Mereka sudah berkorban meninggalkan UMNO semata-mata mahu meneruskan perjuangan bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi sekarang apabila sudah berkawan dengan PKR, DAP dan PAN, suara akar umbi PPBM entah ke mana.

Penulis yakin bantahan ahli-ahli tersebut berhubung pembahagian kerusi di Negeri Sembilan itu hanya sia-sia. Pemimpin PPBM sama ada Dr. Mahathir, Tan Sri Mu­h­yiddin Yassin mahupun Datuk Seri Mukhriz tidak akan mende­ngar suara mereka. Ketiga-tiga mereka akan me­ngutamakan suara pemimpin-pemimpin PKR,DAP dan PAN.

Dalam beberapa kes yang menyaksikan kemelut dan krisis PPBM, pemimpin-pemimpin utama parti itu tidak pernah mempedulikannya. Mereka membiarkan sahaja ia berlalu seolah-olah suara ahli-ahli akar umbi tidak penting.

Tumpuan utama mereka khususnya Dr. Mahathir adalah menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dr. Mahathir bagaikan tidak peduli suara hati ahli-ahli akar umbi yang majoriti mereka sudah berkorban meninggalkan UMNO semata-mata demi setia kepada pemimpin politik berusia 93 tahun tersebut.

Tetapi sekarang dengan apa yang berlaku di Seremban terbuktilah pengorbanan ahli-ahli akar umbi PPBM adalah sia-sia. Pemimpin mereka tidak akan mempedulikan bantahan atau mengambil kira mereka berpuas hati atau tidak dalam pembahagian kerusi Parlimen ataupun DUN.

Bagi pemimpin-pemimpin PPBM, mereka perlu menjaga hati PKR dan DAP. Kalau terpaksa mengalah, mereka akan mengalah. Kononnya, mereka membuat keputusan atas dasar kesepakatan dan muafakat, tetapi hakikatnya PPBM tidak ada apa-apa suara. Lagipun semua itu tidak penting kerana yang mustahak ialah menjatuhkan Perdana Menteri dan menumbangkan BN sekali gus melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Oleh itu, dalam berunding dengan PKR dan DAP serta PAN, PPBM sebenarnya tidak ada suara, mereka hanya ‘pak turut’ sahaja. Dr. Mahathir tidak ikhlas untuk mendengar suara akar umbi PPBM sebab itulah beliau tidak mencampuri kekalutan yang berlaku dalam parti itu.

Dr. Mahathir hanya mahu menjadikan PPBM sebagai alat untuk membolehkan beliau bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi melunaskan dendam politiknya terhadap Najib. Biarlah PPBM tidak menang banyak kerusi atau sekadar ‘pak turut’ asalkan kedua-dua parti tersebut berada di sampingnya untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Jika Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin PPBM ikhlas dan memahami suara akar umbi, mereka akan menyelesaikan segala kemelut yang berlaku dalam parti itu serta akan membawa suara bantahan ahli-ahli PPBM ke peringkat lebih tinggi. Tetapi apa yang kita dengar mereka mahu ahli-ahli bersabar dan patuh dengan keputusan pembahagian kerusi kononnya atas muafakat antara parti-parti Pakatan Harapan.

Sebenarnya penulis difahamkan bukan sahaja di Ne­geri Sembilan malah di negeri-negeri lain, majoriti ahli-ahli akar umbi tidak berpuas hati dengan kepemimpinan ‘tiga M’ – Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz. Sementara Muhyiddin terus bersedia menjadi ‘kuli’ seperti mana beliau nyatakan sebelum ini, PPBM dikawal sepenuhnya oleh dua beranak, Dr. Mahathir dan Mukhriz.

Merekalah menentukan segala-galanya. Muhyiddin sama ada suka atau tidak, terpaksa mengikut sahaja kemahuan politik anak beranak itu. Kalaupun Muhyiddin mahu bersuara, apa kuasa yang beliau ada? Memang benar beliau adalah Presiden tetapi kata putus dilihat ada kepada Dr. Mahathir.

Keadaan itulah dikatakan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli UMNO akar umbi dan ia menjadi semakin parah apabila agenda perjuangan untuk orang Melayu yang selama ini dianggap sebati dengan Muhyiddin semakin terpinggir daripada ‘diari’ politik PPBM.

Sementara Dr. Mahathir hanya mempunyai satu sahaja agenda iaitu menjatuhkan Najib, PPBM pula tidak ada arah tuju. Struktur organisasi di peringkat akar umbi kelam kabut. Namun begitu situasi tersebut tidak melemahkan semangat parti-parti dalam Pakatan Harapan khususnya DAP untuk menjalinkan kerjasama dengan PPBM.

Mereka tahu pemimpin-pemimpin PPBM lain terma­suklah Muhyiddin tidak penting, malah mereka juga melihat ahli-ahli parti itu tidak ada kekuatan untuk melawan kehendak politik Dr. Mahathir dan Mukhriz, justeru selagi anak beranak tersebut terus berada dalam PPBM serta bersama Pakatan Harapan ia tetap dianggap ‘satu keuntungan’.

Oleh tidak payahlah ahli-ahli akar umbi mahu menjadi ‘wira’ untuk membantah keputusan kepemimpinan parti mereka dalam pembahagian kerusi untuk PRU-14. Perca­yalah suara mereka tidak akan didengari dan tidak mungkin diberi perhatian.

Ia kerana PPBM bukanlah parti politik yang ditubuhkan demi membela nasib rakyat, memperjuangkan kepentingan orang Melayu apatah lagi memartabatkan Islam sebaliknya PPBM hanyalah ‘kuda tunggangan’ kepada Dr. Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan ‘pak turut’ kepada Pakatan Harapan khususnya DAP dalam menumbangkan BN.

Kepada ahli-ahli PPBM berfikir dan bermuhasabahlah apakah wajar mereka terus berada dalam parti paling banyak masalah tersebut. Jadikanlah apa yang berlaku di Seremban sebagai pengajaran, janganlah akibat dikuasai nafsu politik disebabkan terpengaruh kebencian, kalian akhirnya menjadi ‘lebai malang, menang sorak kampung tergadai’. Kalau itu berlaku, percayalah DAP pasti bertepuk gembira!