Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi yang mesti dijaga dan jangan dilanggar secara sengaja. Kita masih dalam proses pembentukan sebuah negara bangsa (nation state) yakni satu bangsa satu negara (a single nation in a single state). Satu bangsa yang bersatu padu di negara ­moden yang maju.

Dari latar belakang kepelbagaian yang ada, kita akan bina sebuah kesatuan. Matlamat itu tidak akan tercapai di bawah pemerintahan yang longgar. Orang politik dan para pemimpin semua keturunan perlu menginsafi dan menyedari bahawa tanggungjawab memupuk kebersamaan adalah hak bersama bukannya mendorongkan perbezaan yang memecahkan. Malaysia akan tinggal hanya nama tanpa isi pada masa akan datang sekiranya konsep kenegaraan terbiar dan tinggallah kulit bersepah tanpa isi.

Di Malaysia, bahasa Melayu te­lah dikanunkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan) dan diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Ini bermakna Malaysia ada Dasar Bahasa Negara.

Dasar ini menjadi ‘Tanggungjawab Perlembagaan’ dari segi pelaksanaan, penggunaan dan penyebarluasannya oleh semua pihak, apa lagi urusan bagi me­laksanakan maksud-maksud kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) yakni sektor awam, bahkan sektor swasta. Aspirasi Perlembagaan adalah aspirasi pembinaan kenegaraan.

Perkara ‘bahasa’ adalah salah satu syarat perjanjian Perlembagaan bagi orang asing waktu itu yang mahu memilih Tanah Melayu sebagai negara kediaman. Dari tangan Raja-raja Melayu, maka negara Persekutuan dibentuk dan demokrasi diperkenalkan. Rakyat jangan jadi ‘kacang lupakan kulit’.

Kini tahun 2018, senario politik sedang berubah. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti akan mengubah haluan bahtera negara. Sepintas lalu, akhir-akhir ini dan dalam tempoh yang pendek, bukan sahaja status bahasa negara mahu diperlekeh warga Malaysia sendiri, bahkan beberapa pancang kenegaraan lain dipermainkan termasuk kedudukan Raja-raja Me­layu dan status Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, status agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Sepatutnya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam, Raja-Raja Melayu dan meminggirkan Bahasa Kebangsaan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa. Perkara bahasa itu adalah wasiat keenam, Wasiat Raja-Raja Melayu (1957) tatkala Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Bahasa Melayu adalah salah satu aspek penting dalam kontrak sosial yakni ikrar janji antara kaum bagi Malaysia merdeka dan berdaulat ke arah kesatuan dan persatuan bangsa Malaysia..

Apakah kerana perbalahan politik atau kepentingan perkauman yang keterlaluan di Malaysia kian mengambil tempat pada awal abad ke-21 ini, maka sehingga semacam tiada lagi dipertahankan prinsip Keluhuran Perlembagaan sebagai ideologi negara dalam Rukun Negara? Di dalam media sosial, ada tanda-tanda ‘kedurhakaan’ terhadap institusi Raja-Raja. Dalam beberapa hal seperti ada pula kesengajaan atau ‘pengkhianatan’ terhadap pelaksanaan Dasar Bahasa Negara.

Jika tanggungjawab Perlembagaan ini gagal dihayati dan dilaksanakan, bagaimanakah matlamat utama perpaduan negara bangsa ini dapat dicapai? Perpa­duan bertambah kukuh dengan kestabilan politik antara kaum dan etnik. Sayugia diingatkan bahawa bahasa Melayu itu bahasa nasional sebagaimana negara-negara lain dengan bahasa nasional masing-masing. Bahasa Mandarin di China, bahasa Perancis di Perancis, bahasa Rusia di Rusia atau bahasa Jepun di Jepun dan seumpama­nya. Kita jangan tergelincir faham. Bahasa Melayu adalah unsur utama jati diri bangsa Malaysia.

Makna negara bangsa (nation state) boleh menjadi keliru dalam kalangan rakyat sekiranya tidak dibuat penjelasan dari semasa ke semasa. Apakah itu konsep fe­deralisme dan apakah matlamat aspirasi Perlembagaan. Tindakan mempromosikan bahasa-bahasa lain pada kedudukan rasmi memang melanggari Perlembagaan. Rakyat sekian lama sudah memahami dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Kita boleh belajar dan menguasai apa sahaja bahasa tetapi jangan sekali-kali mempertentangkan bahasa tidak rasmi dengan bahasa negara. Ingat­lah, perbezaan antara rasmi dengan tidak rasmi itu. Tutup perkara.

Fahaman yang mempertikai dan mempersoalkan Perlembagaan negara sebagai pegangan kenegaraan ini boleh membawa padah. Ada puak yang sudah tidak menghormati kontrak sosial dan berada di luar nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan.

Generasi muda atau belia sebagai generasi baharu merupakan ‘penerus’ yang perlu memahami dan menghayati pemantapan serta pembinaan bahasa dalam meningkatkan semangat nasio­nalisme dan patriotisme bangsa. Generasi muda tidak perlu terikut-ikut dengan irama permainan lagu politik yang tidak berniat baik sampai berlakunya khianat terhadap pancang-pancang negara Malaysia tercinta ini.

Senario pelaksanaan dasar bahasa kini seolah-olah menuntut ‘jihad bahasa’ digerakkan. Tindakan ini bukan bermakna rakyat Malaysia menutup diri sehingga menolak keperluan menguasai bahasa-bahasa dunia yang utama seperti bahasa Inggeris.

Yang penting citra Malaysia itu mesti jelas bahawa negara berdaulat ini memiliki sebuah bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya sendiri yakni bahasa Melayu, sebuah bahasa besar milik 300 juta umat di Asia Tenggara. Ya! Ada keperluan terhadap keazaman politik para pemimpin dan kebijaksanaan para pelaksana di semua peringkat memenuhi tanggungjawab Perlembagaan tadi. Kerajaan “Malaysia Baharu” sepatutnya bina teladan mengukuhkan aspirasi Perlembagaan kita di sebuah negara Persekutuan. Wallahu’alam.

DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban).