Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SELEPAS penulis meninggalkan kerjaya tetap sebagai tenaga pengajar Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, penulis masih menyumbang khidmat sebagai guru sambilan bagi subjek Bahasa Melayu di pusat-pusat tuisyen.

Bagaimanapun, penulis berasa sedikit terkilan kerana rata-rata pelajar penulis sekarang terdiri daripada kaum India dan Cina, bukan orang Melayu sendiri. Lalu penulis membuat kesimpulan bahawa pelajar Melayu sekarang sudah pandai berbahasa Melayu sehingga tidak perlu belajar lagi subjek wajib ini seperti pelajar bangsa lain.

Bagaimanapun, apabila penulis membuat sedikit kajian dan tinjauan daripada pelajar-pelajar bukan Melayu tersebut, rakan-rakan mereka yang berbangsa Melayu pun tidak mendapat markah setinggi mana dalam peperiksaan di sekolah. Malah, kadang-kadang pelajar Melayu tewas di ta­ngan pelajar India dan Cina dalam subjek tersebut.

Ini memberi gambaran kepada penulis bahawa bahasa Melayu mesti dipelajari oleh orang Melayu dan bukannya dipandang rendah kerana status bangsa yang dimiliki; ­iaitu orang Melayu tidak semestinya belajar bahasa Melayu kerana mereka sentiasa dikelilingi oleh kelompok Melayu, keluarga yang bercakap bahasa Melayu dan lahir sebagai orang Melayu.

Tanggapan ini salah. Bahasa Melayu berkembang dan faktor sekeliling menjadikan bahasa Melayu baku dipe­ngaruhi oleh segala macam bahasa yang akhirnya bercampur aduk dalam bahasa Melayu yang mencemarkan bahasa Melayu itu sendiri.

Kita lihatlah sahaja pertuturan budak-budak Melayu sekarang yang tunggang-langgang dalam bahasa sendiri sehingga jati diri bangsa pun seolah-olah hilang. Bahasa rojak, bahasa SMS, bahasa remaja dan pelbagai laras bahasa lagi kedapatan dalam pertuturan dan perhubungan harian golongan remaja sekarang sehingga terbawa-bawa dalam kertas jawapan peperiksaan.

Tambah menyulitkan keadaan apabila ada dalam kalangan Melayu pun enggan bercakap bahasa sendiri sesama Melayu seolah-olah bahasa Melayu tidak boleh dijadikan jambatan untuk berhubung, menyelesaikan masalah, dan menyatakan sesuatu hasrat.

Malah, jika mereka bertutur dengan bangsa lain, mereka lebih gemar bertutur dalam bahasa Inggeris sedangkan bangsa lain pun boleh berbahasa Melayu kerana semua masyarakat Malaysia yang bersekolah di negara ini boleh bercakap bahasa Melayu.

Senario ini memperlihatkan bahasa Melayu kian ­terpinggir disebabkan sikap kita sendiri termasuklah:

* Menganggap bahasa Melayu itu bahasa sendiri yang tidak perlu dipelajari

* Belajar sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja

* Menganggap pencemaran bahasa itu tidak menjejaskan perhubungan dalam kalangan rakan-rakan dan sesiapa sahaja.

Usaha untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu tidak akan berhasil sekiranya tidak ada komitmen semua pihak. Ini terletak kepada bangsa sendiri yang boleh dijadikan ikutan oleh bangsa lain. Oleh itu, bangsa Melayu mestilah dijadikan penggerak untuk menyedarkan bangsa-bangsa lain supaya menyakini keupayaan ­bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan.

Jika bangsa Melayu sendiri menolak bahasanya, sukar bagi kita menyuruh orang lain menggunakan bahasa Melayu kerana orang Melayu pun malas mempelajari dan menggunakan bahasa sendiri.

Agak malang lagi kerana dalam sesetengah urusan perjanjian jual beli, tawaran kontrak tugasan, urusan pinjaman perbankan pun menggunakan bahasa Inggeris sedangkan pelanggannya ramai berbangsa Melayu kerana penduduk di negara ini pun lebih ramai Melayu.

Kita juga agak terkilan kerana dalam kalangan Melayu yang berada di pejabat-pejabat tersebut pun seolah-olah hilang kuasa bahasanya lalu membiarkan bahasa sendiri di tanah air sendiri diketepikan.

Sikap kita yang membiarkan bahasa sendiri dirobek sedikit demi sedikit akan memburukkan keadaan kerana suatu masa nanti, tidak mustahil bahasa cacamarba akan mengambil tempat dan pada masa itu baharulah kita sibuk mencari akar identiti kita.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain