMNO campur 18 wakil Parlimen Pas = 69 ahli Parlimen). Sokongan pengundi pula jika berdasarkan perolehan undian tempoh hari juga hampir menyaingi perolehan undian PH (UMNO 34 peratus + 14 peratus Pas = 48 peratus).

Tetapi implikasinya tetap ada. Antaranya, barangkali pengundi bukan Melayu majoritinya akan menolak gabungan Pas-UMNO tersebut. Ini ketara dalam tiga PRK baru-baru ini.

Pengundi di Sabah dan Sa­ra­wak pula dikhuatiri akan me­ngambil tindakan serupa. Dan barangkali sebahagian ahli Pas atau UMNO akan meninggalkan parti atas prinsip peribadi.