Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan ZULHISHAM ISAHAK di Johor Bahru, Isnin lalu, Hasni bagaimanapun menarik perhatian mengenai survival UMNO khususnya di Johor.

HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD 

Daripada 670 ketua kampung di Johor, hanya 10 peratus dikekalkan. Tapi keinginan hendak berkhidmat menyebabkan kalangan mereka tubuhkan Kesatuan Muafakat Kampung-kampung Warisan Negeri Johor yang ahlinya kini 420 orang.

“Uniknya juga wakil-wakil rakyat UMNO ini nak memaki kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tak terbuat. Dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) pun asyik mulakan soalan atau ucapan, dengan ucapkan tahniah (kepada kerajaan negeri),” kata beliau.

Hasni dalam pertemuan selama sejam itu terpanggil untuk mengulas isu status Pulau Kukup, Pulau Pisang dan pencerobohan ruang udara dan sempadan Malaysia-Singapura. Berikut komen beliau yang disusun dalam berdasarkan topik:

Program hambar 
tanpa UMNO?

UMNO suatu gaya hidup masyarakat Johor. Kewujudan UMNO sudah sebati dalam hidup orang Johor. Apa sahaja kegiatan atau aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung atau taman, pastinya UMNO turut serta termasuk anjurkan program tersebut.

Setiap Khamis malam Jumaat, dianjurkan majlis tahlil atau bacaan Yasin di surau-surau dan masjid. 
 Ini termasuk aktiviti seperti program bersunat atau Kembali Ke Sekolah pada setiap sesi baharu persekolahan dan sambutan Maulidur Rasul.

Begitu juga bantuan kepada mangsa ribut, mangsa banjir atau apa sahaja aktiviti melibatkan komuniti setempat.

UMNO bergelumang dalam hidup orang Melayu sejak dahulu. Parti ini menggerakkan masyarakat di kampung. UMNO hadir dalam setiap kehidupan orang Melayu di Johor.

Apabila sesuatu bencana berlaku, secara automatik ketua-ketua cawangan UMNO dengan kerjasama pemimpin masyarakat setempat akan terlibat. Jika UMNO tidak terlibat, program itu akan serba tak kena, hambar dan seakan-akan ‘kosong’ pengisiannya.

Macam langit dan bumi

Dalam jawapan pada sidang DUN Johor baru-baru ini, ada satu soalan berkaitan isu bantuan. Dan dijawab oleh wakil kerajaan negeri terbabit: “Pergi ke JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) lah”.

Macam mana anda boleh kata begitu? Kalau zaman Barisan Nasional (BN), kita akan beri jawapan: “Saya akan semak dengan JKM. BN bercakap bagi pihak JKM. Sekarang ini (di bawah kerajaan PH) begitu berbeza.

Tenggelam punca?

Dalam tempoh tujuh bulan sebagai pembangkang, UMNO kena didengari oleh masyarakat. Jangan tenggelam punca. Mungkin kita tak jadi wakil rakyat atau ketua kampung di situ, tetapi harus teruskan perjuangan parti.

Ketua-ketua cawangan jika dahulu sibuk agihkan sumbangan daripada wakil rakyat, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), peruntukan sekolah atau pejabat daerah, kini harus memantau untuk pastikan kerajaan negeri teruskan bantuan-bantuan ini. Suara kita harus lantang.

Jangan berpeluk tubuh, goyang kaki atau tunggu arahan. Pastikan pengerusi persatuan, pertubuhan dan aktivis suarakan pandangan mereka.

Pulau Kukup 
terdedah tuntutan?

UMNO Johor tidak nampak ada asas mengapa kerajaan BN perlu dipersalahkan dalam hal ini (status Pulau Kukup khabarnya dibatalkan sebagai Taman Negara dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 7 Mac 2018 ketika BN mentadbir Johor) kerana kita semua tahu tidak ada mana-mana pihak yang meminta status program Taman Negara di Pulau Kukup itu dibatalkan.

Isu ini lebih kepada interpretasi apabila syarat tanah di pulau itu yang sebelum ini di bawah kerajaan negeri diubah kepada tanah kesultanan di bawah Enakmen Kesultanan 1934. Jadi kerajaan negeri PH yang ada hari ini tidak wajar salahkan kerajaan terdahulu.

Kita tengok sendiri bila kita leka dan tidak ambil berat pasal Pulau Batu Puteh, kita kehilangannya kerana tidak jelas status dan hak pemilikannya. Kelebihan menjadi tanah kesultanan ialah pulau itu yang berada dalam zon perairan antarabangsa akan lebih terjamin dan terus menjadi hak milik negara ini kerana kita tidak mahu insiden Pulau Batu Puteh berulang.

Pemilikan Pulau Kukup kini lebih diiktiraf dan menjadi lebih jelas hak milik kita. Status sebelum ini terdedah dengan tuntutan. Kita lihat Pulau Kukup hampir dengan Singapura dan banyak aktiviti antarabangsa dijalankan di perairan itu termasuk jeti di pekan Kukup berhampiran pulau itu yang menyediakan feri dari Kukup ke Batam dan Tanjung Balai di Indonesia.

Dilema Pulau Pisang

Pulau Pisang juga dalam kedudukan pemilikan tidak jelas. Pulau kecil ini berada di pantai barat daya Johor dikelilingi perairan Selat Melaka. Terdapat sebuah rumah api yang dibina 
di atas pulau yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pontian Kecil dan lima kilometer dari Benut ini.

Sehingga kini, rumah api ini diselenggara oleh Lembaga Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura. Terdapat keresahan sekiranya keadaan ini berlarutan, mungkinkah Pulau Pisang akan menjadi Pedra Branca kedua?

Minum teh ‘selesai kemelut’?

Isu ruang udara dan pembesaran pelabuhan negara sehingga dikatakan menceroboh perairan Singapura mudah sahaja diselesaikan. Bukan dalam bilik mesyuarat semata-mata, tetapi boleh diuruskan dengan cara minum teh bersama 
wakil kedua-dua buah 
negara secara diplomasi
 dan matang.

Tidak perlu dipanjangkan hingga cetuskan ketegangan. Ini hubungan yang kita perlu 
jaga, tidak kira siapa di belakang kita, Amerika Syarikat atau China. Tidak perlu untuk kita menekan mana-mana negara.

Kena terima hakikat kita selamanya berjiran dan saling memerlukan ibarat hubungan abang dan adik. Isu sempadan maritim ini dimainkan sejak 1979 lagi yang sehingga sekarang masih berbangkit, padahal ada kedaulatan 
negara masing-masing.