Hal ini disebabkan kejadian berlaku ketika sesi perseko­lahan akan bermula dan kejadian membabitkan tiga beradik antara 6 hingga 10 tahun. Amat menyedihkan kerana ibu bapa mereka sudah melengkapkan persiapan persekolahan bagi ketiga-tiga beradik malang itu. Mereka juga kehilangan tiga orang anak dalam sekelip mata sahaja.

Banyak kejadian lemas berlaku di Pantai Timur terutama­nya apabila musim tengkujuh bermula. Kejadian lemas pernah berlaku di Pantai Teluk Kalong, Kemaman; Pantai Senok, Bachok, Kelantan dan beberapa kes lagi di tempat-tempat lain. Malah arahan memberhentikan aktiviti melibatkan pantai dan laut dikeluarkan pada musim tengkujuh sehingga Mac nanti kerana keadaan laut berbahaya kepada semua aktiviti.

Ini termasuklah aktiviti memancing, berkelah, berhemah dan sebagainya yang boleh mengundang bahaya. Malah tindakan kanak-kanak yang masih mentah dalam soal-soal kerenah laut perlu diberi perhatian dan dipantau oleh pihak tertentu agar tidak membawa bahaya.

Dalam soal ini, apa yang penting adalah menjadi tanggungjawab keluarga memantau anak-anak pada musim tengkujuh agar tidak mendekati laut, sungai dan tempat-tempat yang mempunyai air yang dalam termasuklah kolam dan tasik. Oleh sebab anak-anak kecil sangat teruja dengan air kerana hendak berenang, mereka tidak begitu memahami bahaya yang ada di sebaliknya.

Kelekaan ibu bapa dalam soal ini akan mengundang padah kerana ada sesetengah anak yang seolah-olah lupa bahaya laut, tidak memahami situasi di sekeliling terutamanya kemungkinan datangnya ombak besar dan sebagainya.

Penduduk yang tinggal di persekitaran pantai juga mesti peka terhadap bahaya laut walaupun mereka dikatakan sudah ‘masak’ dengan kerenah laut. Oleh itu, demi keselamatan, pemantauan ke atas anak-anak tidak boleh dipandang remeh.

Papan tanda amaran mesti diletakkan di tempat-tempat bahaya untuk kegiatan laut dan pantai agar orang ramai mematuhi dan memahami bahaya kawasan-kawasan tertentu.

Rondaan di kawasan perairan pantai mesti dilakukan oleh pihak berkuasa agar dapat mengekang aktiviti di sekitar pantai yang masih dijalankan oleh orang ramai, apatah lagi pada waktu-waktu yang tidak dibenarkan.

Pengawal di kawasan pantai perlu diadakan dan ditambah jumlahnya agar dapat mengawasi orang ramai me­nurut peraturan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agar tidak mendekati laut ketika musim tengkujuh. Keadaan ini akan dapat mengelak sebarang kemung­kinan buruk berlaku ke atas pengunjung yang masih mahu menjadikan pantai sebagai tempat melihat keindahan dan beriadah.

Media massa mesti menyiarkan iklan agar memberi pendidikan kepada orang ramai tentang bahaya laut dan kawasan pantai pada waktu-waktu tertentu. Media juga mesti mengalih perhatian orang ramai agar melancong di kawasan-kawasan lain yang jauh daripada bahaya.

Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang lagi. Sama-samalah kita berganding mahu menangani masalah ini agar tidak menjadi lebih serius.