Maka penuhlah status dalam media sosial oleh penyokong tegar pasukan dibarisi pemain bertaraf bintang itu yang memperlekehkan ‘kekalahan’ lawannya. Komen-komen sinis yang panas itu langsung tidak dibalas oleh pihak yang kalah, mungkin kerana tiada modal rasanya.

Memasuki separuh masa kedua, keadaan sebaliknya berlaku. Keajaiban berlaku apabila pasukan yang dibolosi itu berjaya menyamakan jaringan. Mereka bermain seperti dirasuk, serangan bertali arus, setiap posisi menjalankan fungsi dengan penuh disiplin. Serangan balas pantas dan hantaran pendek begitu menjadi, pasukan lawan jadi buntu. Kini giliran mereka pula serba serbi tidak menjadi.

Akhirnya pada masa tambahan waktu kecederaan, pasukan yang pada separuh masa pertama mendahului dengan selesa itu dihukum oleh jaringan tendangan percuma luar kotak penalti yang layak diberikan Anugerah Puskas.

Akhirnya, pahlawan merah yang awalnya diperlekehkan oleh penyokong pasukan lawan itu pulang dengan tiga mata. Sedikit tip untuk penyokong tegar bola sepak, sila jangan beri komen pelik-pelik selagi permainan belum berakhir jika tidak mahu malu sendiri.

Senario sukan yang paling ramai peminatnya di seluruh dunia itu boleh juga dikaitkan dengan realiti semasa yang berlaku dalam negara. Terdapat segolongan anggota masyarakat yang begitu cepat ‘melompat’ apabila timbulnya sebarang isu membabitkan sensitiviti agama Islam. Terbakarnya pusat tahfiz terus didesak supaya ditutup terus.

Terdapat seorang individu bergelar ustaz baru sahaja dihadapkan di mahkamah, belum pun lagi dibicarakan terus menggesa sistem pendidikan Islam dirombak kerana melahirkan penjenayah.

Terdapat pesalah jenayah syariah disebat dengan rotan halus yang dihayun tidak melebihi bahagian bahu, terus bi­sing seluruh negara mendakwa hukuman itu zalim, kuno dan tidak bertamadun.

Allahuakbar terlalu mudah membuat kesimpulan tanpa usul periksa. Apabila terdapat pelajar sekolah dan universiti cedera, malah mati kerana dibuli tidak pula kumpulan ini mendesak agar semua sekolah dan universiti ditutup.

Apabila tokoh korporat, penjawat awam dibawa ke mahkamah, kenapa mereka tidak membuat sidang akhbar supaya organisasi yang diwakili orang kena tuduh itu ditutup? Tentang hukuman sebatan rotan pula pernahkah kumpulan itu membandingkan kesan libasan rotan sivil dan syariah? Mana satu yang membuatkan pesalah ter­kencing?

Yang terbaharu ialah tragedi arak beracun yang membunuh berpuluh orang dan menyebabkan lebih 50 orang dirawat di Lembah Klang dan beberapa negeri lain. Mana suara-suara kumpulan yang dikatakan pejuang hak asasi ini? Kenapa tidak didesak agar arak yang sememangnya haram dalam agama Islam itu tidak diharamkan terus.

Kes itu hanya kes terpencil, ia mungkin antara jawapan klise yang bakal dilontarkan. Untuk makluman, insiden keracunan arak itu bukan tragedi yang pertama, sebaliknya kejadian sama pernah berlaku kira-kira 37 tahun lalu.

Insiden terbesar dan pertama berlaku di Lunas, Kedah melibatkan kematian 32 penduduk yang kebanyakannya pekerja sebuah ladang getah selepas mereka meminum samsu haram. Maka, mengambil semangat dan roh perlawanan bola sepak, janganlah cepat sangat buat kesimpulan. Sabarlah!