Sebaliknya, perkataan yang buruk ibarat pohon yang tidak berguna, akarnya tercabut dari tanah dan tiada tapak baginya untuk terus tumbuh serta hidup. Perbandingan bermakna daripada al-Quran ini dikukuhkan de­ngan gesaan agar setiap insan sentiasa menuturkan perkataan yang baik (Surah al-Baqarah, ayat 83) dan mengelakkan daripada membicarakan perkara sebalik­nya (Surah al-Nisa’, ayat 148).

Kita dapat melihat sebagai contoh, Surah al-Hujurat sarat mengandungi larangan tertentu berkaitan tutur kata, bicara, dan kalimah yang dilafazkan. Lara­ngan tersebut merangkumi mencemuh, merendah-rendahkan, mempersenda, menghina, mengaibkan, memberikan gelaran buruk atau mengejek, mendedahkan kesalahan, dan mengumpat.

Kesemua larangan ini bertujuan memelihara hubungan dalam sesebuah kumpulan, organisasi, dan masyarakat. Gesaan dan larangan al-Quran diteguhkan lagi oleh hadis Nabi SAW yang menekankan kepentingan dan kebaikan memelihara tutur kata.

Jelas penekanan dan larangan berhubung dengan bicara, ia bukan semata-mata hak atau kebebasan yang dimiliki tanpa dipikulkan tanggungjawab tertentu. Dengan kata lain, tiada pihak yang memiliki kebebasan untuk bersua­ra dan memberikan pandangan secara mutlak. Kebebasan bersuara perlu dikawal dan dibataskan. Setiap individu perlu mengambil kira dan bertanggungjawab atas tindakannya terhadap pihak lain. Batasan bagi kebebasan bersuara bukanlah perkara baharu.

Kini sudah pun wujud undang-undang di negara-negara di dunia yang melarang ucapan kebencian (hate speech), fitnah (libel and defamation), dan Undang-Undang tentang Penafian Holocaust (Law against Holocaust Denial). Undang-undang yang diperuntukkan di 16 buah negara Eropah dan Israel ini menjadikan penafian terhadap pembunuhan (genosid) kira-kira enam juta bangsa Yahudi di Eropah secara sistematik oleh tentera Nazi Jerman pada tahun-tahun 1930-an dan 40-an sebagai suatu kesalahan.

Pada peringkat tempatan, kebebasan bersuara dan bercakap diperuntukkan melalui Perkara 10 1(a) Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, segelintir pihak memanfaatkan peruntukan ini dengan sewenang-wenangnya.

Tidak dipamerkan kesedaran untuk mengimbanginya dengan tanggungjawab agar tidak meng­akibatkan kesan buruk terhadap individu, kumpulan atau kelompok tertentu, institusi, bahkan juga negara. Perlu disedari bahawa kebebasan yang diperuntukkan oleh Perkara 10 1(a) diimbangi oleh sekatan atau batasan yang diperuntukkan melalui peruntukan-peruntukan lain.

Perkara 10 (2) misalnya me­netapkan bahawa Parlimen boleh mengadakan undang-undang bagi mewujudkan sekatan yang didapati perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan, perhubungan persahabatan dengan negara luar, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan badan legislatif atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah atau perbuatan menghasut untuk melakukan sesuatu ke­salahan. Hal ini menunjukkan bahawa di samping kebebasan, undang-undang turut melin­dungi kehormatan dan nama baik. Jelas bahawa kedua-dua bentuk hak yang penting itu diseimbangkan oleh undang-undang.

Di samping itu, batasan atau sekatan juga dikenakan terhadap anggota masyarakat negara ini dalam bersuara dan menyatakan pandangan turut terkandung dalam beberapa undang-undang yang digubal oleh Parlimen. Antaranya termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957, Akta Me­sin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Kanun Keseksaan (Akta 574). Dari sudut hukumannya pula, sebagai contoh Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya.

Kebebasan bersuara, berucap, dan mengemukakan buah fikiran kini dilihat semakin luas dengan perubahan besar yang berlaku dalam negara. Namun demikian, semangat keterbukaan yang diamalkan juga kian menimbulkan keresahan sebahagian besar rak­yat negara ini.

Harus diingatkan perbuatan tidak menghormati pendirian, pegangan dan amalan golongan terbanyak yang sudah sebati, adalah salah satu bentuk provokasi. Provokasi pula sebagaimana disedari umum hanya akhirnya kelak menimbulkan kebencian serta kemarahan.

Peringatan perlu diberikan kepada rakyat umumnya bahawa kebebasan yang dimiliki kekal bersyarat dan bersempadan. Ia tertakluk pada ajaran agama yang dijunjung Perlembagaan. Tidak juga sekali-kali menodai kecintaan dan kesetiaan kepada raja serta negara. Pun tidak sama sekali mencemari halusnya budi bahasa dan indahnya tatasusila seluruh rakyat umumnya. Selain itu, pihak kepemimpinan negara juga wajar menunjukkan soko­ngan padu terhadap program-program ilmiah yang dilaksanakan berasaskan hasrat yang tulen, tanpa kepentingan tertentu termasuklah politik.

Inilah antara usaha yang dilaksanakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak awal penubuhannya. Program-program yang dijalankan disasarkan untuk memberikan kefahaman berkaitan ajaran Islam yang tepat dan berkesan melalui kaedah semasa yang bersesuaian.

Kefahaman yang benar akan membuahkan kesedaran, persetujuan bersama dan kesepakatan yang selanjutnya menghasilkan keharmonian serta kestabilan. Semua elemen pen­ting inilah yang akan memboleh­kan negara terus teguh, berdaya maju serta mampu mendepani ujian zaman yang semakin mencabar.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).