Walaupun tempoh rakaman kejadian tersebut tidak panjang, penulis pasti mangsa mengalami kesakitan yang amat akibat tendangan curi sehingga menyebabkan dia jatuh terduduk. Mujurlah dia tidak tergolek jatuh yang sudah tentu akan mendatangkan pelbagai kecederaan lain. ­Bayangkanlah kalau mangsa yang ditendang itu ialah seorang wanita mengandung atau seorang warga emas atau seorang kanak-kanak. Kesan kecederaan sudah tentu lebih parah.

Tidak sampai seminggu, lelaki yang melakukan ‘tendangan bacul’ itu sudah dapat ditangkap - terima kasih kepada pihak polis dan kecanggihan teknologi serta keberkesanan media sosial yang pantas menularkan insiden ber­kenaan. Insiden itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang ramai terutama netizen. Rata-rata mengutuk perbuatan tidak berhati perut itu apatah lagi dilakukan ke atas seorang wanita. Mereka mahu si pelaku ditangkap dan dikenakan hukuman berat.

Apa yang mengejutkan berdasarkan siasatan polis, lelaki yang ditahan itu ada beberapa kes jenayah lampau. Dua daripada­nya adalah kes yang sama iaitu melakukan ‘tendangan bacul.’ Dia pernah dihukum penjara selama tiga bulan pada Julai tahun lalu. Bagaimanapun seperti kata dua peribahasa Melayu, ekor anjing berapa kali dilurut pun tidak akan lurus dan anjing kalau dah biasa makan tahi, tak dimakannya tapi dihidu juga, bekas banduan itu mengulangi perbuatan yang sama. Entah apa dendam kesumat yang sedang membara di lubuk hati, kakitangan Bank Negara sekali lagi menjadi sasaran. Dalam kes pertama sebelum itu, mangsanya adalah kakita­ngan daripada agensi yang sama.

Kes-kes jenayah berpunca da­ripada gangguan mental ba­nyak kali berlaku dan sangat membimbangkan lebih-lebih lagi yang melibatkan pembunuhan kejam atau kecederaan parah. Ada kes anak memukul kepala ibu bapa sehingga parah dan mendatangkan maut. Ada juga kes pesakit mental mengelar leher, me­nyembelih dan memotong anggota badan ahli keluarga sendiri. Kejadian ngeri sebegini amat menakutkan kerana berlaku saban tahun dan tidak dapat di­jangka. Ada antara kes tersebut dilakukan oleh seorang ‘anak yang baik’ menurut kaum keluarga dan masyarakat setempat.

Bagaimanapun berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 sudah menunjukkan trend masalah mental di negara ini sedang berkembang. Menurut kajian tersebut, lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 29.2 peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental.

Ini adalah peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sendiri pernah mengeluarkan statistik menunjukkan seorang dalam kalangan tiga penduduk di negara ini mempunyai masalah berkait rapat dengan isu mental.

Punca kepada masalah ini ada bermacam-macam dan berkait rapat dengan faktor kewangan, pengangguran, tekanan kerja dan masalah keluarga seperti perceraian. Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan tekanan perasaan bakal menggantikan penyakit kar­diovaskular sebagai faktor penentu utama sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus bekerja atau tidak.

Kes-kes ‘mental’ seumpama itu sekiranya terus berkembang tanpa sebarang kawalan, dibimbangi menjadi ancaman baharu kepada persekitaran kehidupan orang ramai. Lebih membimbangkan penyakit mental dijangka menjadi penyakit tertinggi kedua di negara ini menjelang tahun 2020. Orang ramai sudah tidak merasa selamat lagi. Kalau sebelum ini mereka diancam dengan pelbagai jenis jenayah termasuk kes ragut, jenayah yang disebabkan oleh pesakit mental boleh menjadi satu lagi bentuk jenayah terbaharu yang menambahkan tekanan kepada kehidupan seharian.

Walaupun semalam di Mah­kamah Majistret, lelaki itu sudah mengaku salah dan dipenjara setahun serta denda RM1,500, hukuman ini tidak dapat meredakan kebimbangan ramai terhadap pesalah ala psikopat ini. Melihat kepada kesalahan berulang yang dilakukannya, bekas banduan ini jelas ‘mental’ dan sangat tidak selamat kepada orang awam. Dia pada bila-bila masa sahaja selepas dibebaskan nanti boleh me­nyerang lagi!