RAJINIKANTH
RAJINIKANTH

“Safe country...nice country,” komennya kepada rakan baiknya, Datuk Abdul Malik Dashtigeer sambil memuji kehidupan malam di negara ini yang menurut pemenang Oscar itu lagi begitu selamat.

Sebelum ini pun beberapa bintang Bollywood terkenal termasuklah Rajinikanth, Kajol, Danush dan Surya yang berkunjung ke negara ini kerana menjalani penggambaran atau mempromosikan filem mereka, meluahkan nada sama.

Rajinikanth suka­kan keramahan penduduk di Pulau Carey dan makan kari kepala ikan. Kajol juga suka berjalan malam tanpa ditemani body guard di pusat beli-belah Mid Valley dekat Bangsar. Khabarnya, gemar ke Starbuck.

Kalau di luar ibu negara, Pulau Besar di Melaka pula menjadi destinasi pilihan A.R. Rahman.

Kegemaran bintang-bintang ternama dunia itu disampaikan Abdul Malik, 34, yang juga pengedar dan penerbit bersama filem Bollywood ke negara ini kepada Tumpang lalu baru-baru ini.

KAJOL
KAJOL

“Sayang sekali kalau kita tidak ambil peluang keemasan untuk menjadikan produk filem sebagai satu daya tarikan pelancongan di Malaysia.

“India pengeluar filem terbesar dunia dengan 1,000 judul filem setahun. Prosedur filemnya suka shooting di Dubai, Mauritius, Amerika Syarikat dan London. Saya lihat trend mereka kini ke Malaysia.

“Filem Don lakonan Shah Rukh Khan mengambil latar belakang KLCC dan Kampung Baru, filem Goa (2010) tunjukkan Goa tetapi sebenarnya di Langkawi. Itu belum lagi saya dimaklumkan oleh mereka yang sukakan panorama Putrajaya, Cyberjaya dan Bukit Bintang. Saya berkeyakinan tinggi produk cinema tourism ini perlu diteliti oleh Kementerian Pelancongan untuk direbut pe­luangnya,” luahnya.

Tidak perlu pergi jauh untuk menilai saranan Abdul Malik. Thailand sejak dua tahun lalu begitu agresif mempromosikan destinasi-destinasi dan pusat peranginannya kepada pengeluar filem Bollywood.

Krabi dan Samui, Bangkok menjadi lokasi pilihan pelakon popular, Abhishek Bachchan.

“Pada April lalu dalam kunju­ngan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), beliau telah mempelawa produser-produser dari India termasuklah sekuel Kabali untuk menjalani penggambaran filem mereka di Malaysia. Saya telah panjangkan perkara ini kepada produser filem di sana (India) dan sambutannya amat baik,” kata Abdul Malik lagi.

Ya, filem realitinya ‘bertindak sebagai risalah percutian maya. Dengan keunikan rakyat berbilang kaum di negara ini, ditambah ba­nyak lokasi yang menawarkan latar belakang dramatik kepada cerita-cerita Bollywood yang memukau, usaha menggerakkan ci­nema tourism jangan disia-siakan.

Kabali, filem ke-159 lakonan Rajinikanth yang mencatat kutipan RM334 juta turut dilakonkan oleh artis tempatan termasuk Datuk Rosyam Noor, Norman Hakim dan Jack Taipin.

Khabarnya Rosyam dan Norman mendapat bayaran lumayan, dua tiga kali ganda dari filem tempatan untuk beberapa babak sahaja.

A.R. Rahman memiliki 22.8 juta followers di Facebook ma­nakala Kajol, 4.1 juta di Instagram. Rajinikanth usah cakaplah. Semasa A.R. Rahman meletakkan hashtag “OneheartfilmtheKL” tempoh hari, viewers dalam tempoh sejam sahaja sudah mence­cah 169,000.

Peminatnya bertanya apa yang dibuatnya di Kuala Lumpur, berapa hari di sana dan macam-macam pertanyaan mengenai negara ini.

Penggambaran filem S3 lakonan Surya dan Kabali (Rajinikanth) menarik peminatnya dari rantau ASEAN khususnya Singapura dan Indonesia selain London terbang ke sini. Setiap penggambaran akan menerbangkan sekurang-kurangnya 100 kru mereka. Mereka berbelanja, tinggal di hotel dan menawarkan kerja kru kepada anak tempatan.

Imej keharmonian dan ke­stabilan negara turut dipromosikan oleh bintang-bintang filem ini - sekali gus menjadi tarikan kunjungan bukan sahaja peminat mereka, bahkan masyarakat antarabangsa.

Itulah impak Cinema Tourism.
 

Bukan sekadar tempelan...

YUSOF HASLAM
YUSOF HASLAM

Produser filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam, 63, sempat ditanya Tumpang lalu: “Susahkah bikin filem? Macam senang jer...filem Abang Long Fadil 2 arahan anak Datuk (Syafiq) pun baru dua minggu tayang senang-senang boleh kaut RM13 juta?”

Kata Yusof: “Filem ini karya kreatif, bukan kerana kita (anda) ada duit banyak berjuta-juta, terus boleh buat filem. Sesuatu filem itu gagal kerana kesilapan (produser) itu dalam berkarya.”

Ditanya tentang industri filem Bollywood, beliau memberitahu, industri di sana walaupun bertaraf dunia ada pasang surutnya.

“Industri (perfileman) ini penuh risiko. Apa yang penonton nak amat subjektif, saya sendiri pun yang dah lama dalam bidang ini pun sehingga kini masih mencari ‘formula’ itu,” katanya melalui telefon.

Mengenai keterlibatan pelakon tempatan dalam filem antarabangsa termasuklah Kabali tempoh hari, Yusof meluahkan:

“Jangan letakkan pelakon po­pular kita seperti Rosyam (dalam Kabali) sebagai watak ekstra atau sekadar tempelan. Rosyam ada nama besar tapi bila keluar scene atau babaknya hanya bercakap sepatah dua.

ROSYAM NOOR
ROSYAM NOOR

“Kadang-kala saya perhatikan kerana nak tarik peminat datang ke panggung, letakkan gambar artis kita dalam poster.

“Saya difahamkan, banyak babak dilakonkan Rosyam dan Norman dalam Kabali tapi scene itu dipotong oleh produser filem di sana,” katanya.

Yusof turut menghargai ko­mitmen pengarah-pengarah mu­da, malah memuji mereka kerana komited melahirkan karya-karya yang segar dan realistik.

“Antaranya James Wan, 40, dari Sarawak yang belajar di Melbourne, merupakan pengeluar, penulis skrip dan pengarah filem. Dia dikenali kerana telah mengarah filem francais seram Saw dan juga pengarah filem Dead Silence, Death Sentence dan Insidious,” kata Yusof lagi.