Bro dah tengok ramai perempuan macam ini. Kata nak kurus atau nak turun badan, tetapi masa cakap macam tu tangan dan mulut penuh dengan makanan. Yang dah sudah semula jadi gemuk tak apalah nak buat macam mana, bukan salah dia orang pun, walaupun Bro rasa mereka juga kena usaha turunkan badan.

Tetapi yang Bro nak tegur ini perempuan yang kononnya nak kurus tetapi ‘cakap tak serupa bikin’. Bila orang kata dia gemuk, marah kata kita ni tak tahu nilai perempuan. Tak pandai nilai macam mana lagi kalau pakai baju kurungpun dah nampak macam tong drum. Badan pula macam tepung roti nan tengah diuli.

Jadi Bro nak nasihat perempuan, kalau betul nak kurus, disiplinkan diri. Kawal pemakanan. Jangan main `belasah’ saja apa ada depan mata. Lepas tu rajin-rajinlah bersenam. Ini tidak, bangun tidurpun, matahari dah atas kepala, macam mana nak bersenam.

Satu lagi lepas bersalin, pandai-pandailah jaga badan. Jangan dok bagi alasan gemuk selepas bersalin. Ramai perempuan macam ini. Anak baru seorang tetapi badan macam sudah bersalin tujuh anak. Yang pelik ada kawan Bro termasuk Miss Kitty dok sibuk suruh lelaki jaga badan. Amboi! Tak kan lelaki saja kena jaga badan, perempuan pun kenalah jaga sama. Jangan sampai sebelum kahwin badan macam patung Barbie bila dah bersalin badan macam kung fu panda.

Perempuan penting jaga badan, kalau dapat suami baik macam Bro ni okeylah sebab terima sahaja seadanya, tetapi kalau lelaki lain belum tentu. Memanglah masa bercinta masing-masing dok sembang besar: “Saya terima awak seadanya.” tetapi lepas kahwin tengoklah siapa yang ada, siapa yang tak ada.

Kalau perempuan nak lelaki jaga badan, perempuan pun sama. Bagi Bro, lelaki okey sahaja kalau gemuk sebab ada perempuan suka lelaki gemuk, tetapi ada lelaki tak suka perempuan gemuk. Sebab itulah baru-baru ini ada menteri kata susah dapat zuriat.

Bro bukan doktor, jadi Bro tak mahu berhujah bab-bab kesihatan ini. Apa yang penting Bro nak nasihatkan perempuan pandai-pandailah jaga badan. Bro bukan apa, Bro kasihan tengok perempuan yang kurus tiba-tiba jadi gemuk sebab tak tahu nak jaga pemakanan. Yang dah gemuk, Bro tak kisah sangat, sebab ada antara mereka yang tetap berusaha nak kurus cuma tak boleh kurus-kurus.

Satu lagi Bro nak nasihat perempuan yang badan berisi (bahasa sopan), bila pakai baju tu, pilihlah yang sesuai. Jangan pakai baju yang nampak mereka sememangnya gemuk. Bila pakai baju macam ini percayalah pasti ada mata memandang dan akan beri ulasan tak rasmi dalam hati. Pilih pakaian yang bersesuaian.

Bro memang rimas bila tengok perempuan berbadan gemuk pakai baju tak sesuai dengan badan. Dah tahu badan macam tu pakailah pakaian yang longgar sikit. Paling baik baju kurung atau jubah, mesti nampak comel, betul tak?

Okey Bro berhenti kat sini dulu walaupun banyak lagi idea bab perempuan `berbadan besar’ (bahasa sopan lagi), bukan apa takut nanti ada perempuan yang tukar jadi ‘Hulk’ pula. Jumpa lagi.

Bro – tak suka besar-besar