Generasi berumur dan dewasa terutama yang diberi amanah dan yang berusaha merebut tampuk kepimpinan harus ingat suatu perkara iaitu untung nasib generasi penerus. Generasi penerus masih belum cukup matang memahami kerenah dan situasi yang ada bagi menjaga maslahah umat.

Sebahagian daripada mereka sedang asyik dengan idea­lisme atau angan-angan yang sifatnya kurang memahami suasana dan realiti. Ini menuntut perimbangan berfikir dan kebijaksanaan membuat keputusan supaya tidak terjebak dengan retorik panas dan sedap mulut yang sifatnya menghina dan memperkecilkan orang lain.

Mereka perlu diberi bimbingan yang berterusan supaya potensi kemudaan mereka belajar mengenai pentingnya strategi dan kebijaksanaan dalam mendepani kerenah dan masalah. Apa yang sedang dilakukan oleh orang dewasa dan berumur dalam siasah yang real menjadi tontonan generasi muda kini. Kalau yang berumur dan pernah berpengalaman memimpin negara hilang integriti siasahnya dengan sikap dan pendirian yang sering berubah-ubah ia tidak memberikan contoh yang boleh diikuti generasi muda.

Generasi muda Islam umpamanya amat menghargai tokoh-tokoh siasah yang pernah berada dalam gerakan Islam menampilkan contoh Islami dalam bersiasah dan memiliki etika menyantuni siasah semasa dengan mengekalkan pendekatan dakwah dan tarbiah yang menuntut kebijaksanaan dan kematangan.

Kalau kelompok siasah yang ingin mengembangkan strategi evangelis (pengkristianan) dalam kalangan warga umat ia tidak harus menjadikan pejuang siasah Islami menggunakan pendekatan matlamat menghalalkan cara kerana ia memberi petanda yang salah kepada generasi penerus.

Apa lagi dalam kalangan kelompok yang berideologikan sosialis demokrat cuba memperjuangkan reformasi tetapi hilang integriti perjuangan kerana akhirnya berkawan dengan tokoh yang menyebabkan reformasi terjadi dan tokoh ini amat dibenci bertahun-tahun dan diberi gelaran ‘maha zalim’ dan ‘maha firaun’.

Yang terjadi bukan taubat yang berlaku tetapi elemen oportunis yang nyata dengan silat siasah yang tersirat. Banyak masa warga umat membazir waktunya dan terkorban lantaran prinsip perjuangan yang salah.

Lebih-lebih lagi kelompok yang ingin merosakkan sejarah dan realiti masyarakat Malaysia berselindung di sebalik perpecahan warga umat dengan agenda jangka panjang menguasai perjalanan siasah negara ini dan menjadikan strategi evangelisme dan perkauman sebagai saingan kepada perkembangan Islam di negara ini.

Mereka memiliki kuasa beli yang tinggi dan mampu membeli harta tanah dan perumahan yang mahal. Ia bakal memberi kesan demografik (kependudukan) dan kuasa mengundi pada masa depan. Hegemoni ini sedang berjalan dengan berkesan dan boleh menyebabkan generasi penerus terpinggir.

Oleh kerana pemimpin dan pengikut itu adalah manusia dan organisasi siasahnya pun ditadbir urus oleh manusia sudah tentu ada kejayaan yang berlaku dan kelemahan yang terjadi. Kekuatan dasar dalam membangun negara perlu diperkukuh dan diperteguh. Kelemahan yang terdapat perlu diraikan dengan bijaksana supaya pembaikan terjadi.

Kesatuan umat perlu dipelihara lantaran perpecahan di kalangan warga umat boleh menyebabkan keterpinggiran berlaku dan hegemoni pihak yang berkepentingan bakal mengambil tempat.

Warga tua dan dewasa harus menginsafi hakikat bahawa generasi hari depan memerlukan bimbingan contoh teladan dalam kepimpinan dan kepengikutan yang matang dan boleh dijadikan sumber ikutan.

Generasi penerus adalah aset atau harta yang amat bernilai untuk kemajuan hari depan. Bangunkan jiwa mandiri dalam kalangan mereka supaya budaya subsidi tidak menghambat kemajuan dan perubahan yang sepatutnya berlaku.

Perkara mengenai bahasa, Islam, hak istimewa orang Melayu, sistem beraja, dasar pendidikan yang sedang berjalan adalah antara agenda utama menentukan kesinambungan warga umat untuk terus menghadapi cabaran hari depan.

Amat penting generasi tua dan dewasa walaupun terdapat sebahagian daripada mereka semacam merelakan diri menjadi alat memecahbelahkan kesatuan umat akibat penyakit taksub yang dihidapi dan dendam nafsul amarah yang dideritai boleh menyebabkan pecahnya kesatuan umat membolehkan dominasi pihak rasis dan caunivis berlaku dan memberi kesan jangka panjang terhadap ke­langsungan generasi penerus melakukan perjuangan, perubahan dan kemajuan warga umat.

Oleh itu, pemilihan pemimpin yang dibuat adalah suatu taklif atau amanah supaya generasi penerus bakal mewarisi, tidak terpinggir dalam kemelut kuasa politik dan menyebabkan kuasa beli mereka terhakis dan akhirnya bakal terjebak dalam belenggu dominasi mereka seperti kita pernah terjebak dalam belenggu penjajahan yang sifatnya atau pecah perintah.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).