Apa tidaknya, daripada 600,000 yang disasarkan, hanya 23 peratus atau kira-kira 161,000 yang berjaya didaftarkan. Kira-kira 23,000 majikan tampil berbuat demikian dan daripada jumlah itu 145,571 E-Kad dikeluarkan. Meskipun tidak ada angka yang tepat berhubung jumlah PATI, dianggarkan lebih sejuta pekerja asing bekerja secara haram di negara ini.

Walaupun matlamat program itu sangat baik iaitu membantu mereka mendapatkan satu pengesahan sementara kepada para pekerja tidak sah masing-masing untuk terus bekerja di negara ini, majikan terlibat tidak ambil peduli. Mereka lebih selesa berterusan menggaji PATI sebagai pekerja. Sedangkan dengan menyertai program tersebut banyak perkara berhubung status pekerja haram mereka dipermudahkan dan boleh bertukar menjadi pekerja yang sah.

Majikan-majikan yang keras kepala ini, tidak ada satu pun alasan untuk berdolak-dalik kerana hebahan berhubung program ini telah dibuat secara meluas menerusi pelbagai jenis media berbulan-bulan lamanya. Peringatan demi peringatan juga diberikan melalui kerjasama Jabatan Imigresen, agensi-agensi kerajaan lain dengan kerjasama persatuan majikan. Bagaimanapun semua­nya tidak dipedulikan hanya kerana sikap tidak bertanggungjawab masing-masing.

Justeru amat wajar Jabatan Imigresen memperhebatkan operasi besar-besaran memburu dan ‘menggempur’ PATI dan majikan menerusi Op Mega. Walaupun baru seminggu dilancarkan, operasi itu berjaya menahan 28 majikan kerana mengupah PATI sebagai pekerja masing-masing. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini juga kira-kira 500 majikan sudah ditahan kerana kesalahan yang sama. Dengan mengambil kira kudrat Jabatan Imigresen yang terbatas, itu ­merupakan satu pencapaian.

Sebagai pengajaran berguna kepada majikan yang degil ini dakwa sahaja mereka di bawah peruntukan akta yang berat-berat seperti Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010). Selain dipenjara, biar mereka merasai sekali hukuman sebatan! Mereka tidak gentar menggaji warga asing yang masuk secara haram ke negara ini kerana selama ini beranggapan hanya berhadapan dengan hukuman ringan sahaja.

Isu kebanjiran pekerja asing di negara ini adalah isu yang tidak berkesudahan. Sehari demi sehari jumlah mereka semakin bertambah. Oleh kerana sudah terlalu ramai pekerja asing khususnya yang masuk bekerja secara haram, kehadiran mereka sudah dianggap biasa. Mereka hidup lepas bebas dan ada ketika sudah dianggap seperti sebahagian daripada rakyat negara ini walaupun paras rupa, perangai dan kelakuan masih lagi berbeza dengan penduduk setempat.

Pendatang asing tanpa izin ini ada di mana-mana sahaja. Tidak perlu pergi jauh, mereka ada di setiap sudut kehidupan rakyat Malaysia. Persis burung, mereka bebas, boleh terbang dan hinggap di mana-mana mereka suka. Ramai pula yang pemurah, menabur makanan dan menyediakan sangkar penginapan. Kebanjiran mereka dijangka melimpah ruah lagi dengan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur mega yang sedang berjalan. Khabarnya lebih ramai akan datang. Biasalah mula-mula datang sebagai pekerja yang sah, apabila tamat tempoh permit bekerja, ramai pula yang tidak mahu balik kerana masih mahu terus menetap di sini.

Kebanjiran mereka sudah lama meresahkan rakyat tempatan. Mereka tidak datang bersendirian. Ada yang membawa sekali penyakit dan ‘penyakit masyarakat.’ Beberapa jenis penyakit yang selama ini sudah ‘mati’ tiba-tiba muncul kembali. Oleh kerana negara Malaysia ini kaya raya, sebahagian menjadikannya sebagai sasaran pelbagai jenayah seperti pecah rumah, kecurian, rompakan, pergaduhan sehingga membawa kepada pembunuhan serta pelbagai penipuan internet atau ‘scam’ yang didalangi oleh pendatang asing daripada beberapa negara Afrika.

Kepada Jabatan Imigresen serta agensi penguat kuasa yang lain, di sebalik segala kekangan, kekurangan dan sabotaj segelintir kakitangan yang korup, jangan sesekali mengalah dalam perang menggempur pendatang asing dan majikan yang bersubahat. Walaupun terpaksa mengharungi tempoh perang yang panjang, perang ini mesti berakhir dengan kemenangan, insya-Allah.