Penulis terdorong untuk membincangkannya kerana isu ini memang berlaku. Kebanyakannya melibatkan anak lelaki yang telah berkahwin. Mereka terlalu menumpukan isteri dan anak-anak dan ada juga kes yang terlalu melebihkan keluarga mentua sehingga ibu bapa sendiri terabai.

Wahai anak lelaki! Jangan sesekali lupa bahawa hubungan kamu dan ibu bapa tidak akan putus selagi kedua-duanya atau salah satu daripadanya masih hidup. Oleh itu, jika ibu bapa terasa hati dek perbuatan kamu, tunggulah pembalasan Allah SWT yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja.

Sebab itu, biasa kita dengar mengenai kisah anak lelaki menyerahkan tanggungjawab memelihara ibu bapa yang sudah tua dan uzur kepada adik-beradik perempuan yang lain. Dengan susah payah terpaksalah kakak atau adik perempuan mereka berkorban sedangkan tanggungjawab sebenar terletak di bahu anak lelaki.

Penulis tidak kata semua anak lelaki bersikap demikian tetapi lazimnya itulah yang berlaku. Seorang rakan pernah berkongsi dengan penulis bagaimana abang dan adik lelakinya tidak mahu bergilir menjaga ibu mereka yang sedang sakit.

Semuanya diletakkan dipundaknya. Sebagai anak perempuan sulung, dia akur tetapi pada masa sama cukup terkilan dengan sikap abang dan adik lelaknya itu. Inilah realiti yang berlaku. Paling tidak katanya, bergilir-gilirlah jaga ibu yang sedang sakit kerana itu adalah tanggungjawab bersama.

Penulis pernah berbincang dengan seorang ustaz tentang isu ini dan beliau mengakuinya. Berdasarkan pengamatannya terdapat sebahagian anak lelaki yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka selepas berkahwin sebaliknya melebihkan isteri dalam segala hal.

Ujarnya lagi, hak isteri memang untuk disayangi tetapi jangan lupa setiap anak lelaki iaitu golongan suami turut mempunyai tanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa masing-masing. Oleh itu seorang anak lelaki perlu mengimbangi kasihnya dengan isteri serta sayangnya terhadap kepada kedua ibu bapa.

Kata ustaz itu lagi, paling dibimbangi ada jenis si isteri yang menghasut si suami sehingga ada yang menjauhkan diri daripada ibu bapa sendiri.

“Jika ini yang berlaku, apa yang boleh kita boleh katakan, isteri jenis ini memang tidak sayangkan suami. Tidak cintakan suaminya. Mereka ini hanya kasih harta benda suami. Kenapa? Sebab isteri yang seperti inilah mendorong suaminya menjadi seorang anak derhaka. Mendorong suaminya jalan ke neraka,” ujar ustaz tersebut.

Sepatutnya isteri perlu memainkan lebih peranan dengan melorongkan suami mereka ke arah kebaikan. Melorongkan suami mereka masuk syurga dengan mengingatkan tanggungjawab suaminya terhadap ibu bapa. Mengingatkan suami tanggungjawabnya terhadap perintah Allah SWT.

“Oleh itu janganlah terlalu cemburu sekiranya terdapat suami yang menjalankan tanggungjawabnya terhadap ibu bapanya. Janganlah cemburu sekiranya si suami menghulur duit belanja untuk ibu bapanya di kampung.

“Di saat itu suami sedang melakukan satu kebaikan yang amat hebat. Mungkin disebabkan kebaikannya ini, kita sekeluarga masuk syurga Allah SWT,” kata ustaz itu lagi.

Apabila balik ke rumah dan penulis renung-renungkan setiap patah perkataan ustaz ini. Hakikatnya nasihat yang diberikan itu terlalu banyak kebenarannya.