Memasuki Rejab bermakna kita semakin hampir ke bulan Ramadan. Namun, belum ada jaminan kita akan bertemu dengan bulan yang penuh dengan keberkatan itu. Oleh kerana itulah kita perlu membanyakkan munajat kepada Allah dengan doa tersebut.

Menurut Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, Rejab bermaksud agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Antara keistimewaan bulan ini adalah berlakunya Israk dan Mikraj yang menurut majoriti ulama ia berlaku pada 27 Rejab. Dalam peristiwa itu jugalah, Rasulullah SAW mendapat perintah kefarduan solat lima waktu secara terus daripada Allah SWT tanpa melalui perantaraan Jibril.

Bulan Rejab adalah salah satu daripada ‘al-Ashur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) selain Muharam, Zulkaedah dan Zulhijjah. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia” sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)....”.

Mengagungkan bulan Rejab wujud sejak zaman jahiliah sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka bersungguh-sungguh berpuasa sunat dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus yang bersumberkan hadis maudhu (palsu) adalah:

  • Bulan Rejab bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku dan bulan Ramadan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa’i.
  • Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti ke­lebihan al-Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
  • Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaan-Nya, sesiapa yang ditulis baginya keredaan-Nya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di Padang Mahsyar dengan hisab yang mudah.

‘Hadis’ ini palsu kerana direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai pembohong iaitu Aban bin Abi ‘Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari bulan Rejab juga laporan palsu. Ia direka antaranya oleh Harun bin ‘Antarah, Farrat bin al-Sa’ib dan Uthman bin Matar.

Malah, ada kalangan masyarakat mengamalkan puasa tiga bulan iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini sebenarnya tidak ada dalil yang sah. Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus-menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang. Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan, baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.”

Sebenarnya, tiada hadis yang sahih mengatakan fadilat amalan khusus dalam bulan Rejab. Namun, ini bukan penghalang untuk kita beramal dengan ibadah sunat biasa seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa ayyam al-bidh (13, 14 dan 15 setiap bulan) atau puasa Nabi Daud, qiamullail, membaca al-Quran dan wirid yang tsabit daripada Nabi SAW. Syaratnya tidak beriktikad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.