Kesemua individu terbabit termasuk empat wanita dilaporkan ditahan SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ma­sing-masing di Pendang, Kedah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta di Puchong, Seri Kembangan, Kapar dan Hulu Langat, Selangor.

Kes ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua terutama­nya pengguna media sosial kerana penyebaran maklumat tidak sahih seperti ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

Ini kerana umat Islam cukup sensitif tentang halal haram dalam aspek pemakanan seperti membabitkan daging babi.

Menurut pihak SKMM, ­kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Malah dikatakan SKMM juga telah mengenal pasti lapan lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam menularkan maklumat palsu yang sama di laman sosial Facebook dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.

Banyak yang boleh kita belajar dan ambil iktibar daripada kes ini. Antaranya sebagai pengguna laman sosial jangan sesekali percaya apa yang kita baca apatah lagi ja­ngan sepantas kilat pula berkongsi dan menularkan perkara tersebut untuk tatapan orang lain.

Di samping itu, apa yang pen­ting di sini kita perlu semak dan pastikan maklumat yang diterima itu adalah betul dan sahih sebelum menularkannya.

Ini kerana terdapat segelintir masyarakat kita yang begitu mudah terpedaya, taksub dan percaya dengan apa saja yang mereka baca dalam laman sosial. Mereka begitu yakin bahawa semua maklumat, data mahupun video yang diterima itu adalah benar.

Situasi ini akhirnya mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat seperti dalam kes daging babi ini apabila ramai yang mula tertanya-tanya apakah mereka telah menjadi ­mangsa keadaan dan termakan daging yang dikatakan tercampur tersebut.

Walaupun pihak berkuasa menafikan kejadian ini namun ter­nyata kuasa penularan di laman sosial mengatasi kebenaran yang hakiki. Akhirnya ramai yang tidak dapat mengawal emosi sehingga menuduh pihak berkuasa tidak menjalankan tugas dan cuai.

Dalam konteks ini pengguna laman sosial perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka. Walaupun akaun laman sosial adalah milik dan hak ­peribadi masing-masing tetapi harus diingatkan selagi mana boleh dibaca oleh orang lain ataupun kita berkongsi dan menularkan sesuatu maklumat untuk tatapan orang lain ini sudah dikira menjadi milik umum dan segala kesalahan kita boleh diambil tindakan yang sewajar­nya oleh pihak berkuasa.

Secara umumnya laman sosial perlu dilihat sebagai satu kemudahan untuk membantu kita mendapatkan pelbagai informasi terkini dengan cepat dan pantas, membina hubungan rangkaian yang bermanfaat seperti untuk tujuan perniagaan serta merapatkan hubungan persahabatan mahupun kekeluargaan.

Jadi jangan salah guna laman sosial sehingga mencetuskan ­ketegangan dalam masyarakat dan akhirnya menjadi mangsa buruan pihak berkuasa.

Ini adalah tindakan yang amat tidak berbaloi dan cukup ­merugikan sekali kerana boleh menyebabkan pelaku meringkuk di penjara.

Penulis yakin kebanyakan daripada masalah ini muncul apabila adanya keinginan dalam kala­ngan pengguna media sosial yang berlumba-lumba mahu menjadi wartawan ekspres iaitu meraih populariti sebagai individu pertama yang melaporkannya ataupun menyebarkannya untuk perhatian khalayak.

Ringkasnya, mereka mahu menjadi orang pertama yang menyebarkan sesuatu maklumat walaupun maklumat itu belum tentu betul dan sahih.

Malah ramai juga yang berani dan sanggup menyebarkan pelbagai gambar mahupun video yang sensitif hanya kerana mahu popular.

Sikap mencari publisiti murahan seperti ini akhirnya mengelirukan orang lain dan juga menyusahkan diri sendiri.

Malah untuk rekod, ini bukanlah kes pertama seumpama ini, sebelum ini sudah terlalu banyak kes penularan maklumat palsu dibongkar oleh pihak berkuasa dan ramai juga yang telah diambil tindakan undang-undang.

Hakikatnya, tidak semua perkara perlu dikongsi untuk pe­ngetahuan umum apatah lagi jika membabitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan anggota masyarakat.

Ingat pihak berkuasa juga sentiasa memantau. Tiada alasan klise boleh diberikan ­seperti akaun palsu ataupun ada orang lain menggodam akaun media sosial milik mereka kerana pihak SKMM boleh mengesahkannya.

Perlu diingatkan sekali kita tekan butang kongsi tidak mungkin dapat berpatah balik kerana ia akan tular dan dikongsi pula oleh orang lain dengan sepantas kilat. Semoga semua pihak dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini dan menjadi pengguna media sosial yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).