Usah diperlekeh, dikecam atau dipertikai. Ini negara demokrasi, siapa pun berhak menubuhkan parti walaupun akhirnya boleh ‘menghancurkan’ jika tersilap langkah. Tidak perlu kalut dan kelam-kabut sehingga kadang-kadang terserlah keangkuhan, takbur dan memandang rendah keupayaan orang lain. Berilah reaksi secara rasional kerana dalam politik, seribu satu kemungkinan boleh berlaku. Siapakah dalam kalangan kita yang dapat membaca minda dan pemikiran rakyat? Selak ingin menarik perhatian penyokong parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang mengenai kehadiran parti baharu dalam dunia politik hari ini. Paling dekat merujuk kepada Pribumi. Ramai yang memberi komen terhadap kehadiran dan cabaran parti ini.

Ada pelbagai reaksi. Selak tertarik dengan kenyataan dua ve­teran UMNO iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad. Veteran ini masih mengetuai bahagian masing-masing dan pernah menganggotai Kabinet. Ku Li seperti dilaporkan media pada 25 Ogos lalu mengingatkan anggota UMNO supaya tidak memandang rendah kemampuan Pribumi yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin. Menurutnya, mereka ini masih mempunyai pengaruh dan disanjung ramai.

“Ini peringatan kepada parti lain terutama sekali UMNO supaya ja­ngan mengambil mudah kerana parti ini (Pribumi) boleh jadi sebuah parti yang gagah,” katanya di Gua Musang. Bagi Ku Li, semua pihak perlu lebih fokus dan melipatgandakan usaha ke­rana ancaman Pribumi masih belum dapat dijangka. Sama ada gagah atau tidak, kena tunggu PRU akan datang.

“Namun kita jangan pandang rendah kerana kemungkinan Pribumi boleh mencabar kedudukan UMNO dan Barisan Nasional,”

Begitu juga dengan kenyataan Shahrir kelmarin.

“Dalam kita berperang politik, jangan sesekali pandang ringan siapa lawan kita termasuklah Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang kita lihat sememangnya bermatlamat mahu kalahkan kita dan bukan ditubuhkan sebagai parti alternatif.

“Mereka tidak kisah siapa jua lawan UMNO dan BN, mereka juga tidak kisah kalau tewas kerana hanya nak lihat UMNO kalah,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang kelmarin.

Biarlah parti politik baharu ini hadir dalam dunia politik. Kata orang, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Cuba selak kembali kehadiran parti politik di negara ini. Terdapat 41 parti politik yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ada parti yang muncul untuk bertanding semasa PRU kemudian hilang atau mati begitu sahaja. Ada yang hidup segan mati tidak mahu, menang satu dua kerusi dan ada juga yang hanya ada pada nama. Tidak kurang juga yang mampu memerintah. Siapa sangka Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan Pas, PKR dan DAP? Ya, memang parti itu mengambil masa yang lama untuk memerintah tetapi apakah yang menyebabkan rakyat berpaling tadah memilih musuh BN?

Dalam situasi menghadapi kehadiran parti politik baharu ini, eloklah parti arus perdana memperkukuhkan kedudukan ma­sing-masing. UMNO yang sedang mengadakan persidangan harus menjadikan ia sebagai platform untuk meyakinkan anggota parti supaya sehati sejiwa dan berpegang kepada slogan dulu kini dan selamanya.Jangan dibiarkan ‘perang gerila’ di dalam UMNO sehingga ketika itu pemimpin tidak kenal kawan atau musuh. Siapa sangka ketika hampir PRU, wujud musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam?

Daripada membicarakan kehadiran parti politik itu dan ini tidak memberi kesan atau menggugat, eloklah diteruskan usaha untuk mempertahankan kerusi yang ada dan ambil semula kawasan yang jatuh ke tangan pembangkang. Selak masih ingat ketika menemu bual seorang pemimpin UMNO di sebuah negeri. Ditanya mengenai beberapa kerusi DUN yang bermasalah menjelang PRU, beliau menafikannya. Sebaliknya, beliau yakin kerusi itu akan kekal milik UMNO. Akhirnya kerusi itu terlepas. UMNO tidak kalah semua tetapi kerajaan ne­geri bertukar tangan. Begitulah keputusan di luar jangkaan yang apabila kalah, barulah mengaku disebabkan masalah dalaman. Adalah lebih baik, ketika ini, setiap peringkat parti menggerakkan usaha untuk menambah pe­ngundi setia. Jangan sekadar ramai anggota parti tetapi tidak menjadi pemilih.

UMNO khususnya perlu melihat kesiapsiagaan bahagian bagi menghadapi PRU akan datang. Ketika PRU-13, UMNO meletakkan 120 calon di peringkat Parlimen dan menang 88 kerusi. Rakan lain hanya menyumbang tambahan 12 kerusi. Rekod UMNO semasa PRU lalu menunjukkan parti itu menang 100 peratus kerusi Parlimen di Sabah (14), Negeri Sembilan (5) sementara Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan masing-masing satu. Adakah kerusi ini akan kekal menjadi milik UMNO?

Bagaimana pula dengan kerusi yang terlepas ke tangan pembangkang? Apa khabar UMNO Permatang Pauh di Pulau Pinang? Bersediakah untuk mengambil semula kerusi itu yang telah lama di ta­ngan PKR sejak 1999. Bagaimana pula Pagoh dan Semporna? Biarkan parti politik lawan melakukan ‘kesilapan’ demi ‘kesilapan’ yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai. Kekalutan akan berlaku apabila tiba episod agihan kerusi. Siapakah yang akan berkorban untuk menyerahkan kerusi mereka? Bersediakah PKR dan DAP berkompromi untuk sekutunya PAN dan Pribumi?