Sepanjang masa anak-anak muda kita lagut membelek telefon pintar, tablet dan komputer riba. Orang dewasa pun tidak membantu untuk membimbing mereka mengurangkan ketaksuban terhadap gajet tersebut, malah dua kali lima berteleku menatap dan mengusap skrin telefon pintar sepanjang masa.

Seperkara yang penulis lihat dan saksikan perubahan daripada budaya gajet dalam kalangan anak muda kita ialah mereka bukan sahaja malas membaca malah kini malas berbicara.

Bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi dalam te­lefon pintar kini berjangkit dalam kehidupan dunia nyata mereka. Selagi boleh ringkas, akan diringkaskan mereka.

Baru-baru ini penulis berkesempatan ‘curi dengar’ perbualan beberapa anak muda yang rasanya menuntut di universiti. Perbualannya lebih kurang macam ini:

Pemuda 1: Hei, ko dah anta assignment Puan...?

Pemuda 2: Lum. Ko?

Pemuda 1: Lum gak.

Pemuda 3: Lek-lek la.

Pemuda 4: Aku dah.

Pemuda 1, 2 dan 3: Bajet la ko!

Penulis: (Pening)

Secara kasarnya penulis boleh mengagak isi perbualan mereka, namun bagi mendapatkan pencerahan, penulis bertanyakan anak yang lebih kurang seusia mereka dan juga menuntut di universiti. Tepat seperti sangkaan penulis, anak-anak muda kini cenderung meringkaskan perkataan misalnya, engkau menjadi ‘ko’; belum dipendekkan ‘lum’; juga diringkaskan ‘gak’; manakala rilex bertukar ‘lek-lek’.

Walaupun penulis akui ada juga singkatan perkataan itu memang sudah biasa kita gunakan seperti ‘dah’ (sudah) namun penggunaan kata-kata ringkas dalam kalangan anak muda kini nampaknya agak berlebihan dan keterlaluan.

Semacam menjadi trend dalam kalangan mereka untuk bertutur seringkas mungkin. Bukan sahaja perkataan yang panjang dipendekkan. Malah sesuatu keadaan yang perlu digambarkan dengan sejumlah kata-kata pun boleh diringkaskan mereka dengan satu perkataan sahaja. Masalahnya, perkataan yang digunakan itu tentu sahaja tidak tepat penggunaannya pada pendengaran telinga dan istilah bahasa yang sebenarnya.

Contoh nyata penggunaan perkataan ‘bajet’ yang kita sedia maklum adalah daripada perkataan Inggeris ‘budget’ yang dimelayukan dan bermaksud belanjawan. Beban kos sara hidup yang semakin meningkat termasuk dalam kala­ngan mahasiswa, dijadikan asas menyesuaikan perkataan ‘bajet’ dengan situasi kekurangan belanja atau peruntukan. Agak penulis, mungkin sebab itu muncul gerai ‘Nasi Bajet’ di sekitar kampus di seluruh negara. Menu biasanya, nasi putih bersama seketul ayam (goreng atau masak merah) dan segelas sirap atau teh O ais yang dijual pada harga murah RM4. Memang cukup bajet!

Berbalik kepada perbualan empat pemuda di atas, apa yang pasti penggunaan bajet yang digunakan mereka tidak ada kena-mengena dengan belanjawan. Istimewanya bagi anak-anak muda, ‘bajet’ juga digunakan sebagai rumusan atau kesimpulan untuk sesuatu situasi atau perwatakan seseorang. Dalam perbualan di atas, perkataan ‘bajet’ membawa maksud ‘berlagak’.

Sebenarnya banyak perkataan lain yang ‘diwujudkan’ oleh anak muda kita dalam perbualan seharian mereka. Antara yang sukar untuk penulis menghadamkan penggunaannya adalah frasa ‘bapak besar’ sebagai reaksi spontan terhadap sesuatu yang mengagumkan mereka. Begitu juga perkataan ‘genius’ untuk setiap perbuatan atau peri laku yang mereka anggap bijak tetapi hakikatnya tidak sampai pun ke tahap genius.

Namun patutkah kita risau dengan perkembangan yang berlaku? Difahamkan sudah ada tanda-tanda bahawa penggunaan perkataan yang direka-reka dan tidak kena pada tempatnya ini meresap masuk ke sekolah dan ‘terlepas’ dalam kertas jawapan peperiksaan.

Bagaimanapun penulis berpendapat tidak perlu dan tidak wajarlah kita melenting atau sensitif sangat dengan gaya pertuturan anak muda kita.

Bukankah sifat bahasa itu berkembang dan melalui evolusi. Jika tidak, tak mungkin bahasa Melayu kita hari ini sarat dengan istilah asing yang kebanyakannya sudah sebati sehingga tidak lagi kekok digunakan. Misalnya, ‘cawan’ yang kita gunakan dari India, ‘syor’ dari China, ‘pensel’ asalnya Inggeris, bahkan ‘sejarah’ pun dari Arab.

Fenomena ini bukan hanya berlaku dalam masyarakat kita bahkan oleh masyarakat lain dengan bahasa mereka di seluruh dunia. Apa yang penting, anak-anak kita dibimbing sebaik-baiknya agar tahu membezakan yang mana bahasa pasar dan slanga serta yang mana pula bahasa formal yang patut digunakan dalam acara rasmi termasuk ketika menjawab peperiksaan.

Penulis teringat dengan kuliah Penulisan Berita oleh Sasterawan A. Samad Ismail ketika Allahyarham menjadi pensyarah tamu di Universiti Malaya sekitar 1990-an. Pak Samad sendiri kagum dengan gaya bahasa slanga yang digunakan wartawan hiburan tersohor Juwie (Allahyarham Abdul Jalil Salleh) dalam kolum kendaliannya di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia, sehingga berhasrat membukukannya.

Hakikatnya, slanga atau bahasa tidak rasmi yang dituturkan dalam masyarakat termasuk oleh golongan anak muda sekarang sifatnya bermusim, yang sesuai pada masa dan keadaan ketika itu sahaja.

Penulis percaya frasa ‘bapak besar’ yang berleluasa digunakan sekarang tidak akan menerjah masuk ke dewan peperiksaan dan merosakkan karangan atau tesis anak-anak muda kita. Begitu juga perkataan ‘bajet’ tidak akan mampu bertahan sebagai reaksi spontan anak muda selama-lama­nya. Buktinya perkataan ‘siut’ yang cukup popular sekitar awal 90-an, yang digabungkan dengan hampir setiap perkataan sebagai kata penguat misalnya ‘bodoh siut’, ‘cantik siut’, ‘pandai siut’ dan bermacam-macam lagilah, kini um­pamanya sudah pupus dan dilupakan.

Justeru tidak perlulah kita bimbang sangat dengan gaya bahasa anak-anak muda sekarang. Penulis percaya ini pun akan ditelan zaman. Tidak payahlah kita beria-ia sangat hendak menyekat mereka berbahasa.

Apa yang lebih penting diberi perhatian ialah sikap orang kita termasuk yang berjawatan tinggi, pembesar negara, wakil rakyat dan pemegang kuasa kerajaan tempatan yang culas menggunakan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita terutama dalam urusan rasmi. Ini yang tidak boleh ‘lek-lek’ dan patut kita risaukan!