Kalau menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membuat pengumuman itu di Alor Star pada 19 Mac lalu, matlamatnya adalah menarik pelaburan, sekali gus menjana pendapatan negeri, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan membantu golongan miskin.

Tetapi persoalan yang bermain di fikiran penulis dan seperti mana dibangkitkan oleh pelbagai pihak di Kedah, apakah pengumuman itu perlu disambut dengan tangisan atau ketawa memandangkan walaupun kita mengakui projek seumpama itu amat penting namun pada masa sama Kedah berhadapan dengan isu atau perkara lebih besar yang perlu diselesaikan segera.

Sebab itulah penulis tidak terkejut dengan kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Datuk Johari Abdul yang menganggap pengumuman projek RM3.2 bilion itu tidak kena pada masanya iaitu ketika sebahagian rakyat Kedah sedang menghadapi krisis bekalan air yang teruk.

Tanpa mempertikaikan projek mega tersebut mampu menjana ekonomi negeri, Johari menegaskan: “Seharusnya ia disekalikan dengan penyelesaian isu-isu majoriti rakyat yang sebenar di akar umbi.”

Sebelum Johari mengeluarkan kenyataan yang mungkin tidak menyenangkan kepemimpinan kerajaan negeri, Pas Kedah lebih awal bersuara apabila menganggap pengumuman tujuh projek mega itu ibarat ‘dentuman di musim kemarau’.

Pada pandangan parti itu yang dizahirkan oleh Timbalan Pesuruhjayanya, Muhammad Sanusi Md. Nor, masih ada perkara lain yang perlu diberikan keutamaan oleh kerajaan Kedah.

Muhammad Sanusi bukanlah berhujah kosong, apatah lagi disebabkan perbezaan fahaman politik tetapi beliau membentangkan fakta bagaimana jika kerajaan negeri melalui bantuan kerajaan pusat boleh mengeluarkan peruntukan RM3.7 bilion untuk projek itu, kenapakah peruntukan RM1.7 bilion tidak boleh diberikan bagi menyelesaikan krisis air yang kritikal sejak 10 tahun lalu?

Bagaimanapun kita lega apabila Menteri Air,Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar mengumumkan kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM70 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling dan Gurun dengan menaik taraf Loji Rawatan Air Tupah dan Merbok serta penggantian paip lama. Di samping itu, kerajaan juga meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan sebanyak 10 buah projek menaik taraf sumber dan bekalan air bernilai RM1.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Sepatutnya itulah yang perlu diperjuangkan oleh kerajaan negeri sejak awal lagi. Isu-isu berkaitan rakyat perlu diberikan keutamaan untuk diselesaikan terlebih dahulu dan bukannya mahu bermegah dengan pengumuman pelaksanaan projek-projek mega. Apa gunanya projek seumpama itu atau rasa bangga dengan kehadiran pelabur, kalau di Kedah masih ada penduduk yang terpaksa bergantung kepada air sungai dalam kehidupan harian mereka.

Jangan lupa dalam manifesto Pakatan Harapan bagi PRU-14, salah satu tawaran yang dikemukakan kepada rakyat Kedah ialah mahu mengatasi masalah gangguan bekalan air dalam tempoh 100 hari selepas menang pilihan raya itu. Sekarang sudah lebih 100 hari.

Bukan sahaja masalah air, banyak lagi soal infrastruktur melibatkan rakyat perlu diperjuang dan diutamakan oleh kepemimpinan kerajaan negeri ia termasuklah isu kekurangan hospital daerah di negeri tersebut.

Selain itu, isu yang turut perlu diberi perhatian ialah bagaimana mahu membantu golongan bawahan supaya tidak terus dihimpit kemiskinan. Namun begitu untuk bertindak adil, penulis memuji hasrat kerajaan negeri melaksanakan program Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi membantu rakyat miskin.

Kalau mengikut pengumuman Mohamed Azmin, menerusi KIDA, sebanyak 5.8 ketua isi rumah yang berpendapatan dibawa garis kemiskinan boleh membeli barangan keperluan asas bernilai antara RM400 hingga RM500 sebulan di pasar raya terpilih.

Bagi golongan miskin sudah tentulah jumlah tersebut akan mengurangkan beban kewangan mereka, tetapi apa yang kita harapkan ia dilaksanakan segera.

Oleh itu janganlah hampakan rakyat Kedah. Mereka yakin kerajaan negeri boleh melakukan lebih baik lagi demi kesejahteraan mereka. Bukan projek mega yang mereka minta, bukan lapangan terbang yang mereka mahu tetapi menyelesaikan masalah melibatkan kehidupan harian mereka seperti bekalan air dan kos sara hidup. Jika tidak, apa yang digembar-gemburkan hanya ibarat, guruh musim kemarau, bunyinya kuat, hujan belum tentu.