Individu seumpama itu akan menggunakan apa sahaja media bagi melepaskan geram mereka dan ketika ini laman sosial termasuklah Facebook dan Twitter menjadi pilihan utama. Itulah yang berlaku dalam tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur kelmarin.

Ada sesetengah individu yang kononnya bertaraf tokoh seolah-olah ‘memperlekehkan’ tragedi itu. Membaca komen-komen mereka di dalam Twitter contohnya memungkinkan kita tertanya-tanya apakah mereka sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan.

Tragedi tetap tragedi. Tidak kira ke atas siapapun yang berlaku, kita sepatutnya sama-sama bersedia dan bersimpati. Tetapi malangnya sesetengah ‘hati manusia sudah hitam’ akibat kepala ‘sudah berulat’ dengan politik kebencian.

Justeru mereka mempolitikkan tragedi tersebut. Pelbagai hujah jahil mereka lontarkan semata-mata kerana perasaan benci yang membuak-buak kepada kerajaan. Walaupun hujah mereka ‘diserang’ kembali, tetapi penulis percaya kelompok seumpama itu tidak akan insaf. Sebaliknya mereka akan meneruskan kebodohan mereka berpolitik, apatah lagi kalau individu berkenaan sepatutnya lebih banyak menghabiskan masa tikar sejadah.

Kalaupun mereka taksub kepada sesebuah parti atau menyanjung mana-mana pe­mimpin tetapi janganlah me­lam­­paui batas.

Janganlah bertindak bagaikan orang hilang akal sehinggakan tragedipun mahu diseret sama ke dalam kancah politik.

Tidak salah untuk memberi pandangan dalam tragedi tersebut, tetapi biarlah ia bertujuan baik dan bukannya mahu melam­piaskan dendam politik kepada mana-mana pihak.

Tragedi pusat tahfiz itu bukan sahaja sesuatu yang menyedihkan malah ia menggemparkan negara.

Dalam laman-laman sosial ribuan orang menzahirkan rasa simpati memandangkan daripada 23 yang terkorban, 21 da­ripada adalah pelajar.

Pemimpin-pemimpin pula tanpa mengira ideologi politik tidak henti-henti mengunjungi tempat kejadian sebaik sahaja tragedi berlaku. Tetapi malangnya ada antara penyokong mereka bagaikan sudah mati perasaan kemanusiaan.

Atas sebab itulah, berpolitik memerlukan kematangan dan bukannya mengikut perasaan. Jangan perasaan kebencian kerana berbeza ideologi politik ‘membunuh’ naluri kemanusiaan kita.

Bayangkanlah apakah perasaan kita jika yang terlibat dalam tragedi itu anak,cucu atau menantu kita. Dan apabila kita membaca laman-laman sosial ada puak yang begitu jahil berhujah berhubung tragedi berkenaan. Sudah tentu kita berasa marah dan sakit hati.

Apapun kita tidak perlu melayan golongan tersebut. Biarkan sahaja mereka dengan ‘kegilaan’ itu. Serahkan sahaja rakyat menilai. Kelompok yang sudah dilumuri politik kebencian ini tidak ke mana dan lebih penting daripada itu biarlah mereka menjawab di hadapan Allah kelak.

Adalah lebih baik kita menumpukan perhatian bagaimana untuk memastikan tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak berulang. Berilah pandangan yang bernas kepada kerajaan bagi membolehkan langkah lebih tegas dilaksanakan dan bukannya kita hanya bercakap selepas tragedi berlaku.

Sekurang-kurangnya dengan memberikan pandangan seumpama itu ia akan membolehkan kita mencari penyelesaian terbaik terhadap satu permasalahan yang boleh dianggap sudah sekian lama berlanjutan. Namun untuk sementara ini marilah kita berdoa agar roh kesemua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang beriman serta beramal soleh - AL FATIHAH