Di antara hukum yang khusus bagi wanita adalah berkaitan pakaian iaitu aurat yang menutupi seluruh tubuh wanita. Aturan ini berbeza dengan kaum lelaki. Allah memerintahkan demikian agar mereka dapat selamat daripada gangguan dan fitnah kaum lelaki.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Ahzab: 59)

Sebab itu, amat malang dan amat mendukacitakan apabila ada segelintir umat Islam yang dengan ‘bangga’ berkongsi ‘hijrah’ mereka daripada ‘cahaya kepada kegelapan’. Ia sebagaimana ketika program Maryam Lee Abdullah melancarkan bukunya Unveiling Choice yang disusuli forum membincangkan isu perkongsian pengalaman perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung di pejabat sebuah penerbit di Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan mereka sedang menyiasat pelancaran buku dan forum membincangkan kenapa terdapat wanita Islam memilih membuka tudung kata Pengarahnya, Datuk Haris Kasim.

Dalam Islam, menutup aurat itu adalah wajib bagi lelaki dan perempuan. Dari segi bahasa, aurat bermaksud keaiban dan dari segi istilah syarak ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup. Jadi, aurat bermaksud bahagian-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan itu dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu (apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).

Bagi yang membaca sejarah Islam dan meneliti kedudukan wanita dalam syarak pasti akan sedar betapa mulia­nya kaum hawa ini di sisi Islam.

Dengan itu, tidak akan terpedaya dengan dakyah para orientalis Barat dan juga mereka yang tidak faham mengenai Islam mendakwa bahawa Islam adalah agama yang kolot yang memenjarakan serta mengikat kebebasan wanita dan tempat wanita hanya di rumah.

Tidak mahu patuh kepada suruhan Allah termasuk dalam bab menutup aurat ini sudah pun berdosa. Lebih parah, apabila berkongsi pengalaman bagaimana daripada seorang yang bertudung kepada ‘free hair’.

Yang dibimbangkan, kita turut terpalit dosa jika orang lain terpengaruh dan bertindak membuka tudung hasil ‘tarbiyah’ yang disampaikan. Ini yang disabdakan oleh Rasulullah SAW daripada Jarir yang bermaksud: ...Dan barang siapa yang buat satu ikutan yang jahat lalu diikuti, maka baginya dosa dan dosa yang serupa bagi yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sedikit pun. (Riwayat al-Tirmizi)

Soalnya, mampukah kita menanggung dosa orang lain sedangkan dosa sendiri pun amat banyak dan tidak tertanggung. Berapa kuat diri kita hingga mahu mengingkari hukum Allah dan mengajak orang lain turut sama. Kebalkah kita daripada bakaran api neraka Allah yang dijanjikan sebagai balasan siksa ke atas setiap dosa yang kita lakukan? Sebabnya, seringan-ringan seksaan api neraka adalah menggelegak otak mereka.

Ini dijelaskan dari Nu’man Bin Basyir r.a: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya seringan-ringan seksaan penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang diletakkan di bawah dua telapak kakinya bara api neraka sehingga mendidih otak yang ada di kepalanya (dengan sebab panasnya kedua bara api neraka tersebut) dia mengira tidak ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan seksaannya. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Lebih membimbangkan adalah kenyataan yang dinukilkan di laman Mufti Wilayah yang menyebutkan: Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah berkata: “Jika seorang Muslim mengingkari suatu hukum syarak yang sudah disepakati ke atasnya dan mudah diketahuinya dalam agama, maka dia sudah kafir”. [Rujuk al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/233)].