Persoalan penting di sini ialah ke mana arah negara kita sekiranya kita berterusan membahaskan isu-isu yang berunsur perkauman ini? Pada masa sama, kita berada di dalam dilema survival parti politik yang berunsurkan etnik.

Mungkin fenomena ini agak baharu bagi konteks Malaysia selepas tempias dari PRU-14. Namun, ideologi perbahasan yang menjurus ke arah etnik adalah sesuatu yang tidak boleh terlepas pandang demi keharmonian negara.

Sekiranya semua pihak mempertikaikan kedudukan masing-masing, apakah hala tuju negara kita di dalam membina bangsa dan negara.

Kita sedar bahawa beberapa isu sensitiviti yang berunsurkan kaum telah pun mengejutkan kita. Kita menyedari aspek perpaduan di dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini masih rapuh dan perlu diperkukuhkan.

Ada kalanya perkara atau isu kecil boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini. Dalam kesibukan perbahasan politik negara, jangan kita alpa pendekatan yang harus diambil bagi mempromosikan perpaduan serta nilai keharmonian antara kaum di negara ini.

Pada waktu inilah pendekatan seumpama ini harus diambil. Pada masa sama harus memantau penyebaran berita tidak sahih di media sosial terutama yang boleh menggugat perpaduan antara kaum.

Kita berada dalam era di mana masing-masing boleh jadi wartawan sedangkan mereka tidak tengok kesahihan maklumat. Kita ada undang-undang dan tak mahu isu perkauman disentuh.

Selepas PRU lalu, banyak isu berkaitan kaum dan agama menjadi bahan perbahasan terutama melalui media sosial. Ada yang kadang-kadang berbentuk gurauan tetapi boleh menggores perasaan dan menimbulkan keresahan.

Isu-isu sensitif ini perlu diurus dengan baik kerana ia boleh mengancam keselamatan negara. Kebebasan bercakap terutama melalui media sosial menyebabkan rakyat tidak peduli lagi apa yang dibicarakan sehingga ke tahap mempersenda agama, bahasa dan kaum.

Di sebalik soal survival politik negara dan perbahasan ideologi politik masing-masing, kita harus menghormati hak orang lain, maka tidak akan berlakulah pertikaian sesuatu isu yang akhirnya membawa kepada mempersenda atau merendahkan hal-hal berkaitan, agama, budaya dan fahaman masing-masing.

Kelemahan utama ialah ramai yang tidak menghayati perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan malahan tidak keterlaluan jika dikatakan mereka tidak peduli. Jangan mudah mempertikaikan sesuatu isu atas nama kebebasan.

Ada ketikanya apabila sesuatu pihak mempertahankan soal kaum, bahasa dan agamanya, ada pula suara sumbang yang menyifatkan itu sebagai rasis atau perkauman.

Pemimpin di pelbagai peringkat sama ada berkaitan agama, kaum atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Mereka perlu mengekang perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Jangan sengaja membuka jalan mencurah minyak ke dalam api. Kini, rakyat tidak ada masa untuk bergaul sesama masyarakat sebaliknya lebih mesra dengan grup WhatsApp atau media sosial lain.

Banyak perkara sensitif yang menyentuh agama dan kaum begitu mudah dizahirkan di laman sosial sama ada tulisan, kata-kata, lakaran, lukisan, karikatur dan simbol.

Tindakan golongan ‘batu api’ itu amat berbahaya, umpama membaling bola api kepada khalayak.

PENULIS ialah Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan.