Bahasa juga melambangkan bagaimana sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami antara satu sama lain. Kekuatan bahasa itu juga menunjukkan secara tidak langsung betapa kuatnya sesuatu bangsa itu.

Tetapi baru-baru ini kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi penulis amat menghina kedudukan bahasa Melayu itu sendiri. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mem­beritahu, graduan perubatan yang ber­kelayakan diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41.

Tambah beliau, Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) juga telah memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu pada 23 Februari lalu.

Bagi penulis ini adalah ­ke­­­nyataan yang amat memeranjatkan kita semua dan menghina perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sejak dari dahulu lagi. Keputusan itu bercanggah dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sepatutnya memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Raja-raja Melayu sejak ­Me­­syuarat Durbar pada 1903, ­te­lah membangkitkan soal pe­ngiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Semasa ­menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh bahasa:

“Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.”

Titah wasiat Raja-raja Melayu serta tuntutan rakyat diberikan jaminan oleh pimpinan politik negara sebelum ini. Ketika ber­ucap, dalam perhimpunan rakyat melafazkan Ikrar Bahasa Kebangsaan, pada 22 Julai 1961, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah memberikan komitmen berikut:

“....Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini membuat pengakuan bahawa selagi kami, memegang kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, maka kami tidak akan undur setapak pun untuk mempertahankan bahasa kebangsaan yang tunggal, bagi negeri ini dan untuk melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuh-penuhnya, manakala sampai tempoh yang telah ditentukan oleh Perlembagaan.”

Perdana Menteri kedua kita yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri kita yang terkini, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semasa berucap pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Klang pada 1966, memberi jaminan bahawa bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal di negara ini.

Bagi penulis apa yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan di bawah artikel 161 dan artikel 152 yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.

Ironinya, masih ramai yang memegang tampuk di atas lupa, adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi penjawat awam yang merupakan barisan hadapan kerajaan untuk berkomunikasi dengan masyarakat.

Jika pegawai perubatan gagal berkomunikasi dengan baik bahasa Melayu bagaimana mungkin mereka dapat merawat pesakit dengan jayanya. Bayangkan salah faham komunikasi antara pesakit dengan perawat boleh membawa kepada salah diagnosis yang boleh membawa kepada kematian. Tidakkah Kementerian Kesihatan sedar akan kegawatan ini?

Dalam menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50), kita mahu melihat masyarakat kelas satu, di negara kelas pertama.

Dalam keindahan infrastruktur dan kemudahan dunia pertama; biar negara ini dihuni oleh masyarakat kelas satu yang tahu menghormati bahasa kebangsaan sebagai bahasa jambatan pe­nyatuan pelbagai kumpulan dalam stratifikasi masyarakat disamping kekal sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi serta bahasa ilmu.

Bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara, tidak wajar dijadikan sekadar hiasan. Tidak ada maknanya juga, jika hanya termaktub satu perenggan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya bahasa Melayu itu wajib disuntik dengan nilai diberi nyawa dan diberi tempat yang selayaknya.

Untuk Kementerian Kesihatan, ingatlah maruah sesuatu bangsa itu terletak pada bahasanya. Seseorang yang menamakan diri­nya warga Malaysia mesti secara ikhlas dan jujur menyanjung tinggi penghormatannya sebagai seorang rakyat Malaysia kerana di sinilah bumi dipijak.

Oleh itu setiap daripada kita mesti me­nguasai bahasa kebangsaan ke­rana bahasa tersebut membawa bersama sifat kepunyaan dalam diri setiap warganya dalam masa sama memastikan maruah bangsa yang terdapat dalam Perlembagaan sentiasa terpelihara.

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Jangan hanya kerana segelintir permintaan maka kita korbankan bahasa. Tanpa bahasa Melayu mana mungkin wujud bangsa Malaysia. Tanpa bangsa Malaysia, siapalah kita?

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI ialah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia (UUM).