Kejadian tersebut hanya disedari oleh ibu mangsa apabila video cabul berkenaan tular dan dia kemudiannya melaporkan kepada polis. Lelaki yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan budak perempuan itu, membawanya keluar setelah diberi keizinan ibu mangsa de­ngan alasan mahu membeli makanan.

Rakaman video itu jelas menunjukkan perbuatan lelaki tersebut yang saya pasti dilakukan di khalayak ramai. Yang hairannya, orang yang merakamkan kejadian itu setakat merakamkan sajakah?

Setiap kali saya terbaca berita cabul atau rogol dalam kalangan budak-budak, hati saya cukup hancur dan pada masa sama, perasaan marah dan geram bercampur semuanya. Sebabnya, terbayang ketakutan yang dialami oleh kanak-kanak yang tidak mampu melawan. Betapa orang yang kuat, mengasari orang yang lemah. Budak yang tidak tahu apa-apa, keliru dan terpaksa membiarkan tubuhnya diperlakukan begitu. Trauma kejadian tersebut mungkin kekal seumur hidup.

Tetapi itulah, kejadian malang ini sering berlaku di­sebabkan kecuaian keluarga sendiri. Mempercayai orang luar yang dikenali atau tidak begitu dikenali membawa anak ke mana-mana tanpa ibu bapa mengikutinya.

Dan yang paling menyedihkan perbuatan terkutuk itu dilakukan bapa, atuk, bapa saudara atau abang sendiri. Ada banyak kes rogol di negara ini dilaporkan dilakukan oleh semua itu. Ayah, atuk dan abang. Mereka bersubahat merogol mangsa bertahun-tahun lamanya. Ibu mangsa pula kebanyakan tahu perbuatan itu, tetapi membiarkannya. Sebabnya, takut suami disumbat ke penjara. Bimbang dia dan anak-anak hilang tempat bergantung. Atau mungkin takut dengan ugutan dan mendapat sepak terajang suami.

Jelas sekali ketakutan hilang suami dan tempat bergantung, melebihi segala-galanya. Macamlah jika tiada suami sebegitu, seluruh isi dunia ini akan runtuh di atas kepala­nya. Inilah penyakit paling teruk dalam masyarakat. Paling teruk, apabila orang yang sepatutnya melindungi, tetapi dialah mengkhianati tanggungjawab itu.

Ramai yang membandingkan perbuatan terkutuk ini sama dengan haiwan. Sebenarnya tidak sama. Tidak ada kena me­ngena dengan haiwan. Haiwan pun sifatnya melindungi anak dan menyayangi. Walaupun wanita, saya tidak akan mem­bela seorang ibu yang membiarkan anaknya diperlakukan sebegitu. Membiarkan suami yang juga bapa kepada anaknya, me­lakukan cabul dan rogol, ini adalah subahat yang teruk.

Kenapa perlu melindungi dan menutup perbuatan suami atau mana-mana lelaki durjana yang melakukan perbuatan ini? Biarlah dia ke penjara, seumur hidup, malah hilang terus dari muka bumi ini pun tidak apa kerana lelaki sebegini tidak layak hidup, jika hidup hanya membuat derita dan memberi warna hitam kepada kehidupan orang lain.

Dianggarkan purata lima kes rogol terhadap kanak-kanak dilaporkan setiap hari di negara ini menjadikan keseluruhan 13,272 kes dilaporkan sejak 2010 hingga Mei tahun lalu. Kesalahan rogol merangkumi 59.7 peratus bagi tempoh tersebut manakala kesalahan lain melibatkan penderaan seksual kanak-kanak termasuk cabul (6,014 kes atau 27.04 peratus), sumbang mahram (1,766 kes atau 8.07 peratus) dan luar tabii (1,152 kes atau 5.18 peratus).

Ini kes yang dilaporkan. Yang tidak dilaporkan kerana lelaki durjana ini dilindungi oleh isteri atau kekasih ibunya entah berapa pula jumlahnya. Entah berapa ramai lagi kanak-kanak yang ketika ini terus hidup dalam ketakutan. Ini yang bila difikirkan, kita pun tidak senang duduk.

Perbuatan ini bukan saja memberi trauma kepada mangsa, tetapi trauma kepada orang lain yang tidak sanggup memikirkan kekejaman yang berlaku kepada anak-anak yang sepatutnya melalui zaman kanak-kanak mereka dengan gembira bukan dengan ketakutan, kemurungan dan keliru dengan apa yang diperlakukan kepada mereka.

Laporkanlah kepada pihak berkuasa jika ini berlaku dalam keluarga anda atau orang terdekat. Jangan melin­dungi pengkhianat. Perbuatan ini tidak boleh dimaafkan.