Hari ini media sosial menjadi platform paling berkuasa untuk menyebar sebarang kejadian dan maklumat kepada masyarakat dalam masa singkat. Salah satu contoh adalah apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengawal sendiri lalu lintas selepas kejadian pokok tumbang di Jalan Penghulu Cantik, Seremban yang menjadi tular baru-baru ini.

Gambar-gambar yang dikongsi seorang pengguna laman Facebook menunjukkan keprihatinan Mohamad memasang tali ke­selamatan di laluan itu mendapat ratusan komen positif dalam masa tidak sampai satu jam.

Sebenarnya sebelum ini sudah kerap kali aksi spontan beliau antaranya bermain rebana, makan bersila bersama penduduk dan membeli juadah dimuat naik netizen serta menerima tanda 'like' yang banyak. Ikhlas, mesra dan bersahaja - itulah sisi lain pemimpin yang ingin dilihat orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu dan pasukannya diketahui antara yang memanfaatkan sepenuhnya media sosial sebagai penghubung kepada masyarakat yang hari ini majoritinya bergantung kepada maklumat dari medium berkenaan.

Berdasarkan kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tahun lalu, jumlah pengguna internet di Malaysia begitu besar iaitu mencecah 25.4 juta orang atau 76.9 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini. Dianggarkan terdapat kira-kira 22 juta pengguna Facebook di negara ini dengan kadar purata pengunaan selama tiga jam sehari.

Dengan penggunaan media sosial yang meluas, PRU-14 akan menjadi medan kepada ‘perang siber dan dunia digital’ sekali gus akan menyaksikan kempen politik serta pertempuran persepi ba­kal berlaku di alam ma­ya. Kuasa dunia digital disebut-sebut mampu menyaingi peranan gerak kerja politik dan media tradisional dalam meraih sokongan serta kepercayaan rakyat terutama generasi muda.

Di sebalik ramalan itu, hakikatnya media sosial tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh keba­nyakan wakil rakyat. Mungkin mereka mempunyai strategi tersendiri dan percaya kepada platform lain untuk membina imej masing-ma­sing di mata rakyat.

Hasil tinjauan penulis baru-baru ini, daripada 36 ADUN parti kerajaan dan pembangkang di negeri ini yang menang pada PRU-13 lalu, seramai 30 orang memiliki akaun Facebook peribadi. Enam orang lagi gagal dikesan kewujudan mereka di laman sosial itu.

Beberapa wakil rakyat itu pula didapati kurang aktif menggunakannya, malah ada yang kali ter­akhir memuat naik status dua atau tiga tahun lalu. Kemungkinan mereka menonjolkan khidmat menerusi laman Facebook parti di kawasan masing-masing yang dikendalikan petugas parti.

Pemerhatian pula mendapati kebanyakannya sekadar memuat naik gambar aktiviti mereka tanpa ada inte­raksi yang kuat dengan netizen. Mereka juga tidak menggunakan la­man sosial sebagai lan­dasan untuk mene­rangkan dasar parti atau menjawab isu-isu semasa yang melingkari hidup pengundi. Selain itu, tinjauan mendapati penggunaan Twitter dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini juga agak rendah iaitu hanya 22 peratus daripada 36 ADUN memiliki kemudahan tersebut.

Walaupun media sosial bukan penentu mutlak kepada kemenangan calon namun tidak dapat dinafikan kebanyakan pe­mimpin yang popular di alam maya mempunyai kelebihan kerana telah membentuk persepsi positif dalam kalangan rakyat menerusi media tersebut.

Mengulas perkara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faizal Kas­mani (gambar) berkata, ahli politik tidak boleh mengabaikan pe­ranan media sosial kerana terdapat jumlah pengguna yang besar terutama golongan layak me­ngundi berusia 21 tahun ke atas.

“Pengaruh media sosial telah mula digunakan semasa PRU-12 dan ketika itu ia dikuasai oleh parti pembangkang. Pada PRU-13, ia dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak dan kesannya dijangka lebih hebat kali ini,” menurutnya baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu USIM itu berkata, Facebook khususnya memiliki kuasa paling besar dan merupakan platform paling berpengaruh untuk meghebahkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Media cetak dan elektronik menyediakan ruang dan liputan yang terhad. Bukan semua program wakil rakyat boleh disiarkan. Masyarakat hari ini semakin kurang menonton berita dan membaca akhbar serta lebih berminat mendapatkan berita di Facebook. Semua orang ada telefon pintar sebab itu Facebook adalah kaedah terbaik yang mesti digunakan ahli politik” katanya.

Mohd. Faizal mengingatkan, pihak yang kurang berminat de­ngan media sosial bakal kerugian kerana mengabaikan platform paling ampuh untuk mempengaruhi pemikiran penyokong sendiri dan juga parti lawan.

“Wakil rakyat tidak ada masa yang cukup untuk bertemu semua pengundi di kawasan mereka dalam masa singkat. Dengan Facebook, mereka boleh memaklumkan apa aktiviti mereka dan mempunyai hubungan secara peribadi dengan rakyat. Rakyat tahu dan nampak apa wakil rak­yat buat,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau turut menasihati ahli politik yang menggunakan laman sosial supaya mempunyai strategi setiap kali memuat naik status, gambar atau video bagi mengelaknya dijadikan bahan oleh pihak lawan untuk menyerang mereka.

Walaupun PRU-14 akan diadakan dalam masa terdekat, Mohd. Faizal yang pernah menjalankan kajian berhubung penggunaan Twitter pada PRU-13 menegaskan masih belum terlewat untuk mana-mana ahli politik mengambil serius penggunaan media sosial.