Landskap negara kita sudah berubah sekian lama. Jika pada awal tahun 80-an, di mana-mana pun jumlah mereka boleh dikira dengan jari tetapi lama-kelamaan jumlah itu bertambah dan bersesak di sesetengah negeri dan kawasan.

Di negeri maju seperti Selangor dengan peluang pekerjaan yang begitu banyak, maka jumlah mereka dari semasa ke semasa kian meningkat. Peluang pekerjaan yang dikatakan sesuai dengan kemahiran mereka menjadikan mereka mudah diterima oleh majikan.

Mereka memang dikehendaki untuk membantu meme­nuhi pelbagai jenis pekerjaan dan memajukan pelbagai sektor walaupun dari sudut yang lain ia dikatakan telah menyempitkan peluang pekerjaan penduduk tempatan kerana kerja-kerja yang kian dikuasai oleh warga asing.

Apa pun, kita berharap kemasukan dan keberadaan PATI di negara ini dapat dibendung supaya jumlah yang berstatus tidak sah ini dapat dikurang atau dihapuskan terus.

Oleh itu, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah kawalan rapi di pintu masuk negara termasuklah kawasan perairan negara yang turut menjadi jalan utama me­reka menyusup masuk ke Malaysia.

Justeru, selain pihak ber­kuasa, penduduk yang tinggal di pesisiran pantai termasuk nelayan tempatan mesti be­kerjasama dengan melaporkan sebarang pendaratan yang mencurigakan.

Kita juga bersyukur kerana operasi bersepadu dijalankan untuk mengesan PATI di negara ini. Serbuan demi serbuan serta tangkapan demi tang­kapan dibuat selepas dilakukan intipan oleh pihak berkuasa termasuk bantuan orang ramai yang membuat laporan.

Kita berharap operasi ini dilakukan secara berterusan dengan pelbagai pendekatan. Kerjasama orang ramai juga diharap berterusan. Dalam pada itu, kita sangat berharap agar tidak berlaku ketirisan dalam menangani masalah pekerja ­asing yang memasuki negara ini.

Membuka peluang mereka masuk ke negara ini dengan cara tidak sah demi mengaut keuntungan bersifat peribadi akan menyukarkan keadaan.

Di samping itu, negara akan menghadapi penyusutan pendapatan tetapi kekayaan itu diperoleh oleh individu mahupun sindiket-sindiket tertentu yang mengendalikan kemasukan pekerja asing secara tidak sah.

Kerjasama orang ramai sangat penting demi mengurangkan keberadaan PATI di negara ini. Kepekaan mereka me­ngenal pasti pekerja asing yang sah dan tidak sah akan membantu meringankan bebanan pihak berkuasa. Mereka mesti menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Mereka tidak boleh bersekongkol dengan golongan yang sebenarnya tidak boleh berada di negara kita.

Kesan-kesan negatif kemasukan PATI sudah diketahui umum. Oleh itu, sudah sewajarnya semua pihak berusaha menangani masalah ini supaya keadaan terkawal dan tidak membimbangkan pelbagai pihak.