Seperti mana titah baginda, demi masa hadapan negara usaha ke arah mengembalikan perpa­duan rakyat wajib dirintis dengan mengamalkan budaya demokrasi tinggi, mewujudkan semangat inklusif bahawa yang menang tidak menang semua dan yang tewas tidak pula tewas semua.

Titah baginda tepat pada waktunya bukan sahaja mengambil se­mangat daripada PRU-14 yang berakhir tetapi lebih penting daripada itu ialah situasi yang dilihat semakin merimaskan apabila ada pihak-pihak tertentu mula menunjukkan ‘be­lang’ dan wajah sebenar mereka.

Apa yang meresahkan konon­nya atas semangat Malaysia Baharu pelbagai tindakan dan kenya­taan dibuat oleh kelompok atau individu tertentu seolah-olah dalam era perubahan kepemimpinan negara, ia kesempatan terbaik untuk memuntahkan apa yang terpendam selama ini khususnya melibatkan orang Melayu dan Islam.

Kalau dahulu sukar sekali kita melihat ada individu mencadang­kan supaya sistem beraja dihapuskan atau sekolah tahfiz ditutup tetapi sekarang keberanian tersebut semakin terserlah.

 Walaupun kita tahu ada antara mereka bertindak demikian demi mencari publisiti murahan dan begitu bangga dapat melakukan provokasi ke atas orang Melayu, tetapi apakah ia berbaloi dalam usaha kita mengukuhkan kembali perpaduan seluruh rakyat negara ini?

Sememangnya perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan semakin longgar genggaman kuasa politik mereka telah memungkinkan kea­daan itu berlaku, tetapi harus diingat ‘sarang tebuan jangan dijolok’, ‘api jangan dibuat mainan’.

Tetapi malangnya yang melakukan provokasi atau kelompok yang begitu taksub dengan era Malaysia Baharu ini bukanlah bangsa lain tetapi dalam kalangan orang Me­layu sendiri.

Biarpun dilihat tindakan mereka boleh dianggap mengkhianati bangsa sendiri tetapi kononnya demi kebebasan bersuara, demokrasi dan keadilan maka terpacul desakan atau saranan yang merimaskan.

Sudah pastilah keadaan itu tidak akan menyenangkan majoriti orang Melayu yang terbukti dalam PRU-14 tidak memberi undi mereka kepada Pakatan Harapan, tetapi dalam soal ini kerajaan tidak boleh di­salahkan sebaliknya yang bersalah adalah individu yang ‘kelam kabut’ dan bagaikan ‘tenggelam punca’ dalam menempuh era Malaysia Baharu.

Hakikatnya, mereka inilah ‘pa­rasit’ kepada usaha untuk mengembalikan perpaduan da­lam ka­langan rakyat negara ini.

Mana mungkin perpaduan dapat dicapai atau distabilkan kalau saban hari, ‘parasit-parasit’ ini sama ada melalui kenyataan media atau laman sosial terus me­lakukan provokasi.

Apabila ada pihak yang menegur perbuatan ‘songsang’ mereka, pasti akan dianggap berada dalam kelompong lama dan desakan menghapuskan akta-akta tertentu semakin kuat kedengaran. Ia bertujuan bagi membolehkan mereka meneruskan kebiadaban tanpa batas.

Puak-puak yang sengaja mencetuskan isu yang boleh menggugat perpaduan ini bagi penulis adalah ‘parasit’ perosak perpaduan.

Mereka mencari publisiti atau cuba mempopularkan diri melalui cara yang salah, mungkin disebabkan krisis identiti dialami.

Namun perbuatan seumpama itu tidak boleh dibiarkan. Go­longan seumpama ini perlu ditentang habis-habisan, apatah lagi jika ia boleh membawa kemudaratan kepada bangsa sendiri khususnya orang Melayu.

Dalam sebuah negara demokrasi tidak salah untuk mereka menyokong sesiapa sahaja, tetapi janganlah apabila pihak yang disokong mencapai kemenangan dalam pilihan raya maka ia dilihat ‘lesen’ untuk melakukan provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai.

Menganggap mereka yang mempertahankan atau bercakap soal kepentingan Melayu dan Islam sebagai kelompok ketinggalan zaman ketika negara menuju Malaysia Baharu boleh dianggap keterlaluan.

Ia kerana biarpun apa juga status atau era yang ditempuh oleh sesebuah negara, itu bukan bermakna masyarakatnya perlu me­ngorbankan jati diri mereka, apatah lagi jika seseorang itu benar-benar berjiwa Melayu.

Justeru, dalam usaha menyahut titah Sutan Nazrin tersebut, golongan yang terus berusaha mencari publisiti murahan dengan mencetuskan isu yang boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu dan umat Islam perlu ditangani terlebih dahulu.

Memang benar negara ini mengamalkan kebebasan bersuara dan sesiapa sahaja boleh memberi pendapat tetapi janganlah sesekali menyentuh isu yang boleh mencetuskan perbalahan.

Begitu juga apabila ada pihak menganggap perjuangan mempertahankan orang Melayu dan agama Islam sebagai rasis. Ini adalah pemikiran kelompok yang ‘tidak sedar diri’ terhadap asal usul mereka, jika mereka seorang Melayu.

Kalaulah bangsa atau kaum lain begitu tegar dan beria-ia mempertahan dan memperjuangkan kepentingan mereka tidak pula dianggap rasis, kenapakah dalam bab Melayu boleh dicampakkan dalam kategori berkenaan?

Atas sebab itulah, soal mengembalikan perpaduan hanya boleh dicapai jika semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing dan berhati-hati dalam apa juga kenyataan terutamanya perkara yang dilihat boleh mencetuskan kemarahan sesuatu kaum.

Malaysia Baharu bukanlah bermakna ada kelompok dalam negara ini yang boleh bertindak bagaikan ‘menyala api dalam sekam’ kerana lambat laun ia boleh mencetuskan kebakaran besar, justeru sebelum terlambat gunalah akal sebelum melontarkan pandangan bukannya didorong ‘hati yang hitam’ khusus­nya jika seseorang adalah Melayu.