Syarikat akhbar di Sarawak itu telah ditutup pada 1999, yang menyaksikan ramai sahabat menyertai akhbar-akhbar lain. Saya yang berada di ibu negara mengikuti perkembangan tersebut dengan hati cair.

Walaupun tempoh saya di situ tidak lama, tetapi kenangan cukup banyak kerana editor Mohammad Kassim, William Chan dan Desmond Davidson sangat menyokong pembinaan kerjaya saya ketika itu. Malah memberi peluang saya menulis banyak kegiatan kesenian dan kesusasteraan di Kuching, selain mempelajari kaedah melapor berita jenayah, mahkamah, sukan dan hiburan.

Berbekal dua beg, saya meminjam duit mak untuk membeli tiket pesawat ke Kuala Lumpur pada Mac 1993. Tidak boleh menunggu bapa pulang dari bertugas di Sibu selama seminggu kerana saya sudah menangguhkan tempoh melapor diri selama dua hari. Kenapa meminjam? Gaji saya ketika itu adalah di bawah paras gaji minimum nasional.

Di Bernama, ia kekal di minda sebagai alma mater kewartawanan bagi saya menjadi wartawan yang lebih baik.

Sudah menjadi jodoh, pelawaan serius datang dari Utusan Malaysia, walaupun sebelum itu ada dirisik oleh dua organisasi media lain. Utusan bukan sahaja merisik tetapi terus menghantar rombongan. Saya terbang pulang ke Kuching untuk memberitahu secara peribadi kepada bapa. "Jadi tidak ada pencenlah lepas ini,’’ gurau bapa yang merupakan pembaca tegar akhbar ini.

Walaupun kini Utusan sudah sebati dalam diri, malah bagaikan ada label Utusan pada dahi, saya sentiasa mengingatkan diri agar tidak sekali-kali berkata yang buruk mengenai dua syarikat media yang pernah saya timba pengalaman iaitu The People’s Mirror dan Bernama.

The People’s Mirror meskipun sudah tiada, tapi ramai sahabat di Kuching yang masih menjadi orang media turut mengingati detik manis di situ. Memang ada situasi mengecewakan tetapi kami memilih untuk tidak mengenangnya.

Begitu juga Bernama. Kakak-kakak senior dahulu, kini ada yang sudah menjadi editor kanan di sana. Dan ada yang tiada lagi di Bernama pun, kekal menjadi sahabat baik sehingga ke hari ini. Bagaimana ini boleh berlaku? Jawapannya mudah. Jangan memburuk-burukkan Bernama atau sesiapa di sana.

Memburuk-burukkan orang atau syarikat lama ini, apa untungnya? Jadi sekarang bila melihat ada orang yang sesudah meninggalkan tempat kerja, secara berterusan mengeji syarikat lama, ia menimbulkan rasa pilu. Bagaimana hati mereka boleh menjadi sebegitu hitam?

Atas apa nama sekali pun, baik politik atau prinsip atau agama, sebagai seorang manusia tentunya masing-masing boleh berfikir waras untuk tidak mengeji tempat kerja lama. Setuju?

Kecuali jika pemergian seseorang itu dalam keadaan paksaan seperti dibuang kerja, ditekan sehingga meletak jawatan atau dibuli setengah gila. Kes seumpamanya, mungkin boleh difahami mengapa wujud 'kebencian mendalam’ seseorang bekas pekerja.

#SUKA SAMA SUKA

Tetapi lihat juga senario di mana seseorang itu meninggalkan syarikat atas suka sama suka. Bersara. Menyertai Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) atau mendapat tawaran kerja lebih baik. Kelompok ini bila didapati mengeji dan mencerca syarikat lama (terutama di media sosial), pastinya menimbulkan pertanyaan.

Ada yang akan pantas menjawab 'ini prinsip!’. Pengurusan sedia ada syarikat tidak sama dengan pengurusan lama. Pengurusan baharu ini banyak menindas! Atas sebab inilah, kami luahkan perasaan marah di dalam Facebook, Twitter dan Instagram.

Yang menggunakan alasan politik pula, sama sahaja nyaring jeritannya hingga menusuk kalbu kerana tempikannya bergema di media sosial dalam nada keroncong heavy metal. Pelaku ini gembira kerana mesej mengeji dan mencerca telah mencapai sasaran.

#ORANG LAIN TERASA

Dalam kebanyakan masa sebenarnya, mereka yang disasar tidak akan menjawab secara konfrontasi. Yang terasa ialah orang lain atau pekerja biasa. Tercengang-cengang bila membaca bahasa kesat yang dihambur oleh bekas pekerja syarikat itu sendiri.

Untuk apa semua ini? Apakah mereka menyangka dengan tindakan sedemikian akan menjadi suatu bentuk tekanan agar orang yang jadi sasaran itu akan akhirnya terjun dari tingkat lapan bangunan?

Atau apakah tindakan mereka itu bermaksud untuk menghasut pekerja biasa turut sama membenci pihak yang dicacinya itu? Kalau mereka kelasi kapal, mungkin berhasil taktik tersebut. Berlakulah dahagi atau mutiny.

Tapi ini bukan kapal atau perahu. Ini syarikat yang mana bila seseorang dijadi sasaran sekali pun, mahu tidak mahu orang biasa lain turut sama terkena tempias. Dan lazimnya, mereka terdiri daripada bekas rakan sekerja yang dulunya, makan minum bersama di kantin, bersolat jemaah di surau. Mengapa hendak disakiti hati mereka yang masih bekerja di situ?

#BUAT TAK TAHU

Lagi lawak ialah bila ada jamuan, dibuat juga di tempat syarikat lama. Maklumlah syarikat ada kawasan padang besar. Senang buat khemah kenduri kendara. Mereka yang biasa bisa berbisa mengutuk syarikat dengan tidak rasa segan dan malu, tampil muncul di tanah syarikat yang dikejinya dan bergaul-gaul dengan pekerja yang masih ada, seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

Mereka mahu memberitahu bahawa cacian dan kata nista yang dihambur itu dituju kepada orang tertentu di dalam syarikat. Bukan pekerja biasa. Kalau benarlah dituju khusus, cacilah orang itu secara khusus. Ini tidak. Disebut nama syarikat secara meluas. Apa dia ingat pekerja biasa tidak ada perasaan?