Sepanjang tempoh 12 bulan itu, anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini telah berjaya meletakkan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang 'mesra rakyat, dan digeruni perasuah’.

Dilihat berpegang kepada prinsip 'bukan sekadar amaran’, Dzulkifli memastikan agensi itu melakukan pelbagai tindakan bagi memerangi amalan rasuah dan salah guna kuasa. Tiada yang terselamat atau terlepas, yang terlibat pasti diburu 'biarpun ke lubang cacing’.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKI FLEE BAKAR, penjawat awam berusia 49 tahun ini menegaskan, perjuangan masih panjang dan banyak lagi yang perlu dilakukan demi memastikan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) yang
dicetuskan oleh beliau mencapai matlamatnya.

 

MINGGUAN: Sepanjang tempoh setahun di SPRM, apakah cabaran yang terpaksa ditempuh oleh Datuk bagi membanteras rasuah?

DZULKIFLI: Ketika mula-mula memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya menyedari amanah yang hadir bersama tanggungjawab amat berat bebannya. Saya juga menyedari cabarannya pasti getir dan akan datang dalam pelbagai bentuk.

Namun begitu Alhamdulillah, segala cabaran yang saya anggap adat dan lumrah dapat dihadapi serta ditangani dengan lebih tenang berkat hidayah daripada Allah SWT, disulami sokongan dan dokongan daripada teman-teman seperjuangan di SPRM, rakan-rakan lain dan juga ahli masyarakat secara keseluruhannya.

Pada saya, cabaran dari sudut pelaksanaan tugas itu adalah lazim dan dijangkakan, namun apa yang lebih penting kemampuan dan kebebasan bagi saya dan rakan-rakan di SPRM melaksanakan tugas tidak pernah dibatasi oleh apa jua bentuk cabaran.

Apakah Datuk berpuas hati dengan apa yang dilakukan setakat ini?

DZULKIFLI: Pada peringkat awal saya mempunyai visi dan cita-cita cukup tinggi untuk memastikan menjelang tahun 2020 negara kita bersedia menjadi sebuah negara maju yang masyarakatnya bersih dan bebas daripada belenggu jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Bagi mencapai visi itu, saya memberikan penekanan dan fokus kepada ‘pembersihan’ sektor perkhidmatan awam, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan institusi kewangan serta perbankan. Itu dari sudut operasi dan pencegahan.

Dari sudut pendidikan masya­rakat, saya memberi keutamaan kepada society engagement dengan begitu meluas dan agresif kerana tugas ini juga merupakan salah satu cabang yang termaktub di bawah Akta SPRM 2009.

Kesemua cabang tugas operasi, pencegahan dan pendidikan masyarakat ini telah saya gerakkan secara selari, konsisten dan penuh keikhlasan. Ia semata-mata bagi memastikan SPRM dilihat hidup, bernafas seudara dan tidak out of touch dengan kehendak serta harapan rakyat.

Mungkin inilah yang menarik perhatian rakyat kepada SPRM. Ia kemudiannya diterjemahkan pula dalam bentuk peningkatan sokongan, keyakinan dan imej SPRM. Alhamdulillah, memang inilah yang ingin saya tampilkan iaitu imej ‘SPRM yang bukan sahaja mesra rakyat malah disayangi masyarakat’, tetapi pada masa yang sama ‘digeruni perasuah’.

Dalam pertemuan dengan pelbagai lapisan masyarakat, saya mendapat maklum balas secara langsung bahawa segala tindakan dan pendekatan oleh SPRM kini bukan sahaja dirasai malah dihargai masyarakat.

Namun saya sering mengingatkan diri dan teman-teman di SPRM bahawa di dalam sebuah perjuangan bagi mengubah kehidupan dan pemikiran masyarakat kita tidak boleh pantas berpuas hati kerana perjuangan ini tidak pernah ada titik noktahnya.

Ia memandangkan perjuangan melibatkan peradaban manusia seperti isu rasuah dan salah guna kuasa merupakan satu perjalanan berterusan, senantiasa diperkemas dan diperbaiki mengikut keperluan serta landskap masyarakat agar kepentingan, kebajikan serta hak-hak rakyat senantiasa dipelihara dan dilindungi.

Berbanding ketua-ketua pesuruhjaya sebelum ini, Datuk dilihat secara agresif turun bertemu orang ramai, kenapa Datuk lakukan perkara itu?

DZULKIFLI: Saya sering mengingatkan diri saya serta rakan-rakan, kita di SPRM tidak boleh mendabik dada dan terputus hubungan dengan rakyat. Ini kerana SPRM adalah sebuah agensi yang ditubuhkan semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat.

Di sebalik uniform yang dipakai oleh kami, warga SPRM adalah manusia biasa yang perlu senantiasa menyantuni, mendekati dan menghormati rakyat. Oleh itu setiap tindakan serta tugas yang dilaksanakan SPRM sama ada dari sudut operasi, pencegahan, apatah lagi pendidikan perlulah mengutama dan berpaksi kepentingan serta kebajikan rakyat.

Ini kerana saya berhasrat menampilkan imej ‘SPRM yang bukan sahaja mesra rakyat malah disayangi masyarakat’ dan dilihat sebagai sebahagian ahli keluarga mereka. Jika ini mahu diwujudkan maka tidak ada salahnya dan tidak ada peliknya bagi saya, seorang Ketua Pesuruhjaya merendah diri turun bertemu masyarakat.

Ini bagi membolehkan saya menyatakan keikhlasan dan keinginan berkhidmat kepada rakyat secara langsung melalui pertemuan empat mata, mendengar keluh kesah, menelusuri dan memahami kepayahan hidup mereka.

Dan tidak ada salah dan tidak ada yang luar biasanya bagi saya turun bertemu rakyat, apatah lagi apabila tugas memberikan kefahaman kepada mereka mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa serta usaha mendapat sokongan rakyat dalam mencegah dan membanteras rasuah merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang dituntut secara jelas di dalam Akta SPRM 2009.

Dengan turun bertemu rakyat, saya yakin mereka akan lebih menyakini, mempercayai dan menyayangi SPRM. Jika itu berjaya dilakukan, sudah tentu sokongan dan dokongan rakyat terhadap SPRM akan meningkat dan diperkukuhkan.

Adalah mustahil bagi SPRM memerangi rasuah dan salah guna kuasa secara sendirian tanpa wujudnya sokongan dan dokongan daripada rakyat di segenap lapisan. Saya amat yakin kehadiran kami di sisi masyarakat lebih disenangi dan lebih mudah diterima kerana mereka telah melihat tindakan SPRM yang agresif dari sudut operasi dan siasatan.

Masyarakat menyedari SPRM ketika ini benar-benar serius dan tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu melibatkan perlakuan rasuah serta salah guna kuasa. Kita juga akan memastikan kepentingan serta hak rakyat dipelihara dan dilindungi.

Tetapi tindakan yang dilakukan oleh Datuk dianggap mahu menarik perhatian media sehingga ada pemimpin pembangkang bertanya Datuk mahu menjadi ahli politik atau selebriti?

DZULKIFLI: Sebenarnya komen dan pandangan sebegini benar-benar mencuit hati saya kerana jelas sekali mereka yang bertanyakan demikian tidak memahami apa yang perlu dilakukan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Barangkali juga pihak-pihak terpencil ini berasa kedudukan politik dan fungsi mereka sebagai ahli politik seperti tergugat serta tidak diperlukan.

Saya ingin menyatakan sejelas-jelasnya bahawa saya adalah seorang penjawat awam. Saya bertugas semata-mata untuk rakyat dan demi rakyat. Ini sangat istimewa kerana setiap tindakan saya tidak akan dan tidak perlu dikaburi dengan sebarang perkiraan atau agenda politik sekiranya dibandingkan dengan suara-suara terpencil ini.

Tindakan operasi dan siasatan oleh SPRM semata-mata untuk rakyat. Pendekatan saya turun bertemu dan merasai denyut nadi masyarakat adalah juga semata-mata untuk rakyat. Jika kerana saya menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dikatakan saya selebriti maka tiadalah daya upaya saya melayani persepsi itu.

Datuk dituduh mempunyai agenda apabila membuat kenyataan membidas Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam isu Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Apa pandangan Datuk?

DZULKIFLI: Tindakan atau pendirian yang diambil oleh saya tidak pernah dibuat atas dasar perkiraan politik mahupun atas asas agenda peribadi.

Kita perlu faham isu rasuah adalah isu sejagat yang seharusnya diperjuang dan diperangi merentasi serta melangkaui sebarang fahaman politik, perbezaan bangsa mahupun agama. Suara-suara nakal itu perlu disedarkan mengenai hakikat ini dan jangan sampai tersesat.

IBR diwujudkan bagi membolehkan komitmen menolak dan memerangi rasuah serta salah guna kuasa diselami sebenar-benarnya oleh pemimpin sesebuah organisasi dan warga bawahannya sebagai individu.

Kesungguhan dan komitmen secara individu penting bagi membolehkan ikrar itu dirasai sebagai satu sense of personal ownership’. Perlu dijelaskan IBR tidak berdiri secara sendirinya di dalam komitmen dan usaha kita memerangi rasuah serta salah guna kuasa. Ia saling lengkap melengkapi dengan inisiatif SPRM yang lain antaranya Ikrar Integriti Korporat, Pengurusan Risiko Rasuah dan lain-lain amalan baik yang sedia ada di dalam organisasi berkenaan.

Apa yang lebih penting untuk difahami ialah tindakan melaksanakan IBR adalah sesuatu yang dibuat secara sukarela, tanpa paksaan mahupun undangan. Ia perlu lahir daripada kehendak dan kemahuan sesebuah organisasi dan kepemimpinannya.

Oleh itu apabila Pulau Pinang menyatakan sudah mempunyai sistem dalaman yang baik dan menegaskan, mereka memerlukan undangan sudah tentunya saya akan berbeza pendapat dengan hujah-hujah sedemikian. Tetapi Alhamdulillah, saya difahamkan Pulau Pinang telah menyedari hakikat ini dan menyatakan kesediaan menandatangani IBR.

Benarkah IBR dilihat tidak berkesan memerangi rasuah berbanding Ikrar Integriti Korporat?

DZULKIFLI: Dalam apa jua inisiatif, sistem atau pelan yang kita sediakan dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa, ia tidak boleh `bersendirian'. Sebarang usaha akan lebih baik jika ia saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain, sama ada IBR, Ikrar Integriti Korporat, Pengurusan Risiko Rasuah atau amalan-amalan baik tadbir urus lain.

Untuk mengatakan sesuatu sistem atau inisiatif itu tidak baik berbanding yang lain sama sekali tidak tepat kerana akhirnya apa yang lebih penting adalah komitmen, kesungguhan dan kejujuran melaksana serta mengimplementasi sistem-sistem agar dilaksana dengan efektif.

Jika suatu sistem atau inisiatif yang diwujudkan bagi memerangi rasuah itu cukup baik sekalipun, ia masih juga perlu diperhalusi dari semasa ke semasa bagi mengenalpasti kelemahan, diperbaiki dan diperkasakan agar menjadi praktikal dan functional bersesuaian dengan keadaan semasa.

Sejak kebelakangan ini Datuk mula menjadi sasaran pemimpin-pemimpin pembangkang yang dilihat tidak berpuas hati dengan SPRM. Pada pandangan Datuk kenapakah ia berlaku?

DZULKIFLI: Saya merupakan individu yang amat terbuka kepada sebarang kritikan membina dan pandangan yang diberi secara jujur. Oleh itu saya tidak berasa terusik, terganggu atau terkesan dengan serangan-serangan yang beragendakan politik murahan.

Malahan saya kasihan melihat individu-individu yang melakukan serangan sedemikian kerana yang mengadili mereka bukanlah saya malahan rakyat secara keseluruhannya.

Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya menyedari tanggungjawab saya dan berkat hidayah daripada Allah SWT, saya akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin sebagaimana yang saya fikirkan wajar, bersesuaian dan yang lebih penting menurut undang-undang.

Saya tidak mahu keputusan saya atau tindakan oleh SPRM didorong atau dipengaruhi sebarang pertembungan politik. Ini kerana perjuangan SPRM dalam mencegah dan memerangi rasuah serta salah guna kuasa adalah lebih luas ruang lingkupnya kerana ia merupakan agenda nasional demi kesejahteraan rakyat.

Justeru saya tidak akan membenarkan SPRM dan isu-isu rasuah dipergunakan atau diperdagangkan sebagai modal politik. Sebagai Ketua Pesuruhjaya biarlah saya yang membuat pertimbangan dan menentukan sama ada sesuatu tindakan atau siasatan perlu diambil.

Baru-baru ini Datuk menyatakan tahu waktu sesuai untuk bertindak ke atas ahli politik yang melakukan salah guna kuasa dan rasuah tetapi ramai tertanya-tanya bilakah waktu sesuai itu memandangkan setakat ini belum ada apa-apa tindakan?

DZULKIFLI: Saya meminta agar semua pihak bersabar dan meyakini pertimbangan serta keputusan yang diambil oleh SPRM.

Setiap tindakan perlulah dilakukan dengan bijaksana dan berhikmah. Selain itu jika tindakan diambil, pastinya ia dilakukan setelah setiap kes diteliti berdasarkan fakta dan keterangan. Yang paling utama ia perlu dibuat berlandaskan kehendak undang-undang. Jadi tunggu dan bersabar. Tindakan pasti akan diambil apabila segala ramuannya lengkap.

 

Walaupun SPRM sudah menegaskan tidak akan memilih bulu dalam membanteras rasuah, tetapi ada pihak menganggap SPRM seolah-olah `berkompromi’ apabila melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan. Adakah dakwaan ini benar?

DZULKIFLI: Ia satu dakwaan yang sudah basi dan sering dikitar semula. Sejak menerajui SPRM, saya telah membuktikan tindakan diambil tanpa mengira latar belakang ideologi politik individu yang terlibat. Ini dibukti melalui tindakan dan pertuduhan ke atas seorang Exco Kerajaan Negeri Johor, ahli politik Melaka dan Selangor.

Yang penting tindakan hanya diambil berdasarkan fakta lengkap yang disokong dengan keterangan mencukupi. Bukan mudah untuk mengambil tindakan kerana ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya atau semberono.

Tetapi percayalah apabila kami mengambil tindakan dan dibawa pula ke mahkamah untuk pertuduhan, maka itu ertinya kami telah bersedia dengan segala keterangan yang diperlukan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang bagi menyokong kes-kes kami. Pada waktu itu individu-individu berkaitan bersiap sedialah.

Sejauh manakah SPRM benar-benar berupaya memastikan parti-parti politik meletakkan calon-calon yang benar-benar bersih dalam pilihan raya umum akan datang dan sejauh mana pula keberanian SPRM untuk bertindak selepas pilihan raya jika calon yang tidak bersih menang?

DZULKIFLI: Saya pernah menyatakan SPRM akan mengambil tindakan agresif terhadap ahli-ahli politik yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa hanya selepas berakhirnya pilihan raya.

Saya menegaskan demikian kerana saya enggan SPRM tersepit di tengah-tengah keghairahan kempen politik. Saya sama sekali tidak akan membenarkan SPRM dipergunakan dan diperdagangkan sebagai modal politik.

Tetapi saya juga telah menyatakan bahawa apabila selesai sahaja pilihan raya maka SPRM akan mula mengorak langkah dan mengambil tindakan sewajarnya. Mana-mana ahli politik yang terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa akan diambil tindakan tanpa kompromi.

Namun demikian jangan pula hanya kerana kenyataan saya ini maka ahli-ahli politik fikir SPRM akan tidur lena dan mereka pula bebas untuk terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa sewenang-wenangnya. Sekiranya didapati kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ini begitu jelas dilakukan dengan bukti mencukupi maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Saya suka menasihatkan semua parti-parti politik agar memilih calon-calon pilihan raya yang benar-benar bersih dan tidak dicemari dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. Jika berdegil juga, kesannya pasti pahit untuk ditelan. Saya belum lagi memungkiri janji saya. Jika tidak percaya, saya persilakan mana-mana parti politik untuk mengabaikan amaran saya ini.