Tan Sri Dr. Rais Yatim
Tan Sri Dr. Rais Yatim

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, Rais yang juga pengerusi untuk Kongres Budaya 2017 yang bakal berlangsung 15 April depan, bercakap mengenai peranan guru dan Sultan dalam soal itu. 
Beliau sedar apa yang dibangkitkan itu suatu yang ‘melukakan’. Tetapi luahan itu harus diketengahkan juga demi kebaikan dan kemajuan bahasa Melayu itu sendiri.

UTUSAN: Sebelum kita mulakan bicara ini, boleh Tan Sri tekankan mengapa Kongres Budaya 2017 ini penting?

RAIS: Sebab diadakan Kongres Budaya 2017 ini ialah kerana, pertamanya, cara hidup orang Me­layu sudah banyak meninggalkan nilai-nilai positif kemelayuan dan kemalaysiaan atau sifat-sifat Malaysia yang am dan khusus. Yang tertinggal ialah norma-norma positif kehidupan kita lampau yang sudah dilupai.

Yang kedua, kita begitu ghairah menyedut semua berbau barat menerusi istilah kemajuan dunia. Ketiga, kita sudah melupai bahagian-bahagian asas perlembagaan berkaitan ke­melayuan, keislaman dan adat istiadat.

Tiga sebab ini adalah sebab utama. Ceraian-ceraian lain pula disebabkan oleh pendidikan negara tidak utamakan budi iaitu asas kehidupan masyarakat Nusantara khasnya orang Melayu. Pendidikan ta­nah air kita juga langsung tidak fikirkan kandu­ngan tempatan yang menjelmakan identiti masyarakat utama.

Dari situ ada tiga asas besar dan dua sebab kecil. Maka, saya sebagai Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berbincang dengan Perdana Menteri minta beliau restui usaha kita iaitu satu kumpulan yang meliputi badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan bukan Melayu yang berkaitan dengan budaya. Dan beliau bersetuju supaya Kongres Budaya 2017 diadakan sementelahan pula Kongres Kebudayaan pertama diadakan pada 1971 dan dirasmikan ayah­andanya (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein). Jadi, saya ingin­ dapatkan imbasan sejarah itu kembali dengan meminta Datuk Seri Najib fikirkan masa depan dahan budaya utama negara iaitu budaya Melayu.

UTUSAN: Tidak suntukkah untuk dianjurkan satu majlis besar dan penting seperti ini?

Memang singkat tetapi kita sudah dapat bahan-bahan dan asas tadi untuk dibincangkan dalam pelbagai jurusan. Kami tidak mahu panggil bengkel ini, bengkel itu. Tetapi semua badan NGO yang asasnya budaya atau cara hidup boleh kemukakan kepada Kongres ini menerusi sekretariatnya. Atau alamatkan kepada saya sebagai Pengerusi Kongres Budaya 2017. Pada 15 April nanti, masing-ma­sing boleh rumuskan melalui jurucakap masing-masing.

UTUSAN: Benarkah penghayatan terhadap bahasa Melayu sudah lenyap dari jiwa orang Melayu?

Saya mesti tegaskan iaitu sekarang orang Melayu sudah hilang budaya dan warisannya. Ini bererti mereka sudah hilang bahasanya. Tidak lagi berbahasa Melayu seperti diperkenalkan melalui lunas bahasa dan nahu Melayu. Orang Melayu sudah hilang tenaga persuratkhabaran mereka. Orang Melayu sudah hilang daya cipta dalam masyarakat. Melayu sudah hilang dengan kebanyakan individunya menjadi pak turut budaya barat, waima kita mempunyai dasar-dasar Islam yang kukuh. Tanpa Islam difikirkan perkara ini (Kongres Budaya 2017) tidak boleh jadi, maka aspek Islam kita akan bincang juga sebagai lunas dan urat tunjang Kongres Budaya 2017 yang bakal diadakan 15 April depan dan bagaimana lunas cara hidup Melayu disimpulkan.

UTUSAN: Generasi Y, ada ruang ke dalam Kongres ini?

Ya, kita mohon generasi Y bahawa mereka mempunyai peluang yang cukup untuk kemukakan pandangan dan apa yang perlu dilakukan. Lihat cara-cara orientasi Transformasi Nasional 2050 (TN50). Dan boleh dikatakan politik Melayu sekarang dalam keadaan paling ­cacamarba. Perpecahan tidak ada tolok ban­dingnya berbanding sebelum ini. Tak pernah ada konflik antara bekas Perdana Menteri dengan Perdana Menteri yang sedang berkuasa. Tak pernah berlaku sebelum ini tetapi sudah berlaku. Ini menunjukkan kemungkinan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah, soal-soal kemelayuan ini hanya diucapkan tetapi tidak diterjemahkan sebagai bimbingan. Saya harap ini tidak diteruskan dalam TN50.

Kami dalam jawatankuasa induk ingin tularkan supaya TN50 wajib mengandungi unsur-unsur pembudayaan yang jelas untuk menyusun sifat-sifat kemela­yuan kita dengan satu ketinggian supaya masyarakat lain dapat mengimbas dan beri pengertian tentang kehebatan budaya Me­layu.

UTUSAN: Jadi, apa yang TN50 harus terapkan dalam memperkasa bahasa Melayu?

Dalam kepompong perjuang­an ini, TN50 mesti jelas tunjukkan hendak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagang­an. Dan kita tidak perlu apologetik kononnya kita boleh tinggalkan bahasa Melayu dan hanya boleh guna untuk komunikasi. Jika praktikkan hujah ini, kita akan mati dalam gelombang ras dan masyarakat dunia.

Bahasa Inggeris memang perlu tetapi bahasa Melayu mesti nampak dipupuk sebagai bahasa Me­layu. Universiti perlu ada kemela­yuan yang kuat. Begitu juga latihan guru-guru tentang peri pentingnya budaya Melayu diajar melalui guru. Sekarang guru tidak ajar soal itu, jadi siapa yang belajar? Ini soal yang amat berat.

UTUSAN: Bagaimana pula dengan peranan negeri dalam perjuangan bahasa Melayu ini?

Semua perlembagaan negeri beri kuasa kepada Melayu menjadi Menteri Besar. Jadi, dengan itu semua negeri yang diperintah melalui sistem kesultanan mempunyai Islam, bahasa Melayu dan adat sebagai pancangnya. Tetapi tiga ini tidak berjalan. Oleh itu, Kongres Budaya 2017 juga akan lunaskan supaya para sultan memainkan peranan dalam memupuk semula budaya Melayu yang di dalamnya terkandung adat Melayu.