UTUSAN: Kalau tuntutan itu kita benarkan, bagaimana Datuk melihat kesannya terhadap masyarakat?

MUFTI: Kita kena lihat ada sesetengah hujah, dalam Islam ada disebut fikhul wakiq, kita kena lihat kepada realiti. Kadang-kadang tempat majoriti umat Islam 80-90 peratus, bukan Islam hanya 10 peratus, kemudian kita pakai kaedah itu pada tempat 50-50 atau 60-40 atau 55-45, dah tak betul kaedah itu. Kena lihat kepada kefahaman kita mengenai realiti yang ada. Kadang-kadang ini yang menjadi masalah.

Realiti Malaysia tak sama dengan realiti di tempat-tempat lain, sebab itu dalam Islam ada juga yang diserahkan untuk fatwa. ‘Kamu, kata Nabi, lebih tahu urusan dunia kamu.’

Kalau di Kutub Utara kita tak payah ajar dia pun, dia akan pakai tebal. Kalau di Timur Tengah negara yang berdebu itu dia tahulah nak tutup hidung ke. Maknanya ada masanya Islam meraikan tempatan itu. Jadi, kaedah pun kaedah-kaedah tempatan. Sebab itu dalam hal-hal ini kesannya kita kena tengok secara realiti, secara tempatan.

Kalau institusi fatwa tidak ada, kita tahulah apa kesannya. Ada negara nak Hari Raya pun 10 fatwa, nak menentukan anak bulan nampak tak nampak pun macam-macam fatwa dikeluarkan, dan nak Hari Raya pun macam- macam, itu bila tak ada satu institusi yang mengatur, sedangkan Nabi kata ‘kamu tahulah nak mengurus urusan kamu.’ Jadi urusan kamu ini tempat berbeza-berbezalah.

Benarkah Islam tidak menghalang penggunaan kalimah Allah dalam amalan penganut agama lain seperti dibangkitkan oleh seorang pemimpin politik?

Dalam al-Quran ada sebut kisah orang Jahiliah apabila ditanya siapa Tuhan kamu, mereka akan mengatakan bahawa Allah. Saya duduk di Mesir, kalau pergi dapat suntikan daripada doktor bukan Islam dia baca Bismillah, lepas suntik saya dia kata ‘Allah sembuhkan kamu’. Dia tak kata Tuhan sembuhkan kamu. Sama juga di Mesir perempuan-perempuan ahli kitab, boleh kahwin dengan orang Islam, dan itu jelas terdapat dalam al-Quran. Hukum kita kena tengok kepada tempatan, wakiq yang berlaku.

Di Malaysia kita tak membenarkan orang Islam berkahwin dengan (perempuan) ahli kitab, apakah ini bercanggah, tidak. Inilah ijtihad wakiq di tempat kita. Pernah berlaku di zaman Saidina Ali, Nabi kata tidak ada ganti rugi kepada pemegang amanah, tetapi di zaman Saidina Ali pemegang amanah dikenakan ganti rugi. Adakah berlawanan dengan hadis Nabi, tidak, kerana wakiq atau realiti pada masa itu kata Saidina Ali, masyarakat tidak terubat kalau tidak dikenakan ganti rugi sebab masyarakat pada masa itu tidak lagi amanah.

Zaman Saidina Abu Bakar dan Umar masih kuat sifat amanah itu, tetapi zaman pemerintahan Saidina Ali amanatnya sudah kurang, maka Saidina Ali memutuskan pemegang amanah wajib bayar ganti rugi kerana rata-rata orang sudah tidak amanah. Tempat masih sama Mekah dan Madinah tetapi masa dan hukuman sudah berbeza kerana wakiq atau realiti yang wujud.

Adakah ini bermakna Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam berdasarkan ijtihad wakiq atau realiti tempatan itu?

Berdasarkan ijtihad realiti yang ada di negara ini.

Kalau diisytihar dibenarkan, dalam 10 tahun Datuk melihat macam mana?

Enakmen kawalan dan sekatan ini tidak ada apa, buang ini sahaja, boleh masuk (Kristian) baliklah.

Kesan kepada akidah orang Islam pula bagaimana, sekiranya enakmen itu dihapuskan dan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam dibenarkan?

Tak ada apa, kalau dakyah mereka sudah merebak masuk - Kristianlah, apa nak buat lagi sebab kita sudah buka. Kita sudah buka pintu, ayam nak masuk makan padi, silakanlah. Kalau kita tutup pintu, kita tak bagi ayam masuk makan padi dalam rumah. Tapi, nampaknya sekarang kita kata tak payah tutup, buka, silakanlah ayam masuk rumah. Kalau dia masuk tak berak, tak makan padi tak apalah, tapi kalau dia masuk, dia makan, berak tanggunglah risikonya itu.

Bagaimana Datuk melihat titah Sultan Selangor bertegas melarang penggunaan kalimah Allah dalam agama lain di negeri berkenaan?

Tadi saya tak sebut, institusi Sultan merupakan institusi yang sudah kita sepakati, yang perlu mendapat penghormatan dan kita pun meletakkan institusi Raja dan Sultan ini Yang Dipertua bagi negeri dan juga melindungi agama Islam.

Semua sama, rakyat melalui wakil rakyat gubal enakmen dan nak lulus menjadi enakmen mesti mendapat tandatangan, perkenan Sultan. Sultan menghormati keputusan yang baginda tanda tangani. Fatwa lahir daripada enakmen dan Sultan pula sudah tandatangan untuk enakmen itu diwartakan, jadi bila dilanggar apa maknanya. Sultan minta rakyat menghormati keputusan rakyat sendiri sebenarnya.

Pada pandangan Datuk apa pendekatan atau tindakan yang boleh diambil untuk mengatasi perkara ini supaya ia tidak terus mencetuskan polemik kerana dibimbangi boleh menggugat perpaduan antara agama dan kaum di negara ini?

Pada saya apa yang kita sudah sepakati kita hormat. Apa yang kita berbeza pendapat kita tolak ansur. Kalau kita tidak boleh melakukan ini bermakna kita masih tidak berjiwa besar. Orang berjiwa besar apa yang disepakati dia terima dan yang tidak, dia boleh tolak ansur. Balik kepada asal tadi, semua ini adalah kehendak rakyat. Adanya institusi kesultanan dan demokrasi berparlimen adalah kehendak rakyat.

Jadi kenapa perkara itu dibangkitkan semula jika sedemikian kedudukannya?

Inilah yang saya hairan, kenapa benda yang tidak sepatutnya dibangkitkan kita, dibangkitkan. Kalau kita nak bincang, perkara yang belum menjadi enakmen, tetapi sekarang sudah menjadi enakmen dan kita ungkit lagi. Ini kita tidak hormat enakmen, kita mengajar rakyat tidak hormat kepada enakmen, nanti enakmen-enakmen lain kalau rakyat tak hormat apa kita rasa? Dan rakyat sendiri pula kenapa tak hormat kepada enakmen yang kita suruh buat? Kita tahulah apa akan jadi, kita sudah nampak dah. Ini kalimah Allah, apa lagi selepas ini? Macam-macam lagi boleh berlaku kalau kita sudah mula, orang kata ‘bila dah lulus jarum luluslah kelindan itu.’

Antara hujahnya, Bible di Sabah, Sarawak sudah guna kalimah Allah?

Pasal dia belum ada enakmen, nak sekat macam mana?

Pada pandangan Datuk, sekiranya tuntutan tersebut dibenarkan, sejauh mana umat Islam boleh mendepani situasi tersebut?

Saya melihat bahawa dalam keadaan ada enakmen kawalan dan sekatan ini pun macam-macam perkara sudah terjadi. Kalau buka tak ada kawalan tak ada sekatan, kita tahu sajalah. Kita sekat dadah tak boleh edar dan sebagainya pun masih berlaku, apatah lagi kalau kita buka. Dalam keadaan ada Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati pun macam-macam orang terus edar, jadi kita boleh bayangkan kalau tidak ada, sebab enakmen atau akta ini adalah untuk mengawal. Kenapa kita tak tanya, kalau lampu merah orang jalan juga tak payah tunggu hijau, kuning, atau tak payah ada lampu isyarat apa akan jadi. Pasal ini menyusahkan tunggu, terpulang terserah, apa akan jadi.

Dalam konteks semasa, apa yang menyebabkan banyak pihak terkilan ialah hujah atau kenyataan-kenyataan daripada pemimpin parti politik tertentu yang mengelirukan?

Dalam agama kita boleh berselisih pendapat dalam perkara yang dibenarkan. Tetapi apabila sudah ada satu keputusan, ketetapan yang dibuat oleh negeri atau negara kita tak boleh lagi (berselisih pendapat). Dalam kaedah apabila kadi sudah memutuskan, kadi di sini ialah kerajaan, apabila kerajaan sudah memutuskan maka tak ada lagi perdebatan, beza-membeza ini.

Sekarang kita sudah ada keputusan iaitu enakmen, fatwa, tak ada lagilah perdebatan. Kalau tidak kita dok buka lagi, mesyuarat, keputusan mesyuarat sudah diambil lepas itu kita bangkitkan lagi, bila nak selesai?

Tak boleh selesai. Sebab itu, kita kena hormat kepada keputusan mesyuarat yang diputuskan oleh DUN, Parlimen. Kalau tidak bila nak selesai? Ini yang menjadi masalah, kalau kita tidak hormat, habislah. Dalam Islam ada kaedah, bila sesuatu yang diputuskan maka tidak ada lagi pertikaian. Bila ada lagi, jadi kacaulah. Memang kacau.

Kalau kita kata pihak keselamatan sudah buat keputusan lampu merah berhenti, hijau jalan, kita pertikai siapa ajar. Yang budak muda-muda hari ini macam itulah yang merah kuning jalan terus, kita dah nampak kekacauan, berlaku merempit sebab dia tak ikut peraturan. Kita marah kepada belia-belia yang tak hormat kepada peraturan tetapi kadang- kadang kita orang dewasa juga terus memberi contoh kepada orang muda dengan tak hormat kepada peraturan.

Harapan Datuk sendiri dalam isu ini?

Saya mengharapkan semua pihak terima apa-apa keputusan yang sudah disepakati ini. Hormatlah kepada institusi-institusi yang ada ini, contohnya, enakmen, hormatlah. Kalau kita rasa sudah tidak relevan kita mansuhkan buat yang lain. Penyelesaian memerlukan kepada jiwa yang besar. Bahkan perbalahan, pertikaian, perpecahan hanya boleh diselesai oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar.

Kita boleh lihat isu perbalahan letak Hajar Aswad di Kaabah, lalu Nabi letak serban dan batu diusung ramai-ramai (oleh pemimpin Arab) selesai masalah. Sebab Nabi berjiwa besar. Orang yang berjiwa besar boleh menyelesaikan masalah-masalah perbalahan ini. Kalau tak ada orang yang berjiwa besar, memang kita akan terus berbalah.

Secara peribadi, Datuk melihat isu ini bagaimana?

Bagi peribadi saya, saya melihat masing- masing hendak mencari advantage (kelebihan) pada pendirian masing-masing, itu sahaja.

Adakah isu ini telah merugikan masa umat Islam?

Betul. Saya pernah melihat di Mesir ada kemalangan dan dikerumuni ratusan orang Mesir. Kawan saya tanya kenapa begitu ramai, macam-macam jawab. Kawan saya jawab mudah sahaja, semua itu penganggur-penganggur tak ada kerja. Kalau dia ada kerja dia tak peduli, mungkin lima enam orang sahaja yang tengok. Kita ini pun barangkali dalam zon selesa, kerja pun tak banyak barangkali, hal-hal umat Islam ini dah beres kot.

Kata Allahyarham bapak Mohd. Nasir, umat Islam di Malaysia jangan tiru kami di Indonesia yang sudah tidak lagi mampu berpecah kerana sudah terlalu pecah. Satu lagi kata dia, orang Islam ini kalau dia ada musuh dia akan bersatu, tapi kalau tak ada musuh, dia cetuskan permusuhan sesama sendiri. Hobi umat Islam mutakhir ini.