Risiko itu ada kaitan dengan gabungan pembangkang PKR yang gagal untuk menawarkan alternatif lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut penulis, gabungan pembangkang PKR boleh disifatkan sebagai pakatan yang cacamarba. Jangan percaya dengan politik cacamarba. Makanan pun tidak sedap jika disediakan de­ngan cacamarba.

Ini kerana parti-parti yang berada dalam gabungan itu mempunyai agenda berbeza-beza, tidak sepakat dalam banyak perkara dan masing-masing mempunyai masalah tersendiri.

Namun, gabungan itu cuba bermain ‘silap mata’ dengan menyembunyikan perbalahan sesama mereka bagi memperlihatkan kepada rakyat bahawa pakatan berkenaan benar-benar mantap dan boleh menjadi pengganti BN. Namun, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru atau sehelai daun pisang.

Sehubungan itu, penulis menegaskan, pengundi perlu terus memilih BN kerana banyak kejayaan yang telah dicapai hasil daripada manifesto-manifesto sebelum ini.

Kejayaan itu dapat dihasilkan kerana kerajaan BN mampu memastikan negara ini bebas daripada sebarang kacau-bilau dan pada masa sama terus mengge­rakkan pertumbuhan pesat dalam bidang ekonomi.

Kemakmuran Malaysia, menurut penulis, tidak datang secara tiba-tiba. Semuanya berkait rapat dengan kestabilan politik yang dijana pemerintahan BN yang ditunjangi UMNO.

Politik negara terus stabil walaupun parti tunggak menghadapi pelbagai ujian termasuk ­perebutan jawatan Presiden pada 1987 sehingga UMNO diharamkan dan kes pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

“Sumbangan khidmat pemim­pin yang sambung-menyambung dari 1946 (UMNO ditubuhkan) hingga kini mencorakkan apa yang kita rasai sebagai rakyat dalam negeri sendiri. Produk perjuangan mereka kita sudah rasai.

“Cuma sayang, curahan ­khid­mat mereka telah disalut oleh prasangka dan tentangan politik serong daripada beberapa pihak dan penjuru sehingga jasa mereka kadangkala seakan-akan mahu diketepikan.

“BN yang ditunjangi UMNO masih parti terbaik dalam agenda membela bangsa, agama dan negara. Tidak ada parti tiruan ke­rana UMNO tidak boleh dipalsukan,” tegas penulis.

Dalam pada itu, kejayaan BN untuk memastikan kestabilan politik Malaysia harus dipuji kerana budaya politik di negara ini berbeza sama sekali dengan gaya yang di­amalkan di negara-negara lain, terutamanya negara-negara maju.

Di negara ini, persaingan politik untuk menjatuhkan pemim­pin berlaku sepanjang masa berbanding negara-negara di Barat yang pembangkang turut sama membantu pemerintah.

Menurut penulis, usaha menjatuhkan pemimpin berpunca kerana dendam. Kerana perasaan itu, calon Perdana Menteri sementara gabungan pembangkang PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh berbaik-baik dengan Anwar.

Banyak pihak berkata, Dr. Mahathir yang menghumban Anwar ke dalam penjara. Tetapi sekarang, keluarga Anwar begitu rapat dengannya. Malah yang lebih pelik bagaimana Dr. Mahathir sanggup menerima Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri gabungan pembangkang PKR.

Tambah penulis lagi, budaya politik mahu menjatuhkan pe­mimpin perlu dihentikan kerana hidup ini terlalu singkat untuk berdendam dan bersangka jahat. Dunia mesti dihuni oleh individu yang berpegang kepada perasaan kasih sayang.

Sementara itu, penulis melahirkan kebimbangan gabungan pembangkang PKR akan menggunakan taktik kotor bagi memastikan matlamat mewujudkan ‘tsunami Melayu’ menjadi kenya­taan dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus undi orang Melayu.

“Tsunami Melayu yang begitu didambakan pihak berkenaan akan menjadi realiti jika ada sebilangan orang Melayu yang melatah dan mengamuk.

“Sikap ini berlaku secara spontan. Bahkan kadang-kadang ‘di luar kawalan’ tanpa sedar, melatah apabila ‘dicucuk’. Mengamuk pula apabila naik marah- apa lagi apabila kepentingan diri dikacau, anak bini diusik dan poket tergugat.

“Justeru, BN terutama UMNO mesti mengambil perhatian serius perkara berkaitan ‘emosi ini’ kerana pakatan berkenaan diketahui amat licik dengan ‘permainan’ ini.

“Akibat dari spin di saat-saat akhir inilah amat dibimbangi terjadi seperti mana disebut orang tua-tua kita: ‘Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan’ - melepas apa yang ada semata-mata hendak mengejar keuntu­ngan yang lebih besar, tetapi akhir­nya mengalami kerugian,” tulis penulis.

 

Info

> Judul: Malaysia Tanpa BN?

> Penulis: Datuk Ahmad Faris Abdul Halim dan Profesor Dr. Nasrudin Mohammed

> Jumlah halaman: 198

> Tahun terbitan: 2018

> ISBN: 978-967-15907

> Penerbit: Masterplan Consulting Sdn. Bhd.