Projek mega yang dimaksudkan iaitu Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang dirancang dengan kos yang cukup besar sehingga mencecah RM46 bilion. Komponen yang terlibat juga sangat meluas bermula dari terowong dasar laut; tiga lebuh raya; sistem transit aliran ringan (LRT), kereta kabel sehinggalah kepada tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan.

Kesemuanya pula berpusat di kawasan pulau negeri itu sekali gus mencetuskan persoalan bagaimana kawasan pulau yang hanya berkeluasan kira-kira 285 kilometer persegi itu mampu menampung pelaksanaan projek mega berkenaan pada masa depan.

Kebimbangan utama adalah berkenaan ancaman kepada kerosakan alam sekitar memandangkan projek-projek di bawah PIP itu akan turut melibatkan kawasan bukit dan laut.

Apatah lagi ketika ini juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah sedia berdepan dengan kritikan berikutan kelulusan projek-projek pembangunan komersial di kawasan lereng bukit dan aktiviti tambak laut.

Sepatutnya tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah mencari jalan penyelesaian kepada isu pembangunan sedia ada di kawasan sensitif, bukannya meluluskan lebih ba­nyak pembangunan serupa yang meresahkan penduduk.

Projek infrastruktur moden di bawah PIP juga dibimbangi akan memberi kesan kepada nilai-nilai khazanah dan warisan dunia yang dimiliki khususnya di kawasan Georgetown ketika ini.

Nilai-nilai itu tidak mungkin dapat dipertahankan dengan pembinaan jaringan lebuh raya yang lebih luas; ­terowong dasar laut; LRT, monorel atau kereta kabel yang menyaksikan lebih banyak kenderaan bebas masuk ke pusat bandar ini.

Perancangan menambah lebih banyak medium pengangkutan ke Georgetown itu hanya akan menyebabkan masalah kesesakan sedia ada ketika ini bertambah buruk. Sebab itu, adalah wajar untuk kerajaan negeri mempertimbangkan gesaan NGO supaya pengangkutan awam sedia ada khususnya bas dan laluan tram diperkasakan semula seperti yang diguna pakai di kebanyakan ibu kota pelancongan lain.

Asas lain untuk menilai projek mega PIP itu juga sudah pasti rancangan tambak laut seluas 1,800 hektar di pe­rairan selatan negeri itu bagi membentuk tiga buah pulau buatan. Sehingga kini, tidak ada mana-mana pihak yang boleh memberi jaminan projek tambak laut itu bakal memberi manfaat sama ada kepada penduduk, alam sekitar atau ekonomi negeri ini.

Sebaliknya, kajian-kajian awal menunjukkan ranca­ngan tambak laut itu hanya akan memusnahkan ekosistem laut di kawasan tersebut seterusnya mengancam kelangsungan hidup golongan nelayan di negeri ini serta negeri berjiran seperti Kedah dan Perlis.

Alasan kerajaan negeri untuk mendapatkan sebahagian dana daripada kos RM46 bilion dengan menambak laut itu juga sangat membimbangkan. Bagaimana sekiranya pulau yang dicadangkan untuk dijual kepada pemaju itu berdepan risiko kegagalan seperti menjadi projek gajah putih atau tidak dapat disiapkan kerana faktor seperti ancaman alam sekitar?

Keadaan itu boleh meletakkan kerajaan negeri dalam situasi kerugian besar yang dibimbangi terpaksa ditanggung penduduk negeri ini menerusi pelbagai kenaikan cukai dan tarif pada masa depan.

Sesuatu yang jelas, desakan NGO supaya projek mega PIP itu dinilai semula dan ditangguh bukan berasaskan tuntutan politik sehingga membolehkan kerajaan negeri mengelak daripada memberi perhatian mengenainya.

Sebaliknya, ia dibuat atas rasa kebimbangan majoriti penduduk negeri ini terhadap kesan ke atas kehidupan sosial, ekonomi dan alam sekitar pada masa depan yang tidak wajar diabaikan kerajaan negeri.