Tidak mengapalah. Kena kayuh perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan perubahan Facebook. Ada yang kata butang-butang Facebook kini mirip Instagram. Saya tidak dapat hendak sahkan sebab tiada akaun Instagram. Malas bergambar dan malas terlalu banyak media sosial. Cukuplah Facebook dan Twitter.

Marah ini adalah sifat semula jadi manusia dan yang meniupnya, syaitan. Atas sebab itu, ustaz-ustaz ada menasihatkan, terasa sahaja hendak marah, haruslah segera mencari pemadam apinya dengan membaca A’-uudzu billahi minas syaithanir rajiim iaitu Aku berlindung ke­pada Allah daripada go­daan syaitan yang ter­kutuk.

Bacaan ini sangat ring­kas, mudah dan semua orang telah menghafalnya. Cuma, bila marah me­muncak, kita semua ba­gaikan berada di Twilight Zone seketika. Semua pandangan jadi merah dan ayat-ayat penenang tidak ditemui dalam kad SIM kepala kita.

Mengikut kajian psiko­logi, sifat marah ini kena ada. Takkan hendak neu­tral setiap masa. Nanti dapat watikah dayus. Begitu juga dari sudut agama, sifat marah kena ada terutama berkaitan perkara-perkara yang bertentangan, lalu kita marah, agar mendorong kita memperbetulkannya.

Yang dimaksudkan ialah marah berapi-api, sehingga ke tahap maki-hamun bertukar menjadi pertunjukan tinju dan lebih parah, tidak dapat diselamatkan bila mengamuk.

Itulah kisah terjadi kepada kenalan yang menangkap seorang lelaki disyaki penjenayah tidak lama dulu. Kes dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setelah empat anggota penyiasat tidak hadir atas alasan 'berkursus'.

Kenalan itu berikrar tidak akan menyerahkan penjenayah kepada pihak berkuasa lagi, bimbang berulang kejadian ponteng bicara atas alasan berkursus. Marah dan kecewa sungguh bunyinya.

Berikut adalah contoh-contoh lain Merrepak mengenai 'titik kemarahan' dan anda boleh fikirkan sama ada boleh 'padam segera' atau 'mengamuk':

KATEGORI BOLA SEPAK

* Lambat panas: Bila kelab kesayangan mula menemui rentak kemenangan tetapi gagal beralih dari tangga keenam carta liga.

* Tidak konsisten: Kelab kesayangan anda menang bila berdepan pasukan tangga keempat teratas liga tetapi kalah dengan pasukan tangga tercorot.

* Pancit: Tiap tahun kelab kesayangan anda masuk Piala Juara Eropah dan setiap Februari sahaja prestasi mereka menjunam dan kena belasah 5-1.

KATEGORI SOSIAL

* Kaki bakar: Mahu dapat sejuta LIKE? Petik satu berita, misalnya kemalangan lalu lintas dan salahkan kerajaan. Jangan peduli orang bijak pandai yang mempersoalkan cerita anda. Yang salah pemandu. Apa jauh sangat tembak pula? Tak suka baca, tak payah LIKE.

* Temu tak janji: Bersetuju mengadakan pertemuan dengan bakal pelanggan. Tetapi buat lima orang dalam waktu sama. Jadi akan ada yang terlewat atau kena dibatalkan sama sekali. Usah risau bakal pelanggan macam kita merajuk atau sakit hati.

* Susah percaya: Bila sudah beri mandat kepada orang bawahan, yakinlah dengan keputusan dia. Siapa boleh tahan dari pagi sampai petang ditanya mengenai projek, seolah-olah tidak boleh diharap dan dicurigai. Lain kali buat sendirilah!

KATEGORI MERAPU

* Kaki sentap: Manusia jenis ini handal mengenakan orang lain dengan lawak dan prank. Ada saja jenaka atau ayat lucu dihasilkannya. Satu hari, dia bertemu buku dengan ruas. Yang terkena telah mengena balik. Tiba-tiba dia sentap. Terus leave the group.

* Mencarut: Hari-hari belek Facebook, pasti ada yang kita kesan gemar berbahasa mencarut dalam pernyataan mereka. Ada isu yang mungkin wajar mereka pamerkan kemarahan dengan mencarut. Tetapi hari-hari mencarut, boleh sebabkan orang marah, meluat dan cabut lari dari akaun anda.

* Bingung: Seminggu ini heboh seluruh negara dengan kisah pembunuhan orang Korea Utara, Kim Jong-nam. Kawan-kawan pun turut sama beri ulasan. Termasuklah seorang teman di hujung meja yang menyampuk, “Kim masih dengan Kanye West, kan?” Sekilas itu suasana di meja senyap sehening dinihari dengan semua mata merenung tajam ke arahnya.