Dalam konteks perkhidmatan disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada rakyat, keadilan dan hikmah memainkan peranan penting. PBT adalah agensi kerajaan yang paling dekat dengan masyarakat. Hampir ke­seluruhan perkhidmatan harian diuruskan mereka termasuklah lampu jalan, longkang, padang permainan, landskap, perparitan, sampah sarap dan sisa pepejal.

Dalam usaha menyediakan pe­rkhidmatan terbaik untuk rak­yat, PBT memerlukan sumber kewangan kukuh. Justeru, Ke­rajaan Persekutuan sentiasa berperanan membantu walaupun mereka (PBT) berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Untuk membantu PBT, Kerajaan Persekutuan menyediakan sejumlah besar peruntukan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Untuk 2013 sahaja, Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana berjumlah RM887.1 juta dan meningkat 2.1 peratus kepada RM905.7 juta pada 2014 demi membantu PBT meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Namun, PBT menghadapi ma­salah terutama untuk mengutip tu­nggakan cukai pintu. Laporan Ke­tua Audit Negara mengenai penyata kewangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi 2013 menyebut jumlah tunggakan cukai pintu yang tidak dikutip oleh MPSP berjumlah RM21.8 juta. Bagi MPPP pula sebanyak RM54.5 juta. Dilaporkan terdapat kira-kira RM5 bilion jumlah tunggakan cukai pintu yang tertunggak di seluruh negara.

Apabila bajet kurang, timbul isu-isu perkhidmatan yang mampu disediakan PBT. Antara isu yang sering diperkatakan rakyat ialah penyediaan infrastruktur tidak mencukupi, kemudahan awam rosak tidak dibaiki, perbandaran kurang cekap, keselamatan persekitaran tidak terjamin dan sistem pengurusan sisa pepejal tidak memuaskan.

Menyedari hakikat ini, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah berusaha melaksanakan Program Transformasi Kerajaan Tempatan supaya meningkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat.

Salah satu tonggak utama adalah untuk memperluas dan memaksimumkan lagi sumber kewangan PBT sedia ada. Sejak Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) diper­kenalkan selain peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sumber utama PBT adalah cukai pintu atau kadaran, bayaran caj perkhidmatan, lesen, iklan, dendaan, sewaan dan sebagainya.

Begitupun, di bawah Seksyen 39 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) terdapat fasal yang menyatakan bahawa PBT boleh menjana sumber kewangan melalui pelbagai punca sumber yang boleh memberi pendapatan se­perti endowmen. Begitu juga de­ngan kutipan derma awam (crowdfunding), hibah, sedekah, derma kilat dan sebagainya.

Endowmen adalah pemberian sumbangan yang boleh digunakan tanpa mengambil pokok diterima manakala wakaf juga mempunyai takrif yang hampir serupa. Perbezaan ketara adalah endowmen adalah sumbangan yang bukan berpaksikan Islam.

Sedangkan wakaf adalah amalan ibadah Islam dengan syarat dan rukun yang disepakati ulama. Ada pandangan mengatakan endowmen juga berasal daripada wakaf yang ditiru pihak Barat daripada amalan berwakaf di Mesir suatu ketika dahulu. Sejarah menunjukkan bahawa Barat membawa konsep dan amalan wakaf dan diubah suai menjadi endowmen (amanah dan sebagainya) yang dimulakan di Universiti Oxford, United Kingdom.

Sebenarnya, punca kewangan disebutkan ini seringkali dijalankan PBT dan banyak membantu mereka menyelesaikan masalah ditanggung rakyat. Misalnya, apabila penduduk bergotong-royong membasmi aedes, PBT memberi bantuan kewangan, pengangkutan, pekerja dan sebagainya. Mereka bersama-sama membantu penduduk menjayakan program-program amal untuk rakyat.

Namun demikian, sumbangan yang khusus dalam bentuk endowmen atau wakaf belum begitu dijalankan dengan meluas. ­Sedangkan, kita faham wakaf adalah satu-satunya sedekah jariah yang berkekalan pahalanya.

Namun, berwakaf mestilah ber­tepatan dengan kaedah dan syarat-syaratnya. Antara rukun berwakaf ialah harta yang hendak diwakafkan mestilah jelas pemilikannya atau ta’yin. Dalam konteks ini, apabila harta yang dimiliki PBT ditentukan pemilikannya, wakaf boleh dijalankan sebagai ibadah yang pahalanya mengalir hingga ke akhirat sekalipun pewakaf sudah meninggal dunia.

Oleh demikian, apabila memenuhi rukun wakaf, pelbagai mauquf atau objek boleh diwakafkan. Termasuklah sungai, pa­rit, jalan raya, dewan orang ramai, perpustakaan awam, lampu jalan, jambatan, kenderaan, tempat letak kereta, tempat rehat dan barung atau gerai.

Apabila PBT menyedari betapa pentingnya wakaf dalam menyediakan prasarana bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, mereka boleh bekerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mendapat restu bagi menjalankan dan mengutip wakaf. Jika wakaf berjalan dengan sempurna, diyakini kualiti perkhidmatan awam boleh dipertingkatkan dengan kos pe­ngurusan rendah.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) dan pensyarah kanan 
di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.