Ada antara mereka terlalu gembira kerana cita-cita untuk menganggotai sesebuah agensi penguat kuasa menjadi kenya­taan, paling mengharukan terdapat segelintir mereka bermula dari pangkat rendah kemudian dipilih menjadi pegawai.

Tempoh latihan dijalani de­ngan penuh ketabahan, perasaan kerinduan kepada ahli keluarga diketepikan kerana impian mereka adalah berbakti kepada negara melalui agensi masing-masing.

Selepas tamat tempoh latihan, masing-masing keluar dari pusat latihan dengan semangat berkobar-ko­bar untuk berkhidmat penuh ber­disiplin, amanah, ikhlas dan jujur.

Tetapi malang sekali, mereka terlupa cabaran yang menanti di luar pusat latihan, jauh lebih hebat. Apatah lagi terpaksa ber­hadapan dengan kelompok anggota agensi penguat kuasa yang sudah selesa menjamah wang haram.

Justeru mereka berhadapan dengan pilihan, sama ada kekal bertugas dengan penuh amanah atau turut terpedaya dengan bisikan manusia berperangai iblis yang sudah merasakan memberi anak isteri makan wang haram bukan lagi satu dosa.

Itulah senario yang kini ­melanda agensi-agensi penguat kuasa apabila virus rasuah bagaikan ‘agen saraf VX’. Dari semasa ke semasa, kita terus dipaparkan bagaimana ada anggota agensi penguat kuasa sanggup menggadaikan maruah diri semata-mata mahu hidup mewah dengan menerima rasuah.

Kelompok seumpama itu bukannya tidak tahu bahawa ia bukan sahaja salah dari segi undang-undang tetapi juga dilaknat oleh Allah SWT, tetapi mereka sudah dirasuk dengan impian untuk hidup senang dan menjadikan kuasa serta kedudukan sebagai alat.

Walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan bagi membanteras gejala tersebut, tetapi ia seolah-olah menemui jalan buntu. Virus `VX’ rasuah sudah meresapi ke dalam hampir seluruh agensi, jabatan dan kementerian yang ada kuasa dalam menguatkuasakan undang-undang atau pelaksanaan sesuatu projek.

Apa yang paling mendukacitakan, ada antara mereka yang terlibat itu berjawatan tinggi dan sudah berpuluh-puluh tahun berada dalam perkhidmatan awam. Dalam soal ini, ada yang sudah ­ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ada pula masih bebas tetapi masih belum mahu insaf.

Puak-puak yang belum insaf ini tidak kira apapun jawatan mereka perlu diajar untuk tidak terus bergembira dengan ‘rezeki haram’. Tidak kira apapun pangkat atau kedudukan mereka, kalau mereka sanggup menerima rasuah, maka mereka juga sudah pasti bersedia menerima hukumannya.

Mungkin ada yang berpanda­ngan bahawa tindakan menahan ‘kepala-kepala’ atau orang atasan dalam sesebuah agensi penguat kuasa akan mencemarkan imej agensi tersebut tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa selagi golongan seumpama itu wujud, selagi itulah gejala tersebut tidak akan mampu dihapuskan.

Biarlah apapun persepsi orang, apa yang penting, kita tidak boleh selama-lamanya membiarkan sesebuah agensi itu dicemari dengan pandangan serong masyarakat sebagai agensi yang penuh rasuah. Keadaan itu adalah tidak adil kepada pegawai dan anggota agensi berkenaan yang sudah pasti sebahagian besar daripada mereka benar-benar menjalankan tugas dengan ikhlas dan penuh amanah.

Kalaulah tindakan ke atas pe­gawai-pegawai atasan itu dianggap tidak adil dan boleh mencemarkan sesuatu agensi, perbuatan mereka menerima ­rasuah jauh lebih tidak adil kerana sanggup menjual maruah diri dan pasukan atau sesuatu agensi semata-mata mahu mengaut kekayaan peribadi.

Perlu difahami dalam sesebuah agensi penguat kuasa terdapat ramai lagi pegawai dan anggota yang bersih, tetapi acap kali kita mendengar cerita bagaimana mereka dipinggirkan seolah-olah ‘orang baik tidak boleh ada dalam organisasi’ tersebut. Mungkin itu hanya persepsi tetapi ini juga menyumbang kepada tanggapan buruk masyarakat terhadap agensi penguat kuasa.

Apapun penulis yakin pegawai-pegawai atasan yang terlibat dengan rasuah itu sudah ada dalam radar SPRM, hanya menanti saat dan ketika sahaja untuk dikenakan tindakan. Lambat-laun mereka akan ditahan juga tidak kisah setinggi mana pun jawatannya. Pembanterasan amalan rasuah di peringkat atasan perlu dilakukan kerana mereka adalah contoh kepada orang-orang bawahan.

Tambahan pula peringatan keras sudah diberikan oleh SPRM supaya penjawat-penjawat awam mengelakkan diri daripada rasuah kerana agensi itu sama sekali tidak akan bertolak ansur. Memetik kata-kata Ketua Pesuruhja­yanya, Datuk Dzulkifli Ahmad, sekarang bukan lagi masa untuk memberi amaran.

Justeru kepada pegawai dan anggota agensi penguat serta penjawat awam lain hentikanlah perbuatan bodoh memusnahkan masa depan diri dan keluarga dengan mengamalkan rasuah, melakukan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Percayalah sumber yang haram tidak ke mana. Kalaupun dapat hidup senang ia hanya seketika. Jangan sampai akibat perbuatan keji tersebut ketika dihinggapi pelbagai penyakit kerana di dalam tubuh kita mengalir darah dari sumber rezeki yang kotor dan paling buruk kerana disebabkan ketamakan kita, keluarga tercinta menjadi mangsa.

Oleh itu, hindarilah rasuah, ingatlah di dunia orang tua berpesan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, di akhirat Rasulullah SAW bersabda: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam ne­raka.” (Hadis riwayat At-Tabrani).