Yang Akak Cute nak cerita pasal penat ni apabila hari-hari dengar berita pasal kes dadah. Buka TV je cerita pasal dadah. Belek surat khabar pun sama. Macam tak habis-habis masalah dadah ni dalam negara kita. Walaupun pelbagai cara dan kaedah kerajaan buat untuk memerangi musuh nombor satu negara, tetapi jenayah ini masih lagi berlaku.

Dalam hal ini kita ucap tahniah kepada pasukan polis kerana banyak kejayaan menumpaskan sindiket dadah, membongkar makmal dadah selain membanteras pengedaran bahan terlarang itu. Penagih-penagih dadah juga turut ‘diselamatkan’.

Apa yang menyedihkan masalah penagihan dadah ini melibatkan anak-anak muda lelaki Melayu. Sayangnya bila mereka yang dianggap sebagai harapan bangsa lebih memilih untuk terjebak dalam gejala itu. Untuk tahun lepas sahaja seramai 24,314 penagih dadah lelaki dikesan oleh Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).

Jumlah itu dalam kalangan mereka yang mempunyai lebih daripada satu kesalahan dalam tahun tersebut. Itu belum termasuk 19,392 penagih yang dikira sekali sahaja kesalahan.

Berbanding penagih wanita, jumlah mereka meliputi 953 dan 831 penagih bagi jenis kesalahan dan tempoh yang sama. Walaupun hanya meliputi 3.9 % daripada jumlah penagih lelaki, ia juga satu perkara yang perlu dibimbangkan.

Baru-baru ini Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah turut mendedahkan seramai 12,477 daripada 12,703 lelaki Kelantan dikesan menjadi ‘hamba’ dadah dalam tempoh lima tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 10,362 kes baharu berkait penyalahgunaan dadah telah direkodkan manakala 2,341 adalah kes berulang. Eh! janganlah marah pula lelaki Kelantan. Itu fakta. Di negeri-negeri lain pun tidak terkecuali.

Apa yang penting kita tidak mahu lebih ramai golongan lelaki memilih untuk terus menghuni pusat pemulihan dadah. Di saat jurang penuntut lelaki dan wanita di universiti awam semakin membesar, mereka sepatutnya berada di pusat pengajian, bukannya pusat pemulihan.

Kalau kita tengok laporan statistik pada 2017, jumlah pelajar lelaki yang mendaftar masuk ke Universiti Awam (UA) adalah seramai 205,067 orang atau 38 % manakala pelajar perempuan, 333,488 (62 %). Di IPTS pula, pelajar lelaki seramai 272,028 (48 %) dan perempuan 293,824 (52 %).

Kehebatan pencapaian akademik perempuan ini memang terserlah. Abang Hensem sendiri pun akui tentang itu. Namun kita juga mahu lelaki pun hebat jugalah dalam bab ini.

Bukan apa, jika trend ini terus berlaku, mahu penat perempuan nak cari jodoh di universiti. Eh, semua penat lah perempuan ni.