“Dulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), orang bercakap pasal Najib, Najib, Najib dan 1MDB.

“Tapi sekarang dalam pasca PRU-14, apa lagi dalam sebulan dua ini bila saya turun jumpa kawan-kawan dan masyarakat untuk lengkapkan kajian saya ini, mereka bercakap pasal PH (Pakatan Harapan) saja.”

Tumpang bertanya apa maksudnya ‘bercakap’ pasal PH? Begini, luahnya:

1. Orang Melayu ‘hilang harapan’?

PH kini dilihat seolah-olah ‘demi menjayakan semangat Malaysia Baharu’, boleh pula tidak ikut tradisi dengan ‘mengacau’ tempat-tempat yang sebelum ini tidak boleh disentuh atau ditembusi oleh bukan Islam.

Ya benar, wakil DAP yang diletakkan dalam lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu seorang Islam. Tapi bak kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali itu dipersoalkan kerana bukankah DAP sememangnya konsisten mahu menjadikan Malaysia ‘negara sekular’? Maka, tentu pelik mengapa boleh ada orang DAP dalam Yadim-kan?

Selama ini sejak ditubuhkan pada 1974, Yadim memangkin penyebaran dakwah dan menyelaras kegiatan badan-badan dakwah agar seiring dengan dasar negara. Jadi, adakah rahsia pembangunan Islam terbongkar kepada pihak tidak sepatutnya apabila Yadim katakanlah bermesyuarat tiga bulan sekali?

2. Politik ‘wajah’?

PH dikatakan ‘tinggal harapan’ disebabkan prestasi menteri-menterinya tidak seberapa? Boleh tanya Tun Daim Zainuddin, beliau lebih maklum. Sebilangan orang mungkin teruja dengan menteri tertentu kerana ‘politik wajah’. Walhal, akibatnya mereka menerima ‘politik wajah berduri’. Hanya semata-mata popular kerana apa yang dimuat naik dalam Instagram, WhatsApp atau Facebook, itu populariti sekejap.

Kecenderungan rakyat pastinya terarah kepada prestasi. Kekacakan adalah ‘politik wajah’ sementara, yang akhirnya `perut’ (sara hidup) jugalah realiti pilihan rakyat.

3. Manifesto ‘janji tinggal janji’?

Adakah tidak ada koordinasi yang bersungguh-sungguh daripada jawatankuasa pembuat manifesto PH untuk melak­sanakannya? Benarkah mereka yang menganggotai jawatankuasa manifesto PRU-14 ini tempoh hari kebanyakannya sudah jadi menteri? Maka untuk melihat ‘roh’ pelaksanaan manifesto sepenuhnya barangkali tidak akan kesampaian kerana masing-masing sudah ‘dibuai’ jawatan menteri.

4. Bersatu senasib Berjasa, S46?

Adakah kemungkinan nasib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyamai Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) atau lebih teruk daripada parti Melayu Semangat 46 (S46)? Dikatakan sehingga beberapa bulan ini, Bersatu tidak ada grassroot (peringkat akar umbi) semantap UMNO dan Barisan Nasional. Akar umbi Bersatu di Putrajaya ada tak? Atau sekadar berfungsi atas nama organisasi?

Juga, adakah Bersatu cuma didukung oleh beberapa pemimpin yang keluar dari UMNO, tetapi bukannya ditampung oleh ahli-ahli parti itu?

Macam PKR, kenapa usianya agak lama? Ini kerana didukung atas simbol nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apatah lagi ada jurang besar usia era Tun Dr. Mahathir Mohamad, 93, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, 71, selaku pengerusi dan presiden dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, 54, (timbalan presiden) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26 ,(Ketua Armada). Ke mana haluan Bersatu selepas Dr. Mahathir dan Muhyiddin?

5. Gagasan baharu berteras ras, etnik?

Sejauh mana kepentingan Melayu dijaga dalam era Malaysia Baharu PH terus mencetuskan persepsi dan polemik. Apa yang berlaku pada Yadim?

Jika ini pun tidak terjaga, adakah pengundian pada PRU-15 kelak berasaskan ras-etnik dan isu-isu perkauman? Mungkinkah UMNO, Pas, Bersatu (sebahagiannya), Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR bakal menubuhkan satu gagasan baharu menjelang PRU-15?

Dan rumusan rakan Tumpang itu:

“Maka jangan cepat sangat (orang dari BN) nak menyeberang ke sana (PH).”