Malangnya, KSTU yang telah memasuki edisi kelapan dan baharu sahaja berakhir tidak mendapat layanan sewajarnya daripada PSM yang sepatutnya membantu pihak yang berminat menganjurkan kejohanan sebegini.

Seperti perlawanan bola sepak, tidak kira tujuh atau lima sebelah, tidak pernah kita dengar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menentang malah mereka tidak langsung menghalang penganjurannya.

Isu kiraan 15 atau 21 mata ini tidak sepatutnya menjadi persoalan kerana PSM sendiri menggunakan kedua-dua cara kiraan itu sebelum ini.

Sekiranya persatuan itu ingin disanjung pihak yang mampu menganjurkan kejohanan sedemikian, saya cadangkan PSM memulakan inisiatif berbaik-baik dan menyokong setiap organisasi, bukannya menggunakan pendekatan bermusuh.

Apatah lagi dengan halangan berbaur ugutan terhadap pemain, jurulatih dan persatuan terlibat dalam kejohanan yang ditunggu-tunggu setiap tahun oleh kami selaku peminatnya

Tindakan PSM ini amat merugikan perkembangan sepak takraw negara, sedangkan bakat baharu perlu dicungkil sejak mereka di bangku sekolah lagi.

Sekiranya PSM tetap berkeras, saya selaku rakyat Malaysia yang mencintai sukan sepak takraw mencabar PSM membuat satu kejohanan lebih bagus atau setidak-tidaknya setaraf dengan KSTU pada masa hadapan. Atau sewajarnya pihak kerajaan campur tangan untuk melakukan rombakan sepenuhnya terhadap PSM agar perkara memalukan sebegini tidak berlaku lagi.

HASYIM MANAP

Bangi